Translate

Wednesday, September 7, 2016

Belajar jadi doktor palsu di YouTube

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan licik gadis lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menawarkan ­khidmat rawatan pemasangan pendakap gigi yang dipelajari menerusi  video YouTube berakhir­ dengan wanita itu didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Nurul Nadzirah Mohd. Saidi, 21, membuat pe­ngakuan bersalah setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Rofiah turut memerintahkan tertuduh yang dijadual bakal melangsungkan perkahwinan­nya pada bulan depan menjalani hukuman penjara tambahan selama dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Nurul Nadzirah yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khaikiyah Samsudin.

Berdasarkan pertuduhan, Nurul Nad­zirah didakwa menyediakan perkhidmatan klinik pergigian swasta tanpa tauliah dengan memberi rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.
Perbuatan yang dilakukan secara haram­ tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bilik di tingkat dua Hotel Permai, Jalan Sultan Mahmud di sini pada pukul 10.05 malam 27 April lalu.

Mengikut fakta kes, Nurul Nadzirah yang mempelajari teknik rawatan pendakap gigi menerusi laman perkongsian video YouTube dan rakan-rakan me­ngenakan caj RM1,000 bagi setiap perkhid­matannya.

Tertuduh dikatakan telah lima bulan menawarkan khidmat pendakap gigi.

Perbuatan tertuduh yang hanya berkelulusan STPM adalah melanggar subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Nurul Nadzirah sewaktu membuat ra­yuan memohon agar dia dikenakan hukuman ringan kerana bakal berkahwin tidak lama lagi dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebaliknya masih ditanggung oleh ibu bapa.

No comments:

Post a Comment