Translate

Friday, July 29, 2016

Tiga gadis bersaudara mati lemas

SETIU – Keseronokan empat gadis bersaudara termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi beriadah bertukar menjadi tragedi apabila tiga daripada mereka mati lemas di Air Terjun Cakah, Ulu Seladang, Permaisuri dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, Asiah Zakirah Abd. Rahman, 23, maut di lokasi kejadian manakala dua sepupunya, Fatin Atirah Ahmad Sabri, 20, dan Asma Saari meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini beberapa jam kemudian.
Adik Asma, Maisarah, 19, pula terselamat dan sedang dirawat di hospital sama dan keadaanya kini dilaporkan stabil.
Fatin Atirah merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor manakala Asma pula pelajar jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir sedang bercuti semester.

Ketua Polis Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, sebelum kejadian, kesemua mangsa yang menetap di Machang, Kelantan telah datang berkelah di kawasan air terjun berkenaan mulai pukul 9 pagi.
Beliau berkata, keempat-empat mangsa gagal melawan arus yang tiba-tiba deras sewaktu sedang asyik mandi-manda di kawasan air terjun terbabit.

"Jeritan salah seorang mangsa meminta pertolongan telah mengejutkan orang ramai yang turut berkelah di kawasan tersebut.

"Hanya Maisarah sempat diselamatkan sementara tiga yang lain tenggelam ke dalam ketinggian hampir tiga meter ke dalam kawasan air terjun berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Elias berkata, mayat Asiah Zakirah yang menetap di Kampung Tok Bok, Machang, Kelantan dijumpai di dasar air terjun berkenaan beberapa minit kemudian yang orang ramai.

Menurut beliau, Fatin Atirah dan Asma dijumpai dalam keadaan lemah tidak jauh dari lokasi mayat Asiah Zakirah ditemui dan mereka dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Surau, Pulau Chondong, Machang, Kelantan disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan terbabit pada pukul 5 petang.

"Jenazah ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat," katanya.


No comments:

Post a Comment