Translate

Monday, July 18, 2016

Terengganu dibelasah, Presiden PBSNT didesak berundur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DESAKAN agar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (gambar) berundur semakin kuat selepas skuad Sang Penyu mempamerkan aksi longlai sehingga mudah dimamah 1-6 oleh Kelantan pada aksi Liga Super di Gong Badak kelmarin.
Sebahagian besar 7,500 penyokong Terengganu yang me­nyaksikan perlawanan tersebut menunjukkan protes dengan meninggalkan stadium kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Malah, segelintir penyokong turut bertindak agresif me­nyerbu tempat duduk kenamaan menempatkan pengurusan kanan PBSNT yang dipisahkan dengan tempat duduk penonton tuan rumah dengan pagar besi bagi meluahkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap Wan Ahmad Nizam.

Begitupun, pengendali Terengganu, Micheal John Mulvey memilih untuk menyalahkan mutu pengadilan sebagai punca pasukannya mencatat persembahan terburuk di gelanggang sendiri sepanjang musim ini.

“Permainan telah 'berakhir' dalam tempoh seminit, keputusan telah ditentukan sejurus perlawanan bermula.

“Saya mohon maaf kepada penyokong, mereka telah mengeluarkan wang (membayar tiket) untuk menonton perlawanan ini tetapi keputusan telah ditentukan dari minit pertama lagi. Ia tidak adil,” katanya.
Pengendali kelahiran England itu merujuk kepada keputusan pengadil, Mohd. Zohri Tajuddin menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat dan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bikana kerana menjatuhkan penyerang Kelantan, Blahze Ilijoski pada minit ketiga.

Keputusan itu mencetuskan kontroversi kerana kesalahan yang dilakukan Bikana tersebut didakwa berlaku di luar kotak penalti Terengganu.

Mulvey berkata, bermain dengan 10 orang selepas kehilangan Bikana yang merupakan pemain kelahiran Cameroon tersebut telah membunuh semangat anak-anak buahnya.

No comments:

Post a Comment