Translate

Saturday, July 2, 2016

Suami isteri ditahan bersama mercun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan sejauh 373 kilometer semata-mata untuk mendapatkan bekalan mercun bagi dijual di penempatan mereka di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang namun sia-sia apabila mereka ditahan polis di Jalan Chalok, Chalok di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, pemeriksaan di dalam kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit menjumpai mercun pelbagai jenis yang dianggar­kan bernilai RM1,200.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, kereta dinaiki kedua-dua suspek telah ditahan seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu kemudiannya menjumpai tujuh kotak mercun Thunder Clap Rockets, sembilan bungkus mercun Colour Smoke B26, Happy Boom 188 (tiga), Colour Flo­wer (tiga), K337 (satu), K2949-18L (dua), K0201C (satu), K30 (satu).

“Setelah disoal siasat, suami yang berusia 31 tahun me­ngaku mengambil bekalan mercun itu dari Pasir Mas, Kelantan untuk dijual di kawasan perumahan mereka di Felda Keratong 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini semalam.

Elias berkata, semakan polis juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, suspek pertama dan isterinya yang berusia 30 tahun telah ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment