Translate

Sunday, July 24, 2016

Pengurusan banjir jadi contoh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Keberkesanan sistem pengurusan banjir Kemaman menerima pengiktirafan antarabangsa apabila mendapat kedudukan lima teratas dalam ka­tegori Infrastruktur Komunikasi dan Maklumat pada Sidang Kemun­cak Dunia Masyarakat Bermaklumat yang diadakan di Geneva, Switzerland, Mei lalu.
Sistem ini dibangunkan semasa menghadapi banjir di Kemaman dua tahun lalu bagi membolehkan pihak berkuasa merangka pelan awal untuk menghadapi bencana tersebut.
Ia turut melibatkan si­mulasi menghadapi banjir secara bersepadu melibatkan semua agensi selain pengurusan bantuan semasa dan selepas banjir.
Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kejayaan ini juga membuktikan keberkesanan program Komuniti Pintar Kemaman.
“Lebih menarik lagi apabila sistem ini turut menarik perhatian pe­nyiar antarabangsa History Channel apabila menerbitkan dokumentari khusus mengenainya yang akan disiarkan sempena sam­butan Hari Kemerdekaan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hari Komuniti Pintar anjuran SKMM di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi SKMM, Datuk Seri Halim Shafie.
Komuniti Pintar Kemaman yang dilancarkan pertengahan tahun lalu merupakan inisiatif Shabery sewaktu menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia. 
Sementara itu, Halim berkata, projek Komuniti Pintar Kemaman kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya iaitu penghayatan dan penggunaan.
Beliau berkata, antara kemudahan yang telah disediakan ialah pembinaan 13 menara komunikasi bagi memperluaskan liputan komunikasi dan pembukaan 12 Pusat Internet 1Malaysia di Kemaman.

No comments:

Post a Comment