Translate

Tuesday, July 26, 2016

880 bot nelayan asing ceroboh perairan negara dirampas

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) telah merampas 880 bot nelayan asing yang didapati menceroboh perairan negara sejak awal tahun ini.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, nelayan Vietnam didapati paling banyak melakukan pencerobohan tersebut untuk menangkap hasil laut secara haram di perairan negara.

“Setakat ini, sebanyak 464 bot nelayan Vietnam telah berjaya dirampas diikuti Indonesia (297) dan selebihnya Thailand.

“Kebanyakan bot nelayan asing yang dirampas itu telah dilucutkan hak dan dijadikan tukun tiruan setelah kes terbabit selesai di mahkamah,” katanya pada sesi dialog bersama nelayan Terengganu di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering di sini semalam.

Beliau merupakan salah seorang ahli panel yang menyertai sesi dialog terbabit yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ahmad Puzi berkata, selain pemantauan berkala di seluruh perairan negara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kebanyakan maklumat pencerobohan  itu dilaporkan oleh kumpulan Sahabat Maritim.

Menurut beliau, sebanyak 50 aset meliputi kapal, bot dan helikopter milik APMM digerakkan pada setiap hari bagi tujuan penguatkuasaan.

“Namun apa yang dikesalkan, siasatan APMM mendapati ada segelintir bot nelayan asing yang ditahan itu sebenarnya milik nelayan tempatan yang telah ‘diali babakan’.

“Oleh itu, saya menyeru persatuan nelayan tempatan agar turut sama turun padang bersama APMM menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan yang turut menjadi ahli panel sesi dialog tersebut  pula memberitahu, setiap tahun dianggarkan 700,000 tan hasil laut dari perairan negara di seludup ke negara asing akibat pencerobohan berkenaan.

No comments:

Post a Comment