Translate

Tuesday, June 7, 2016

Warga emas, kanak-kanak maut dalam dua kemalangan berasingan

KUALA TERENGGANU – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) terus meragut nyawa apabila seorang warga emas dan kanak-kanak perempuan maut dalam dua kemalangan berasingan di Ajil, Hulu Terengganu dan Paka, Dungun dekat sini semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang warga emas, Bakar Mat Amin, 64, dari Kampung Laut di sini me­ninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Pero­dua Alza yang dipandu isterinya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 392.5 LPT 2 berhampiran Ajil, Hulu Terengganu pada pukul 12.30 tengah malam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pengusaha Bomba Kanan II, Mohd. Nor Ali berkata, lima penumpang lain termasuk pemandu kende­raan, Cik Saudariah Ismail, 61, mengalami kecederaan parah.

“Empat lain yang cede­ra parah ialah anak dan menantu pasa­ngan tersebut iaitu Rosliza, 36, dan Kamarulzaman Jaafar, 35, serta dua orang cucu mereka, Mohd Kasifilah Rahimi,9, dan Mohd Khairi Rafikin, 3,” katanya di sini semalam.

Mohd. Nor berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan Perodua Alza yang dipandu Cik Saudariah telah merempuh belakang sebuah treler membawa muatan simen yang sedang bergerak di laluan kiri.

Beliau memberitahu, sewaktu kejadian, enam beranak terbabit dalam perjalanan ke Ajil dari Bukit Besi, Dungun.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia tujuh tahun maut selepas tercampak keluar apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 333.5 LPT 2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, Dungun pada pukul 9.10 pagi.
Amni Khatijah Amirud­din (gambar kecil) yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Kemaman dekat sini me­ninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala sewaktu dalam perjalanan untuk mene­rima rawatan di Klinik Kesihatan Kete­ngah Jaya, Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kejadian berlaku selepas Toyota Hilux dipandu bapa mangsa, Amiruddin Mamat, 39, dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Toyota Camry.

“Rempuhan itu menyebabkan Toyota Hilux itu hilang kawalan sebelum terbalik sebanyak beberapa kali. Bapa dan ibu mangsa, Faridatul Akma Mohamad, 37, serta tiga adik-beradiknya iaitu Ammar Yusof, 10, Fariz Ismail, 9, dan Fahim Abdullah, 2, terselamat tanpa mengalami kecederaan.

“Sewaktu kejadian, mereka dalam perjalanan untuk menziarahi ahli keluarga mereka yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

No comments:

Post a Comment