Translate

Saturday, June 11, 2016

Warga emas hilang lima hari ditemui selamat di hutan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Bukit Tok Hat, Bukit Parit di sini sejak lima hari lalu ditemui selamat semalam.

Fatimah Ismail, 71, yang menghidap penyakit Parkinson dan nyanyuk ditemui dalam keadaan lemah serta tidak bermaya oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 11.29 pagi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu ditemui, Fatimah sedang bersandar di bawah sebatang pokok di kawasan hutan Bukit Tok Hat yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

“Sehelai tuala dan tapak kaki yang dijumpai kira-kira 500 meter dari lokasi wanita itu ditemui sebelum itu telah menjadi petunjuk yang membawa kepada pe­nemuan warga emas berkenaan.

“Sewaktu ditemui anggota pasukan mencari dan penyelamat, Fatimah ber­ada dalam keadaan lengkap berpakaian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, selepas ditemui Fatimah telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan semakin stabil.

Isnin lalu, ahli keluarga Fatimah telah membuat laporan polis di Balai Polis Marang di sini selepas warga emas itu dilaporkan tidak pulang setelah keluar pada pukul 9 pagi, 6 Jun lalu.

Operasi mencari dan menyelamat yang dianggotai 50 orang terdiri daripada  anggota polis, bomba, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan penduduk kampung telah digerakkan selepas usaha mencarinya di beberapa rumah saudara terdekat gagal.

Mereka dengan bantuan dua ekor anjing pengesan telah mencari warga emas itu di sekitar kawasan hutan dan kebun kelapa sawit di Bukit Tok Hat berhampiran Institut Latihan Perindustrian Marang di sini.

No comments:

Post a Comment