Translate

Monday, June 13, 2016

Kuih Tok Aji Serban menggamit selera

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebagaimana unik namanya, Tok Aji Serban, begitulah juga rasa keenakan kuih tradisional Terengganu ini yang lemak-lemak manis sehingga menggamit selera penduduk ne­geri ini setiap kali bulan Ramadan.

Kuih tersebut sesuai dijadikan sebagai pemanis mulut selepas menjamah makanan berat seperti nasi ketika berbuka puasa.

Seorang pengusaha kuih tersebut, Nurasyikin Abdullah, 29, berkata, tahun ini beliau menyajikan kuih Tok Aji Serban di gerainya di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini.

Menceritakan bagaimana kuih tradi­sional tersebut boleh dinamakan Tok Aji Serban, Nurasyikin berkata, kuih tersebut mempunyai dua lapisan iaitu sekaya telur pada lapisan atas manakala lapisan bawah pula ialah pulut.

“Lapisan sekaya telur dibuat daripada telur, gula nisan (gula melaka), santan dan garam.

“Rahsia kelazatan kuih ini ialah adunan telur dan bahan-bahan lain yang perlu seimbang dan dibancuh sehingga sebati sebelum dicurahkan di atas lapisan pulut yang kemudian dikukus selama kira-kira setengah jam,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Nurasyikin yang menetap di Manir di sini berkata, tiga ketul kuih Tok Aji Serban dijual pada harga RM5.

Menurut beliau, sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak 16 loyang kuih Tok Aji Serban yang dibawa untuk jualan di bazar tersebut biasanya habis dijual dalam tempoh kurang dua jam selepas gerainya dibuka pada pukul 4 petang.

“Kalau di luar bulan Ramadan, saya hanya akan mengambil tempahan dari rumah untuk majlis keraian seperti perkahwinan, kenduri kesyukuran dan cukur jambul,” katanya.

No comments:

Post a Comment