Translate

Monday, May 30, 2016

Tiada pengurangan kompaun kesalahan guna lorong kecemasan

KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk mengenakan kompaun mandatori RM300 kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, kompaun yang dikenakan atas kesalahan terbabit adalah tetap dan tidak boleh dikurangkan.
"Memang kompaun maksimum RM300 dikenakan bagi kesalahan menggunakan lorong kecemasan tapi biasanya PDRM guna budi bicara memberi diskaun (pengurangan kompaun).
"Namun oleh kerana kekerapan kesalahan menggunakan lorong kecemasan berlaku sehingga mengganggu kerja-kerja menyelamat, kita akan mencadangkan agar amaun kompuan bagi kesalahan tersebut tidak layak menerima sebarang pengurangan pada masa hadapan," katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan penutupan Majlis Tilawah al-Quran PDRM peringkat kebangsaan di Wisma Darul Iman di sini hari ini. - K! ONLINE

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar dijangka 'panas'

KUALA TERENGGANU - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang bakal bermula selepas hari penamaan calon pada 5 Jun depan dijangka berlangsung hangat dan tegang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, di kawasan Sungai Besar sahaja, sekurang-kurangnya 50 kawasan 'panas' yang berpotensi berlaku kekecohan telah dikenalpasti.
"Seramai 7,000 anggota polis akan dikerahkan untuk bertugas untuk membantu kelancaran kedua-dua PRK terbabit sepanjang kempen pilihan raya yang bermula Ahad ini.
"Oleh kerana kita menjangkakan PRK Sungai Besar lebih 'panas', seramai 5,000 anggota polis akan ditempatkan di situ manakala selebihnya di Kuala Kangsar," katanya kepada pemberita sebagai mengulas persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi kedua-dua pilihan raya terbabit.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan penutupan Majlis Tilawah al-Quran PDRM peringkat kebangsaan yang turut dihadiri Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, May 27, 2016

MB tidak tahu arahan Pengarah Pendidikan Terengganu

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman menjelaskan beliau hanya sekadar bergurau apabila menegur guru-guru yang tidak memberikan tepukan bergemuruh semasa sam­butan Hari Guru peringkat negeri di Stadium Tertutup Sultan Mizan, Gong Badak di sini pada Selasa lalu.
Justeru, beliau tidak mengetahui terdapat arahan daripada Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin yang meminta guru-guru menjalani latihan bertepuk tangan selama lima minit selepas kejadian itu.

“Kebanyakan warga pendidikan di negeri tersebut terdiri daripada rakan-rakan saya. Tidak tahu pula jadi macam ini (arahan supaya guru-guru menjalani latihan bertepuk tangan),” katanya menerusi WhatsApp kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas arahan Shafruddin yang meminta guru-guru di negeri ini melakukan latihan bertepuk tangan yang menjadi viral di media sosial semalam.

Pada sambutan Hari Guru pe­ringkat negeri itu, Ahmad Razif bertanya kenapa warga pendidik tidak bertepuk tangan selepas dana pendidikan sebanyak RM300,000 diumumkan.

Ahmad Razif berkata, beliau yang merupakan seorang guru sebelum menceburkan diri secara serius dalam bidang politik meminta isu tersebut tidak diperbesarkan-besarkan lagi.

Guru diarah berlatih tepuk tangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Satu rakaman klip video yang menunjukkan guru-guru dan murid-murid di sebuah sekolah kebangsaan di sini mengadakan latihan bertepuk tangan selama lima minit telah tersebar menerusi laman sosial YouTube sejak semalam.
Latihan bertepuk tangan pada perhimpunan pagi itu dipercayai dibuat berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin kepada semua guru di negeri ini.
Beliau didakwa mengeluarkan arahan itu menerusi WhatsApp selepas guru-guru tidak memberikan sebarang reaksi dengan memberikan tepukan bergemuruh pada sambutan Hari Guru peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman di sini pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, ketika mengulas mengenai kejadian tersebut, Shafruddin mengaku memberi arahan itu dalam kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh pengurusan kanan Jabatan Pendidikan negeri dan sebahagian guru besar dan pengetua sekolah di Terengganu.
“Kami memperkenalkan budaya berterima kasih dan memberi penghargaan kepada sesiapa yang memberi sesuatu kepada kita dengan memberi tepukan.

“Permintaan untuk guru bertepuk tangan merupakan satu cara menceriakan sesuatu majlis rasmi. Mudah-mudahan amalan baik ini akan menjadi ikutan pelajar,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai arahan supaya guru-guru me­ngadakan latihan bertepuk ta­ngan selepas warga pendidik itu tidak memberikan sebarang reaksi semasa Ahmad Razif mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Jabatan Pendidikan negeri pada Selasa lalu.

Peruntukan yang disumbangkan oleh tiga buah syarikat berkaitan kerajaan milik kerajaan negeri itu akan disalurkan kepada sekolah yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan Tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Shafruddin berkata, arahan latihan bertepuk tangan itu juga diterapkan menerusi program Memperkasakan Transformasi Pendidikan yang diperkenalkannya sejak memegang jawatan Pengarah Pendidikan negeri pada April tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun latihan bertepuk tangan baru bermula kelmarin, beliau mendapati amalan itu telah diterima dengan baik oleh guru dan pelajar di negeri ini.


Thursday, May 26, 2016

289 anggota FRU bertugas pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar

KUALA TERENGGANU - Seramai 289 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang lebih dikenali sebagai FRU akan dikerahkan untuk bertugas pada dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung serentak pada 18 Jun ini.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, Unit Lima yang berpengkalan di Ipoh, Perak akan bertugas di PRK Kuala Kangsar manakala Unit Satu dan Empat dari Markas PSP Cheras pula di PRK Sungai Besar.
"Buat pertama kali juga, PSP akan meletakkan sebuah balai polis bergerak yang dilengkapi dengan kemudahan televisyen litar tertutup, komputer dan bilik mesyuarat bagi memantau perjalanan PRK Sungai Besar.
"Sekiranya berlaku insiden kurang menyenangkan sepanjang PRK di kawasan terbabit, ia boleh dirakam dan dipantau secara langsung dari balai polis bergerak tersebut," katanya selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Unit Tempur Ringan peringkat Terengganu di Ibu Pejabat Unit Enam PSP, Wakaf Tapai di sini hari ini. - K! ONLINE 

Warga PSMZA adakan gotong-royong hias tadika

HIAS. Seramai 31 pelajar dan pensyarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bergotong-royong mengindahkan Tadika Kemas Kampung Paroh, Jerteh, Terengganu baru-baru ini.
Pengarah PSMZA, Mohd. Pauzi Ibrahim berkata, antara aktiviti yang dilakukan sepanjang program tanggungjawab sosial korporat yang berlangsung selama dua hari tersebut ialah melukis mural, menghias landskap, memasang kipas siling, lampu serta jeriji pada premis tadika Kemas berkenaan.
“Semoga sumbangan ini dapat memberikan keceriaan dan keselesaan kepada tenaga pengajar dan murid-murid Tadika Kemas Kampung Paroh,” katanya.

Wednesday, May 25, 2016

Perkasa sekolah pondok dengan wakaf

KUALA TERENGGANU - Instrumen wakaf melibatkan sumbangan orang ramai harus diperkasa secara lebih sistematik bagi memantapkan institusi pondok pengajian Islam di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penggunaan dana wakaf bagi pengurusan pusat pengajian telah lama diamalkan di kota-kota Islam terkemuka seperti Kaherah, Baghdad, Damsyik dan Isfahan.
"Malah di Barat, universiti berprestij seperti Howard dan Oxford juga beroperasi dengan dana orang perseorangan.
"Kita perlu membuka hati umat Islam di negara ini untuk menyalurkan lebih banyak lagi sumbangan menerusi sistem wakaf bagi pembangunan pondok pengajian Islam," katanya selepas merasmikan penutupan Ijtimak Pondok Malaysia di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Akuapolitan Kuala Nerus dilancar

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek Akuapolitan Kuala Nerus yang bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan nelayan di Seberang Takir di sini hari ini.
Beliau berkata, program perintis yang pertama diperkenalkan di dunia itu mengambil model Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
"Projek Akuapolitan yang juga dikenali sebagai 'Felda Laut' ini akan dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melibatkan kos RM180 juta.
"Ia melibatkan 400 nelayan Kampung Seberang Pak Abu dan Kampung Batin, Seberang Takir di sini, " katanya pada majlis pelancaran projek Akuapolitan Kuala Nerus di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, May 24, 2016

Kadar zakat fitrah Terengganu RM7

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengumumkan kadar zakat fitrah pada tahun ini ditetapkan pada kadar minimum RM7.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar tersebut berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan 10 peratus dan lima peratus hancur.
Beliau berkata, bagi individu yang memakan beras Super Import pula, kadar bayaran zakat fitrahnya bersamaan dengan nilai 2.6 kilogram (kg) beras terbabit.
"Selain wang tunai, zakat fitrah juga boleh dibayar dengan 2.6 kg beras yang bersamaan 2.97 cupak atau satu gantang Baghdad," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Iman di sini hari ini. - K! ONLINE

1 mati, 4 parah lari daripada polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

JERTIH – Seorang lelaki maut manakala empat rakannya cedera parah selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki merempuh sebatang pokok ketika dikejar sebuah kereta pe­ronda polis di Kilometer 102, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Apal dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, Mohd. Sabri Abd. Ghani, 30, dari Kampung Tua­lang Manir, Kuala Terengganu dekat sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Pemandu kereta, Muhamad Khairul Ibrahim, 21 dan tiga penumpang lain iaitu Mohd. Hafizul Mahadi, 33; Wan Khairul Hafizi Wan Shamsul Bahari, 24, serta Faisal Yusuf, 25, pula mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kereta Proton Wira yang dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan belakang Pasar Renek, Jabi dekat sini pada pukul 3.10 pagi.
“Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda dengan kereta peronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
“Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda dengan kereta peronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
“Selepas dikejar kereta pe­ronda itu sejauh hampir lapan kilometer, kereta Proton Wira itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan sebelum memasuki kawasan semak berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Zamri berkata, kesan kemalangan itu menyebabkan kereta terbabit putus dua pada bahagian enjin dan kelima-lima lelaki berkenaan tercampak keluar.
Menurut beliau, kereta peronda yang dinaiki anggota polis bertugas turut mengalami kerosakan kecil selepas serpihan enjin kereta Proton Wira yang berterbangan itu mengenai bahagian depan kenderaan tersebut.
“Mayat Mohd. Sabri dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut dekat sini untuk dibedah siasat manakala Muhamad Khairul, Mohd. Hafizul, Wan Khairul Hafizi dan Faisal dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi hospital sama.
“Keadaan Muhamad Khairul dan Faisal dilaporkan kritikal manakala Mohd. Hafizul me­ngalami kecederaan pada kepala dan Wan Khairul Hafizi pula patah kaki kanan dan kepalanya cedera,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, siasatan awal mendapati, kereta Proton Wira yang dipandu Muhamad Khairul merupakan milik kakaknya yang menetap di Kampung Manir, Kuala Terengganu dekat sini.
Beliau memberitahu, Mohd. Sabri dan Faizal masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes mencuri dan penyalahgunaan dadah.
“Kita juga sedang menyiasat motif sebenar mereka melarikan diri daripada pemeriksaan anggota polis,” katanya.

Pengantin di Terengganu dapat tanah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 217 pengantin baharu yang menyertai program ‘Keluarga Generasi Baharu Transformasi Terengganu Baru (TTB): Perkahwinan Perdana’ anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bukan sahaja diraikan secara percuma malah turut menerima sebidang tanah daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian tanah tersebut bertujuan membantu pasangan yang baru mendirikan rumah tangga untuk membina rumah bagi memulakan kehidupan berkeluarga.
“Ia selaras dengan konsep TTB yang bukan sahaja mahu membantu pasangan kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga, namun beri tanah untuk mereka bina rumah.
“Sudah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membantu golongan ini keluar daripada garis kemiskinan dan melahirkan generasi baharu yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis resepsi 70 pengantin baharu di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus yang menyertai program ‘Keluarga Generasi TTB: Perkahwinan Perdana’ di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.
Ahmad Razif berkata, pejabat tanah dan daerah di seluruh negeri akan diminta mengenal pasti tanah kosong di kawasan masing-masing bagi pelaksanaan skim bantuan terbabit.
Menurut beliau, bagi kos pembinaan rumah pula, pasangan terbabit akan ditawarkan pinjaman sehingga RM50,000 menerusi Skim Pinjaman Perumahan yang diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.
“Selain itu, peserta program yang berminat menjadi usahawan juga diberi keutamaan untuk menerima pinjaman modal berniaga.
“Bagaimanapun, mereka juga diwajibkan menyertai kursus kekeluargaan dan keibubapaan anjuran YPKT dalam tempoh lima tahun perkahwinan,” katanya.
Program tersebut disertai oleh 217 pasangan berusia 18 hingga 30 tahun dan anak kelahiran Terengganu dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
Mereka telah dinikahkan di daerah masing-masing pada 14 Mei lalu.
Selain menerima sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional, semua perbelanjaan perkahwinan pengantin baharu itu merangkumi majlis resepsi, pakaian pengantin, bayaran jurunikah dan kad nikah ditaja oleh kerajaan negeri.

Monday, May 23, 2016

Bunyi penggera takutkan perompak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH


BESUT – Niat seorang perompak untuk melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di Agrobank di Kuala Besut dekat sini tidak menjadi apabila dia terpaksa melarikan diri kerana panik selepas mendengar alat penggera berbunyi.
Dalam kejadian pukul 5.20 pagi semalam, sebuah mesin ATM yang sudah berjaya ditarik keluar dari bank sejauh 15 meter ditemui tersadai di jalan raya manakala mesin CDM yang cuba diumpil menggunakan kuku kambing dan cangkul kecil juga tidak berhasil.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati semasa rompakan, bank tersebut menempatkan dua buah mesin ATM dan sebuah mesin CDM.
Menurut beliau, perompak pada mulanya dipercayai cuba mengumpil mesin CDM menggunakan kuku kambing dan sebatang cangkul kecil namun gagal.
Selepas itu, Zamri memberitahu, perompak beralih kepada mesin ATM yang cuba dilarikan dengan cara mengikat mesin ATM tersebut menggunakan tali untuk ditarik dengan kereta Proton Wira.
“Selepas mesin ATM berjaya ditarik keluar sejauh 15 meter dari bank, alat penggera dipasang di bank berbunyi.
“Penjenayah yang panik dengar bunyi alat penggera itu terpaksa membatalkan hajatnya dan meninggalkan mesin ATM yang berjaya ditarik ke jalan raya sebelum melarikan diri tanpa mendapat apa-apa,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Sebuah lagi mesin ATM, milik bank itu tidak diusik. Pemeriksaan mendapati mesin CDM itu mempunyai kesan cuba diumpil.
Zamri berkata, pemeriksaan ke atas dua buah mesin ATM dan sebuah mesin CDM milik Agrobank mendapati wang di dalam ketiga-tiga mesin tersebut tidak hilang.
Mengulas lanjut, kata beliau, cubaan merompak itu diterima polis selepas dihubungi seorang wakil syarikat keselamatan yang bertanggungjawab memantau alat penggera yang dipasang bank tersebut.
Jelasnya, pemeriksaan di lokasi kejadian turut mendapati pintu kaca premis Agrobank pecah dipercayai akibat tindakan penjenayah menarik keluar mesin ATM yang diikat pada kereta.
“Menerusi televisyen litar tertutup (CCTV), polis nampak hanya seorang lelaki memasuki bank itu dan penjenayah terbabit menggunakan kereta Proton Wira,” kata beliau.
Berikutan kejadian itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung cubaan merompak mesin ATM dan mesin CDM tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama rompakan mesin ATM pada 18 Mei 2014 yang menyebabkan kerugian sebanyak RM160,000,” kata beliau.
Sejak kebelakangan ini, polis kerap menerima kes-kes merompak mesin ATM di seluruh negara. Antara taktik yang digunakan penjenayah termasuklah menggunakan bahan letupan untuk memecahkan mesin ATM.

Bunyi penggera gagalkan cubaan membawa lari mesin ATM, CDM


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH


BESUT - Cubaan untuk melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Kuala Besut dekat sini pada hari ini tidak kesampaian apabila sistem penggera premis itu berbunyi.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, mesin CDM berkenaan didapati hanya beralih kedudukan sementara mesin ATM pula terpaksa ditinggalkan penjenayah terbabit di atas jalan raya berhampiran.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan mendapati tiada wang yang berada di dalam mesin CDM dan mesin ATM itu berjaya dilarikan.
"Sebelum itu, polis menerima maklumat tentang sistem penggera bank berkenaan telah berbunyi daripada wakil sebuah syarikat keselamatan yang berpengkalan di Kuala Lumpur pada pukul 5.35 pagi.
"Pemeriksaan kemudiannya mendapati pintu premis bank itu telah dipecahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Seorang maut, empat cedera parah ketika dikejar kereta peronda polis

JERTIH - Seorang lelaki maut manakala empat rakannya cedera parah selepas kereta Proton Wira yang dinaiki merempuh sebatang pokok sewaktu dikejar sebuah kereta peronda polis di Kilometer 102, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Apal dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, Mohd. Sabri Abd. Ghani, 30, dari Kampung Tualang Manir, Kuala Terengganu dekat sini mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala pemandu kereta, Muhamad Khairul Ibrahim, 21 dan tiga penumpang lain iaitu Mohd. Hafizul Mahadi, 33; Wan Khairul Hafizi Wan Shamsul Bahari, 24 serta Faisal Yusuf, 25, pula mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kereta Proton Wira yang dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan belakang Pasar Renek, Jabi dekat sini pada pukul 3.10 pagi.
"Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
"Selepas dikejar kereta peronda polis hampir lapan kilometer, kereta Proton Wira itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan sebelum memasuki kawasan semak berhampiran," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, May 22, 2016

Tanah untuk pengantin baru Keluarga Generasi TTB : Perkahwinan Perdana

KUALA TERENGGANU - Seramai 217 pengantin baru di seluruh Terengganu yang menyertai program Keluarga Generasi Transformasi Terengganu Baru (TTB): Perkahwinan Perdana anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu berpeluang menerima sebidang tanah daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian tanah tersebut bertujuan membantu pasangan yang baru mendirikan rumah tangga terbabit untuk membina rumah bagi memulakan penghidupan baharu.
"Ia selaras dengan konsep TTB yang bukan sahaja mahu membantu pasangan yang kurang berkemampuan ini mendirikan rumah tangga malah sepanjang tempoh perkahwinan.
"Sudah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membantu golongan ini keluar daripada garis kemiskinan dan melahirkan generasi baru yang berjaya," katanya selepas menghadiri majlis resepsi 70 pengantin baru dari sekitar.
daerah ini dan Kuala Nerus yang menyertai program Keluarga Generasi TTB : Perkahwinan Perdana di Wisma Darul Iman di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, May 20, 2016

Bekas pelajar MRSM Kuala Terengganu imbau kenanagan lama

NOSTALGIA. Seramai 68 orang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu tahun 1986 mengadakan program perjumpaan semula di Resort D'Rhu Beach, Balok, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Penganjur program, Mohd. Saufi Mustapai berkata, program tersebut telah mempertemukan semula mereka yang kebanyakannya jarang bertemu sejak meninggalkan alam persekolahan pada 30 tahun lalu.

"Pelbagai aktiviti dilakukan seperti pertandingan bola tampar, persembahan fesyen, karaoke dan cabutan bertuah," katanya.

Wednesday, May 18, 2016

Dijel simpan biawak, babi hutan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat awak-awak warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memiliki empat ekor biawak air yang merupakan haiwan yang dilindungi tanpa lesen pada seminggu lalu.

Tran Huang Thanh, 34; Ngu­yeng Qui Tam, 36, Duan Van Vai, 38, dan Nguyeng Van Khai, 44, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Vietnam di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, ke­semua tertuduh didakwa menyimpan empat ekor biawak air yang merupakan haiwan dilindungi tanpa lesen sah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Taman Rekreasi Chendering di sini pada pukul 4.45 petang, 8 Mei lalu.

Sementara itu, tekong bot nelayan berkenaan, Tran Phuoc Hai, 40, yang juga warga Vietnam turut didenda RM6,000 oleh mahkamah sama setelah mengaku bersalah memiliki daging babi hutan secara haram.

Phuoc Hai gagal membayar denda tersebut dan dia diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan bersama empat awak-awak bot nelayannya yang lain di Penjara Marang.

Berdasarkan pertuduhan, Phuoc Hai didakwa menyimpan satu bahagian daging babi hutan yang merupakan haiwan liar dilindungi tanpa lesen di dalam sebuah bot pukat tunda yang diletakkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chendering di sini pada pukul 4.30 petang, 8 Mei lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan biawak air merupakan antara makanan eksotik yang paling digemari warga Vietnam sehingga turut tersenarai antara makanan mewah kegemaran rakyat negara itu.

Tuesday, May 17, 2016

Program 'Sekolah Bergerak' bantu akademik anak Terengganu

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu bercadang untuk memperkenalkan program 'Sekolah Bergerak' yang bertujuan meningkatkan lagi prestasi akademik murid sekolah negeri ini terutamanya yang menetap di pendalaman.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program tersebut berkonsepkan kelas tuisyen dan bimbingan itu di dalam kenderaan yang lengkap dengan kemudahan pengajaran secara bergerak dari satu kampung ke satu kampung di seluruh negeri.
"Tenaga pengajarnya akan terdiri daripada lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih belum mendapat pekerjaan tetap.
"Ilmu dan kemahiran mereka boleh digunakan untuk membantu jabatan pelajaran negeri membimbing murid-murid terlibat meningkatkan prestasi dalam pelajaran," katanya selepas merasmikan program Ilmu Mengubah Destini anjuran Perpustakaan Tun Razak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua lelaki cuba rasuah polis dipenjara, denda

KUALA TERENGGANU – Gara-gara cuba mera­suah anggota polis, dua rakan sekampung dijatuhi hukuman penjara tiga hari oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan Mohd. Fadlil Hasan, 24, dan Faizal Mohamad Fauzi, 28, yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut didenda RM10,000 atau sebulan penjara sekiranya ia gagal dilunaskan.
Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Asmadi menetapkan hukuman bagi Faizal berjalan selepas dia selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah di Penjara Marang yang berakhir pada 3 September depan.

Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa cuba memberi suapan wang tunai RM500 kepada Inspektor Azizan Aziz agar tidak dikenakan tindakan kerana disyaki memiliki dadah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Limbungan, Besut dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari 9 Mac 2014.

Mengikut fakta kes, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Narkotik Terengganu telah menahan Mohd. Fadlil dan Faizal serta seorang lain.

Pemeriksaan di dalam premis terbabit telah menjumpai satu tiub mengandungi serbuk dan dua tiub yang ma­sing-masing mengan­dungi pil disyaki dadah jenis Me­thapetamine.

Mohd. Fadlil dan Faizal kemudian merayu agar dilepaskan sebelum tertuduh pertama kemudiannya cuba menyerahkan wang tunai RM500 kepada Azizan.

Monday, May 16, 2016

Lima nelayan Vietnam dipenjara enam bulan miliki biawak air, babi hutan

KUALA TERENGGANU - Empat awak-awak bot nelayan warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memiliki empat ekor biawak air yang merupakan haiwan yang dilindungi tanpa lesen pada seminggu lalu.
Tran Huang Thanh, 34; Nguyeng Qui Tam, 36, Duan Van Vai, 38, dan Nguyeng Van Khai, 44, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Vietnam di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyimpan empat ekor biawak air yang merupakan haiwan dilindungi tanpa lesen sah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Taman Rekreasi Chendering di sini pada pukul 4.45 petang, 8 Mei lalu.
Sementara itu, tekong bot nelayan berkenaan, Tran Phuoc Hai, 40, yang juga warga Vietnam turut didenda RM6,000 oleh mahkamah sama setelah mengaku bersalah memiliki daging babi hutan secara haram.
Berdasarkan pertuduhan, Phuoc Hai didakwa menyimpan satu bahagian daging babi hutan yang merupakan haiwan liar dilindungi tanpa lesen di dalam sebuah bot pukat tunda yang diletakkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chendering di sini pada pukul 4.30 petang, 8 Mei lalu. - K! ONLINE

4 didakwa dera gadis sampai mati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN ADLAN

KEMAMAN – Empat beranak iaitu bapa, ibu tiri dan dua anak mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang gadis berusia 22 tahun yang hanya seberat 18 kilogram (kg) ketika meninggal du­nia dalam kejadian di Cukai dekat sini akhir bulan lalu.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Anuar Jusoh, 49, isterinya, Murni Ahmad, 35, dan dua anak pasangan itu iaitu Siti Sarah, 21, dan seorang remaja lelaki ber­umur 14 tahun.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Anuar, Murni dan dua adik-beradik itu atas pertuduhan membunuh gadis malang Siti Hajar, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Anuar merupakan bapa kandung kepada Siti Hajar dengan bekas isteri terdahulu manakala  Murni merupakan ibu tiri kepada Siti Hajar. Siti Sarah dan seorang remaja lelaki itu pula merupakan adik-adik kepada Siti Hajar tetapi berlainan ibu.

Anuar dan Murni tidak menunjukkan sebarang reaksi sewaktu mereka dibawa ke kamar mahkamah manakala Siti Sarah dan adik lelakinya kelihatan seperti keliru sepanjang prosiding yang berlangsung kira-kira 10 minit.

Berdasarkan pertuduhan, Anuar, Murni, Siti Sarah dan adik lelakinya didakwa membunuh Siti Hajar dalam kejadian di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Cukai di sini pukul 10.45 malam, 26 April lalu.

Keempat-empat ber­a­nak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Badrul Munir tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan mengarahkan Anuar yang merupakan seorang mekanik ditahan di Penjara Marang.

Murni dan Siti Sarah pula diarahkan ditahan di Penjara Bentong, Pahang manakala tertuduh juvana yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu diarahkan  ditempatkan di Asrama Akhlak Rusila, Marang.

Kes tersebut akan di­sebut semula pada 13 Jun depan.

Difahamkan ibu kan­dung Siti Hajar  menetap di Pulau Pinang.

Kosmo! 3 Mei lalu mela­porkan punca kematian seorang gadis berusia 22 tahun yang memiliki berat badan cuma 18 kilogram pada 26 April lalu ­akhirnya terbongkar apabila mang­sa dipercayai me­ninggal dunia akibat didera oleh keluarganya.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa me­ninggal dunia kerana  jangkitan kuman selain sebahagian besar tubuhnya mempunyai kesan gigitan manusia.

Anis Hazirah muncul johan Pidato 1Malaysia Terengganu

PIDATO. Jabatan Penerangan Terengganu menganjurkan pertandingan Pidato 1Malaysia peringkat negeri di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Nasrudin H. Mahmud berkata, pertandingan tersebut yang bertemakan 'Sehati Sejiwa' itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman golongan belia tentang dasar-dasar kerajaan khususnya gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, pada pertandingan itu, Anis Hazirah Zakaria, 20, yang merupakan penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu muncul sebagai  johan pertandingan itu.

Sunday, May 15, 2016

Empat sekeluarga dituduh bunuh ahli keluarga sendiri

KEMAMAN - Empat beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gadis yang meninggal dunia disyaki didera ahli keluarga sendiri pada akhir bulan lalu.
Tiada pengakuan diambil terhadap Anuar Jusoh, 49; isterinya, Murni Ahmad, 35; dan dua anak mereka, Siti Sarah, 21, serta remaja lelaki berumur 14 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua didakwa membunuh Siti Hajar Anuar, 22, di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Cukai di sini pada pukul 10.45 malam, 26 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Friday, May 13, 2016

UMT anjur konvensyen keusahawanan, sukarelawan belia

DISKUSI. Kelab Sekretariat Rakan Muda Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan program Konvensyen Gegar Siswa Terengganu di Dewan Syed Jalaludin, Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Program, Muhammad Akmal Ali berkata,  konvensyen terbabit bertujuan untuk memberi platform kepada mahasiswa dan belia di sekitar negeri ini untuk membincangkan isu keusahawanan, sukarelawan, integriti dan cinta.

Antara penceramah terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bella Ammara, Khalif Samsudin yang merupakan pengusaha butik muslimah berjaya dan Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan, Sabran Abd. Bahar.

Thursday, May 12, 2016

Dua rakan sekampung cuba rasuah anggota polis dipenjara tiga hari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Dua rakan sekampung masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mereka mengaku bersalah cuba merasuah seorang anggota polis yang mahu menahan mereka pada dua tahun lalu.
Hakim Asmadi Hussin juga mengenakan denda RM10,000 terhadap Mohd. Fadlil Hasan, 24, dan Faizal Mohamad Fauzi yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut.
Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda tersebut sekali gus perlu menjalani hukuman tambahan iaitu penjara selama sebulan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba memberi suapan wang tunai RM500 kepada Inspektor Azizan Aziz sebagai dorongan tidak menahan mereka atas kesalahan disyaki memiliki dadah di Kampung Limbungan, Besut pada pukul 12.30 tengah hari, 9 Mac 2014.
Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - K! ONLINE

Kumbang merah ancam kelapa sawit

DUNGUN – Industri kelapa sawit negara yang me­nyumbang perolehan RM63.5 bilion setahun boleh terjejas akibat ancaman kumbang merah palma atau red palm weevil (RPW) atau nama saintifiknya Rhynchophorus ferrugineus.
Ia adalah sejenis kumbang daripada keluarga curculionidae (coleoptera), merupakan perosak utama bagi tanaman palma seperti kelapa, kelapa sawit dan kurma.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, serangga itu pernah memusnahkan berpuluh ribu hektar ladang kurma di rantau Asia Barat hampir 10 tahun lalu dan kini dikesan telah mula menyerang pokok kelapa sawit di Indonesia.
“Sejak kumbang merah palma memasuki negara ini menerusi pohon kurma yang diseludup dari Thailand pada tahun 2010, serangga itu telah memusnahkan 498 hektar pokok kelapa, 335 pokok kurma dan berpuluh-puluh pokok hiasan jenis palma.
“Ancaman serangga itu kini sudah me­rebak di seluruh negara de­ngan Terengganu dan Kelantan paling teruk terjejas. Di kawasan Kuala Abang di sini, dianggarkan 90 peratus daripada 20 hektar pokok kelapa yang ditanam telah dirosakkan oleh RPW,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan Kumbang Merah Palma di Kampung Baru, Kuala Abang di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Roslee Daud.
Menurut Ahmad Shabery, kerajaan telah mengambil langkah kawalan antaranya, memusnahkan pokok kelapa yang terjejas, memasang 8,000 perangkap feromon  dan menggunakan racun kimia.
RPW yang cepat membiak membunuh pokok jenis palma dengan memakan umbut dan batang pokok dari dalam hingga menyebabkan pelepah dan pucuknya patah sebelum pohon itu mati sepenuhnya dalam tempoh kurang setahun.
Serangga perosak itu dikesan pertama kali di negara ini di kawasan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan pada Oktober 2005.
Ketika ini, Malaysia mempu­nyai ladang sawit seluas 4.7 juta hektar termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Dua rakan sekampung didakwa cuba rasuah anggota polis

KUALA TERENGGANU - Dua rakan sekampung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis yang mahu menahan mereka pada dua tahun lalu.
Mohd. Fadlil Hasan, 24, dan Faizal Mohamad Fauzi, 28, yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut dekat sini mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba memberi suapan wang tunai RM500 kepada Inspektor Azizan Aziz sebagai dorongan tidak menahan mereka atas kesalahan disyaki memiliki dadah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Limbungan, Besut dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari, 9 Mac 2014.
Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - K! ONLINE

Wednesday, May 11, 2016

Isu bonus T-Team bakal selesai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BONUS kemenangan yang dijanjikan kepada pemain dan pengurusan pasukan T-Team bakal di­lunaskan dalam masa terdekat.
Pengurus skuad The Titans, Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, setiap pemain serta pe­ga­wai pasukan akan menerima bonus RM5,000 sekiranya berjaya memperoleh lebih daripada tujuh mata dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau berkata, isu pembayaran bonus kemena­ngan itu telah dibincangkan bersama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan negeri, Ibni Amin Busu.

“Secara dasarnya, semua pihak terbabit telah meluluskan pembayaran bonus berkenaan kepada pegawai dan pemain T-Team.

“Jadi, ia (bonus) akan dibayar secepat mungkin,” kata­nya kepada pemberita selepas menghadiri  program Kokurikulum Bersama Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam, Kuala Te­rengganu semalam.

Selain beramah mesra dengan pelajar sekolah berkenaan, pemain-­pemain T-Team seperti Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan Makan Konate turut mempamerkan skil bermain bola sepak.

T-Team yang juga dikenali sebagai Terengganu FC 2 kini berada di tangga keempat dengan kutipan 15 mata menerusi empat kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan.

Dua pemuda didakwa cuba rasuah polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Dua rakan sekampung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis yang mahu menahan mereka dalam satu serbuan kes dadah pada dua tahun lalu.
Mohd. Fadlil Hasan, 24, dan Faizal Mohamad Fauzi, 28, yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut dekat sini mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan, Mohd. Hanafi Abd. Rahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa bersama-sama cuba memberi suapan wang tunai RM500 kepada Inspektor Azizan Aziz sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap mereka atas kesalahan disyaki memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah Projek Perumahan Rak­yat Termiskin yang tidak bernombor di Kampung Limbungan, Besut dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari, 9 Mac 2014.

 Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

 Mohd. Azhar membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan Khamis ini sebagai tarikh jatuh hukum.

 Mohd. Fadlil yang merupakan seorang buruh dan Faizal yang sedang meringkuk di dalam penjara dalam kesalahan penyalahgunaan dadah gagal membayar wang jaminan itu dan mereka ditahan di Penjara Marang.

Tak sempat lepas gian dalam bot

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat 11 nelayan termasuk dua warga Thailand untuk melepaskan gian menagih dadah di dalam bot nelayan dan rumah rakit tidak kesampaian apabila diserbu polis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun itu panik hingga nekad cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Terengganu.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, kepantasan sepasukan polis yang sedia mengepung lokasi itu dengan bantuan dua bot berjaya memberkas kesemua mereka.

“Seorang lelaki berusia 20-an berasal dari Kampung Batu 6, Kuala Nerus di sini dipercayai dalang yang membekalkan dadah kepada nelayan terbabit berjaya meloloskan diri dan gerakan memburunya sedang giat dilakukan.

“Pemeriksaan di dalam bot nelayan dan rumah rakit tersebut pula telah menjumpai 161 biji pil kuda, empat botol disyaki me­ngandungi dadah jenis heroin dan dua botol ubat batuk yang kesemuanya berjumlah RM2,800 dan wang tunai berjumlah RM1,214,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.

Idris berkata, dua lelaki warga Thailand berusia 30-an yang turut ditahan bekerja sebagai awak-awak bot nelayan berkenaan dan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, ujian air kencing ke atas 11 suspek juga mendapati ­semuanya positif dadah dan modus operandi mereka ialah menjadikan bot nelayan dan rumah rakit tersebut sebagai lokasi untuk melepaskan gian menagih dadah selepas keluar menangkap hasil laut.

“Risikan mendapati, urus niaga pembelian dadah juga berlaku di dalam bot nelayan dan rumah rakit berkenaan yang ditambat kira-kira 25 meter dari tebing su­ngai dan ia sudah berlarutan sejak setahun lalu.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1)serta 12 (2) akta sama,” katanya.

Tuesday, May 10, 2016

Jenazah Ahmad Sobri selamat disemadikan

KUALA TERENGGANU - Jenazah pengawal peribadi Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Lans. Koperal Ahmad Sobri Harun, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah, Kampung Bukit Cempaka, Tepoh di sini pada pukul 8.20 pagi tadi.
Seramai 300 orang menghadiri upacara pengebumiannya dilangsungkan dalam adat-istiadat kepolisan.
Terdahulu, jenazah Ahmad Sobri yang diterbangkan dengan pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini pada pukul 6.20 pagi.
Selain ahli keluarga, antara yang menyambut jenazah tersebut ialah Menteri Besar Tengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Ab. Rahim.
Jenazah Ahmad Sobri yang merupakan anak keempat dari lima beradik kemudiannya disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Bukit Cempaka.
Beliau merupakan salah seorang daripada enam termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis lalu.
Terdahulu malam tadi, jasad Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mendiang Dr. Sundaran Annamalai tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Petaling Jaya.
Jasad mendiang yang diterbangkan dengan menaiki pesawat Charlie C130 milik TUDM selamat mendarat kira-kira pukul 12 tengah malam selepas berlepas dari Pangkalan TUDM Kuching pada pukul 9.50 malam semalam.
Balu mendiang, Datin K. Talagavathi dan dua anaknya turut mengiringi jenazah. - K! ONLINE

Ahmad Sobri mohon restu ibu sebelum naik helikopter

KUALA TERENGGANU – Pengawal peribadi Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Lans. Koperal Ahmad Sobri Harun, 26, (gambar) yang merupakan salah seorang mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak sempat memohon restu daripada ibunya sebelum menaiki pesawat malang tersebut petang kelmarin.

Adik bongsu mangsa, Siti Noriah, 22, berkata, abang keempatnya daripada lima beradik itu telah menghubungi ibunya, Fauziah Musa beberapa jam sebelum dia dilaporkan hilang bersama empat penumpang lain pesawat itu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan  suaminya, Tuan Asmuni Abdullah.
“Itulah kali terakhir abang (Ahmad Sobri) menghubungi ibu yang ketika itu berada di rumah (Kampung Bukit Cempaka, Tepoh).

“Saya mengetahui berita tentang nahas menimpa abang pada pukul 9 malam selepas dihubungi kakak yang menetap di Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya ada menonton berita te­levisyen mengenai kehilangan helikopter itu tapi tak sangka pula ia melibatkan abang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Cempaka, Tepoh di sini semalam.

Siti Noriah memberitahu, kesemua ahli keluarganya termasuk ibu dan bapanya, Harun Muda, 61, telah bergegas ke Kuala Lumpur pada pagi semalam untuk mendapatkan perkembangan lanjut berhubung tragedi helikopter terbabit.

T-Team dapat tajaan produk nutrisi daripada Mesotropin

STAMINA pemain T-Team untuk mengharungi setiap perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dijangka melonjak selepas ini selepas The Titans menerima penajaan produk nutrisi sukan daripada Mesotropin Sdn. Bhd. (Mesotropin), lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Mesotropin, Hafiz Abd. Wasa berkata, pemain pasukan yang mendapat jolokan The Titans itu akan dibekalkan dengan produk-produk nustrisi sukan keluaran syarikatnya seperti M-Sotropin, 6-Tropin dan Hydro Whey sepanjang baki perlawanan musim ini.

“Produk Mesotropin memang khusus untuk ahli sukan. Selain mengaktifkan sistem metabolisme secara semula jadi, ia juga membantu mengurangkan risiko penyuraian otot selepas bersukan.

“Ia juga berupaya meningkatkan lagi prestasi para pemain T-Team. Hasil awal dijangka boleh dilihat pada perlawanan menentang Terengganu pada 18 Mei depan,” katanya di Kuala Terengganu semalam.

Saturday, May 7, 2016

Industri kelapa sawit diancam kumbang merah palma

DUNGUN - Industri kelapa sawit negara mempunyai keluasan lebih kurang 90,000 hektar dengan perolehan RM63.5 bilion setahun di seluruh negara berhadapan dengan risiko terjejas akibat ancaman kumbang merah palma yang kini sudah menyerang pohon spesies sama seperti kelapa dan kurma.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerisauan itu mempunyai asas kerana serangga yang pernah memusnahkan berpuluh ribu hektar ladang kurma di rantau Timur Tengah hampir 10 tahun lalu dikesan telah mula menyerang pokok kelapa sawit di Indonesia.
"Sejak kumbang merah palma memasuki negara ini menerusi pohon kurma yang diseludup dari negara jiran iaitu Thailand pada tahun 2010, serangga itu telah memusnahkan 498 hektar pokok kelapa, 335 pokok kurma dan berpuluh-puluh pokok hiasan jenis palma.
"Ancaman serangga yang menyerang pohon jenis palma itu kini sudah berada di seluruh negara dengan Terengganu dan Kelantan paling teruk terjejas. Di kawasan Kuala Abang di sini sahaja, dianggarkan 90 peratus daripada 20 hektar pokok kelapa yang ditanam telah dirosakkan oleh kumbang merah palma," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan Kumbang Merah Palma di Kampung Baru, Kuala Abang di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, May 6, 2016

Ahmad Sobri mohon restu ibu sebelum naik helikopter

KUALA TERENGGANU - Pengawal peribadi Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Lans. Koperal Ahmad Sobri Harun, 26, yang merupakan salah seorang mangsa terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Kuching, Sarawak sempat memohon restu daripada ibunya sebelum menaiki pesawat malang terbabit pada petang semalam.
Adik bongsu mangsa, Siti Noriah, 22, berkata, abang keempatnya dari lima beradik itu telah menghubungi ibunya, Fauziah Musa beberapa jam sebelum dia dilaporkan hilang bersama empat penumpang lain pesawat itu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Tuan Asmuni Abdullah.
"Itulah kali terakhir abang (Ahmad Sobri) menghubungi ibu yang ketika itu berada di rumah (Kampung Bukit Cempaka, Tepoh).
"Saya mengetahui berita tentang nahas menimpa abang pada pukul 9 malam selepas dihubungi kakak yang menetap di Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya ada menonton berita kehilangan helikopter itu tapi tak sangka pula ia melibatkan abang," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Cempaka, Tepoh di sini tadi. - K! ONLINE

11 Nelayan lepas gian dalam bot diberkas

KUALA TERENGGANU - Hajat 11 nelayan termasuk dua warga Thailand untuk melepaskan gian menagih dadah di dalam bot nelayan dan rumah rakit tidak kesampaian apabila diserbu polis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun itu panik hingga bertindak nekad cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Terengganu sewaktu diserbu pada pukul 11 pagi.
"Namun mereka berjaya diberkas dengan bantuan dua bot yang telah bersiap sedia mengepung bot nelayan dan rumah rakit berkenaan.
"Pemeriksaan di dalam bot nelayan dan rumah rakit tersebut menjumpai 161 biji pil kuda, empat botol disyaki mengandungi dadah jenis heroin dan dua botol ubat batuk yang kesemuanya berjumlah RM2,800 dan wang tunai berjumlah RM1,214," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Thursday, May 5, 2016

Sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda tumpas

KUALA TERENGGANU - Sebuah lagi sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda di Terengganu ditumpaskan polis kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, empat anggota sindiket berkenaan yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun berjaya diberkas di Kampung Kolam, Telaga Papan, Setiu dekat sini pada pukul 2.40 petang.
"Terdahulu, mereka dipercayai melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang diletakkan di perkarangan sebuah rumah di Kampung Jeram, Manir di sini pada pukul 6.50 pagi.
"Pemeriksan polis juga menjumpai beberapa peralatan mencuri kereta seperti anak kunci, spanar, pemutar skru dan ragum di dalam beg pinggang milik salah seorang suspek," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Isnin lalu, percubaan sebuah sindiket lain melarikan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm turut berjaya digagalkan polis. - K! ONLINE

Ops Cantas Khas Tonto diperluas ke seluruh negara

KUALA TERENGGANU - Ops Cantas Khas Tonto akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memerangi kumpulan tonto ganas terbabit sehingga ke akar umbi.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, setelah berjaya menahan 15 ketua sindiket tonto itu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pada hujung bulan lalu, operasi akan diperluaskan ke negeri-negeri lain terutamanya di Kedah Johor dan Pulau Pinang pada masa terdekat.
"Perak, Selangor dan Negeri Sembilan merupakan negeri-negeri paling serius mempunyai kegiatan tonto ganas.
"Walaupun kumpulan tonto itu dilihat telah mengendurkan sedikit gangguan terhadap anggota penguatkuasa JPJ berikutan operasi itu tempoh hari, kita dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia akan terus agresif sehingga ia dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari JPJ ke-70 peringkat Terengganu di pejabat JPJ negeri di sini hari ini. - K! ONLINE

Wednesday, May 4, 2016

Gagal seludup ke negara jiran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Satu sindiket yang mencuri kenderaan pacuan empat roda dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran berjaya ditumpaskan polis Terengganu semalam.
Siasatan awal mendapati, sindiket itu menyasarkan kenderaan pa­cuan empat roda di sekitar Pantai Timur berikutan permintaan tinggi untuk kenderaan jenis itu di negara jiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, anggota sindiket berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki termasuk dua warga Thailand dikesan telah mencuri sebuah kenderaan Mitsubishi Storm milik seorang pekebun pada pukul 12.30 tengah hari.
“Sebelum itu, lelaki berusia 65 tahun tersebut telah meletakkan kenderaannya di tepi jalan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Batu Buruk untuk menziarahi kawannya di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
“Kenderaan Mitsubishi Storm berkenaan dikesan berada di Permaisuri, Setiu dekat sini kira-kira 66 kilometer dari lokasi ia dilaporkan hilang pada pukul 3 petang.
“Sepasukan polis terdiri daripada anggota unit peronda motosikal dan kereta pe­ronda (MPV) telah mengejar kenderaan itu sebelum berjaya memintasnya di Kampung Teluk Tasek, Guntung, Setiu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.
Wan Abd. Aziz memberitahu, seorang anggota sindiket berkenaan yang memandu kenderaan terbabit berjaya ditahan manakala dua lagi berjaya meloloskan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran.

Beliau berkata, suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan berasal dari Batu Pahat, Johor dan dia mempunyai lima kes jenayah lampau melibatkan kecurian kenderaan dan penyalahgunaan dadah.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu juga menjumpai sebuah pasport dipercayai milik salah seorang suspek yang dikenalpasti sebagai Sobree Palakmuming, 34, dari Sungai Golok, Thailand," katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, indentiti lagi seorang suspek yang juga warga Thailand masih belum dikenalpasti dan dia hanya dikenali sebagai Pak Yu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah mengekori kenderaan pacuan empat roda sebelum melarikannya selepas pemiliknya meninggalkan tempat letak kereta. 

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.