Translate

Thursday, February 18, 2016

Syamsul, Yusof tidak plagiat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Pe­ngarah dan pelakon prolifik, Syamsul Yusof dan bapanya, Datuk Yusof Haslam boleh menghela nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang ditayangkan pada tahun 2009 tidak memplagiat novel Aku Bohsia.
Hakim Datin Azizah Nawawi mengetepikan tuntutan saman yang difailkan penulis novel tersebut, Elias Idris, 64, pada 24 November 2014 selepas mendapati isu bohsia dan mat rempit yang menjadi tema kedua-dua filem dan novel berkenaan merupakan isu umum dalam masyarakat negara ini.
“Bohsia dan mat rempit merupakan isu umum dalam masyarakat kita dan ia tidak boleh dijadikan hak eksklusif kepada novel plaintif (Elias) semata-mata. Saya juga bersetuju dengan hujah pihak defendan yang mengatakan, idea kehidupan golongan terbabit tidak di­lindungi oleh Akta Hakcipta 1987.
“Saya mendapati, Elias gagal membuktikan defendan telah melanggar hak cipta novel berkenaan dalam penerbitan filem tersebut. Oleh itu, tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya ketika membacakan penghakiman bertulisnya di sini semalam.
Azizah juga membenarkan tuntutan balas ketiga-tiga defendan iaitu Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Md. Yusof. 32; bapanya, Md. Yusof Md. Aslam, 62; dan syarikat penerbitan filem milik mereka, Skop Production Sdn. Bhd. yang mendakwa, Elias telah menulis kata-kata fitnah di laman blog milik penulis itu menerusi dua artikel bertarikh 7 November dan 16 November 2014.
Menurut beliau, dakwaan plaintif dalam artikel itu yang mendakwa 80 peratus daripada jalan cerita filem Bohsia: Jalan Pilih Jalan Hitam telah meniru novel Aku Bohsia telah memberi reputasi buruk Syamsul, bapa dan syarikat penerbitan filem mereka kepada masyarakat.

“Plaintif diperintah membayar ganti rugi RM100,000 de­ngan faedah lima peratus dan kos RM40,000 kepada defendan sebagai pampasan,” katanya.

Plaintif diwakili peguam, K. Periasamy manakala peguam, Aizul Rohan pula mewakili ketiga-tiga defendan.

Sementara, Yusof Haslam yang ditemui di luar mahkamah menyatakan rasa bersyukur kerana mahkamah telah membuktikan segala tohmah yang mendakwa dia dan anaknya menciplak idea dalam penerbitan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam terbukti tidak benar.

“Keputusan ini juga telah membersihkan nama dan reputasi Syamsul (sebagai penulis skrip Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Skop Production (pengedar filem). Saya sendiri mempunyai 31 tahun pengalaman sebagai pengarah filem dan drama dan anak saya (Syamsul) pula 12 tahun, semua drama dan filem kami merupakan idea sendiri,” katanya.

Sebelum ini, dalam per­nyataan tuntutan saman yang difailkan Elias mendakwa terdapat banyak persamaan dari segi tema plot, watak dan mesej dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dengan novel Aku Bohsia tulisannya yang diterbitkan pada tahun 1995.

Elias yang menggunakan nama pena Anne Natasha Nita mendakwa telah menulis surat kepada kesemua defendan untuk memaklumkan bahawa hak cipta terpelihara beliau telah dilanggar dan menuntut ganti rugi, namun ia tidak diendahkan.

Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dibintangi Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz dan Diana Danielle. Selain berlakon, Shamsul Yusof juga bertindak sebagai pengarah filem ber­kenaan.


No comments:

Post a Comment