Translate

Thursday, February 11, 2016

Keputusan representasi kes khalwat Sharhan pada 16 Mac depan

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan representasi (rayuan) yang dikemukakan pihak pembelaan pengamal perubatan Islam terkenal, Sharhan Shafie, 40, bagi menggugurkan pertuduhan berkhalwat tertuduh bersama dua beradik wanita pada tiga tahun lalu bakal diketahui pada 16 Mac depan.
Hakim Syarie Umamuddin Yunus ketika menetapkan demikian memaklumkan sebutan semula kes itu akan didengar di hadapan Hakim Syarie, Ibrahim Idris di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada tarikh berkenaan.

Terdahulu peguam syarie Mohamad Isa Abd. Ralip yang mewakili Sharhan dan dua tertuduh lain iaitu Umi Masjuri Hassan, 41, dan Masbelinda, 22, memberitahu, beliau telah menyerahkan ke­semua dokumen diperlukan untuk permohonan rayuan tersebut kepada Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Ketua Pendakwa Syarie, Mohamad Abid Husain yang mengendalikan pendakwaan pula berkata, beliau sedia maklum perkara terbabit dan keputusan permohonan yang dikemukakan pihak pembelaan itu dijangka diketahui pada pendengaran akan datang.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah di sini yang telah mendengar kes itu pada 26 November lalu telah dimaklumkan permohonan representasi itu dibuat ekoran status perkahwinan Sharhan dengan Umi Masjuri telah disahkan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada pertengahan tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain telah mengesahkan status perkahwinan tersebut selepas selesai mendengar kes berkenaan pada 26 Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan untuk Masbelinda, dia didakwa berkhalwat bersama Sharhan di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa, Kuala Lumpur pada pukul 2.55 pagi pada 24 Ogos 2013.

Masbelinda didakwa mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya   sekali jika sabit kesalahan.

Sharhan dan Umi Masjuri pula didakwa di bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) akta yang sama.

No comments:

Post a Comment