Translate

Tuesday, February 16, 2016

Awie didakwa pukul Rozana lagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya pada tahun 2014.
Awie, 48, yang berpakaian sut dan berseluar jean membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Beliau yang merupakan hos dalam slot bual bicara di sebuah rancangan televisyen, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bekas isterinya Rozana Misbun, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.
Ini kali kedua Awie dituduh memukul Rozana. Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada pukul 1.30 petang, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor.
Awie didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Husna membenarkan Awie dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari ini.

Galeri mahkamah majistret tersebut dipenuhi dengan hampir 20 orang ahli keluarga dan rakan-rakan Awie sejak pukul 9.30 pagi bagi memberi sokongan kepada pelakon utama filem Sembilu, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah tersebut.

Begitupun kelibat Rozana dan anak-anak mereka tidak kelihatan.

Awie kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan pada pukul 11 pagi.

Biarpun prosiding berakhir kira-kira 15 minit kemudian, dia terpaksa menunggu di dalam kandang tertuduh sehingga pukul 2 petang sebelum dibenarkan pulang selepas salah seorang ahli keluarganya membayar wang jaminan di kaunter bayaran mahkamah.

 Sebelum ini, Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, Selangor pada 4 Julai 2014 atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah kelamin mereka di No. 9, Jalan UB 5B, Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor.

Beliau turut membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan tersebut dan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar manalakala Awie yang merupakan vokalis kumpulan rock, Wings pula diwakili peguam bela, Hazman Harun.

No comments:

Post a Comment