Translate

Saturday, February 6, 2016

6 remaja didakwa aibkan pelajar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


PETALING JAYA – Enam remaja lelaki termasuk empat juvana yang rakaman perbuatan mereka memaksa dua pelajar sekolah mene­ngah menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar menjadi viral di laman sosial dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan meng­aibkan kehormatan kedua-dua remaja berkenaan.
Tiga tertuduh berusia 17 tahun yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh, Lim Koo Boo Kean, 19, yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta, Tan Jze Keong, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta seorang lagi tertuduh juvana berusia 17 tahun yang juga tidak lagi bersekolah mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Difahamkan, kesemua tertuduh pernah belajar di sekolah yang sama de­ngan kedua-dua mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala Boo Kean dan Jze Keong diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh.

Mengikut pertuduhan, Jze Keong, Boo Kean dan empat lagi tertuduh bawah umur didakwa mengaibkan kehormatan dua remaja berusia 15 tahun dengan menyuruh mereka bersujud sambil menjilat jalan raya di belakang SMK Taman Sea, Peta­ling Jaya di sini pada pukul 1 petang 29 Januari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Fadzlin Suraya kemudian membenarkan empat tertuduh juvana dibebaskan dengan wang jaminan berjumlah RM500 setiap seorang manakala Jze Keong dan Boo Kean masing-masing diikat jamin sebanyak RM1,000.

Mahkamah turut menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh yang mengaku salah selepas me­nerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kosmo! pada Rabu lalu me­laporkan, tindakan sekumpulan enam remaja membuli dua pelajar sekolah menengah de­ngan memaksa mereka menya­lak bagai anjing dan menjilat jalan tar mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis.

Kes buli itu didakwa berpunca da­ripada tindakan kedua-dua mangsa merakam  tanpa kebenaran gambar seorang gadis yang merupakan rakan kepada kesemua suspek.

Klip video berdurasi 34 saat yang memaparkan kejadian buli itu tersebut kemudian menjadi viral di laman sosial sejak Ahad lalu.


No comments:

Post a Comment