Translate

Thursday, February 4, 2016

58 didakwa terlibat ajaran sesat

KUALA LUMPUR – Seramai 58 individu termasuk 12 wanita yang dipercayai pengikut ajaran sesat, Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun ditahan dalam serbuan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bilik Sakura, Tingkat Satu, Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada pukul 8.32 malam kelmarin.
Sewaktu diserbu, kesemua tertuduh sedang mengikuti ceramah ajaran sesat berkenaan yang berselindung di sebalik seminar perniagaan jualan langsung yang memasarkan produk penapis air.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam syarie.

Tiga tertuduh iaitu Farzlie Rahmat, 40; Hamatun Mezi Wahab, 49; dan Sehadle Sa’aamah, 35 dipercayai penganjur perhimpunan tersebut.

Mereka menghadapi dua pertuduhan iaitu cuba menjelaskan doktrin ajaran Millah Abraham dan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle didakwa didapati cuba menjelaskan doktrin berhubung agama Islam yang berlawanan dengan hukum syarak dengan mencampur aduk kefahaman ayat al-Quran iaitu ayat ketiga surah al-Maidah dengan Bible yang dirujuk sebagai al-Kitab yang dipercayai sebahagian ajaran Millah Abraham. 

Ketiga-ketiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Bagi pertuduhan kedua pula, Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle didakwa cuba mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan dibawah Seksyen 96 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. 

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau sebat sehingga enam kali atau mana-mana dua kombinasi hukuman berkenaan jika sabit kesalahan. 
Tiga lagi tertuduh iaitu Nor Asri Baharudin, 48; Mohd. Halimin Mohd. Nasir, 40; dan Mohd. Agus Abu Samah, 39, pula didakwa dengan sengaja cuba membantu Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle menjelaskan ajaran sesat Millah Abraham.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(c) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Manakala baki 52 tertuduh didakwa mengambil bahagian bersama dalam satu majlis yang telah dikendalikan tertuduh pertama, kedua dan ketiga. 

Mereka dituduh mengikut Seksyen 43(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Kesemua pertuduhan melibatkan 58 tertuduh itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan atau sebatan sehingga enam kali atau mana-mana dua kombinasi hukuman berkenaan jika sabit kesalahan. 

Mereka dihadapkan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab dan Hakim Syarie Mohd. Saifullah Hamzah dalam prosiding yang berlangsung hampir empat jam bermula dari pukul 3 petang. 

Kedua-dua hakim syarie juga memerintahkan 55 daripada 58 tertuduh terbabit tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan ditahan di lokap Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang. 

Ia berikutan permohonan Zainor Rashid berikutan sebahagian besar pengikut Millah Abraham yang dihadapkan ke mahkamah syariah sebelum ini gagal menghadiri prosiding mahkamah dengan sengaja menghilangkan diri setelah membayar wang jaminan. 

Begitupun, Mohd. Shaifullah membenarkan tiga tertuduh wanita iaitu Norhazlina Ahmad, 39; Rozita Omar, 44; dan Norfadzillah Ahmad Abdullah, 39, dibebaskan masing-masing dengan wang jaminan RM3,000 dan empat penjamin yang terdiri daripada pegawai kerajaan Jusa B yang bermastautin di Wilayah Persekutuan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan.



No comments:

Post a Comment