Translate

Sunday, February 28, 2016

Pendakwaan panggil 60 saksi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seramai 60 saksi pendakwaan bakal ditampilkan dalam perbi­caraan kes tujuh lelaki termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat kolonel didakwa membunuh Timbalan Ketua Bahagian Bi­cara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais. Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini bermula 4 April depan.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa, 700 keping gambar akan turut dikemukakan kepada mahkamah sepanjang prosiding perbicaraan terbabit.

“Selain itu, sebanyak 79 fail bakal dikemukakan sebagai dokumen menguatkan bukti pendakwaan,” ujarnya kepada Azman di sini semalam.
Mengikut pertuduhan, Dr. R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan bekas doktor tentera berpangkat kolonel didakwa bersubahat membunuh Morais, 55, yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di sini ke alamat No. 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, Selangor antara pukul 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Tertuduh pertama didakwa me­lakukan kesalahan mengikut Sek­syen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Sementara itu enam tertuduh lain iaitu G. Gunasekaran, 44; R. Dinishwaran, 24; A. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath, 23; S. Nimalan, 23; dan S. Ravi Chandaran, 45, didakwa membunuh mangsa di tempat dan waktu yang sama.

Kunaseegaran diwakili peguam N. Sivanathan, peguam M. Manoharan pula mewakili Dinishwaran manakala lima tertuduh lain pula diwakili peguam V. Rajehgopal.

Abdul Razak turut memberitahu mahkamah seorang lagi tertuduh kes tersebut, A. Murugan, 44, telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 17 Februari lalu.

Menurutnya,  Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memjatuhkan hukuman demikian selepas Murugan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

“Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh (Murugan) yang diwakili peguam bela, R. Thirukumaran didakwa menghilangkan keterangan atau kesalahan yang telah dilakukan dengan melupuskan nombor casis kenderaan mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, Azman menetapkan perbicaraan kes bunuh yang pernah menggemparkan negara itu berlangsung selama 16 hari bermula 4 April hingga 8 April, 11 April hingga 15 April dan 21 April serta 22 April depan.

Kosmo! 17 September 2015 lalu melaporkan, Morais yang dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya dari rumahnya di Menara Duta di sini dilaporkan hilang pada 4 September lalu sebelum mayatnya ditemui disimen dalam sebuah tong dram yang dibuang ke dalam parit di Jalan Subang 3, Subang Jaya pada 16 September lalu.

Saturday, February 27, 2016

Pemandu teksi miliki peluru didenda RM1,700

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memiliki sebutir peluru secara salah pada Rabu lalu.
Majistret Mohamad Faizal Ismail memerintahkan demikian selepas Mohd. Jeffry Abdul Rashid, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Jeffy didakwa memiliki sebutir peluru SME 60-9 milimeter yang disimpan di dalam sebuah beg sandang terletak pada papan pemuka teksi miliknya sewaktu pemeriksaan anggota polis di kawasan meletak kereta di Blok 94, PPR Kampung Limau, Pantai Dalam di sini pada pukul 2 pagi, 24 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1966. - K! ONLINE

Friday, February 26, 2016

Pembantu peribadi curi komputer riba bekas menteri dipenjara enam hari

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu peribadi Tan Sri Zulhasnan Rafique dijatuhi hukuman penjara enam hari dan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri komputer riba milik bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pada awal bulan lalu.
Majistret Mohamad Faizal Ismail memerintahkan Mohd. Effendy Jainuddin, 25, menjalani hukuman demikian selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Effendy didakwa mencuri sebuah komputer riba jenama Asus berwarna hitam bernilai RM4,500 di kediaman Zulhasnan di Beringin Residence, Damansara Height di sini pada pukul 2 pagi, 8 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Thursday, February 25, 2016

Juruwang tak naik gaji curi pakaian di kedai majikan

KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu geram tidak menerima kenaikan gaji malahan bayaran komisyen dikurangkan, seorang juruwang di sebuah kedai pakaian yang mencuri barang jualan majikan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan demikian selepas Siti Harmoni Mohamed Noor, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

“Adakah masalah (pendapatan) kamu selesai selepas me­lakukan perkara (mencuri) ini? Pertuduhan ini mewajibkan hukuman penjara dan boleh dikenakan denda sedangkan kamu masih mempunyai bayi yang masih menyusu badan.

“Jangan ulangi perkara sama pada masa depan dan fikir dahulu sebelum berbuat apa-apa,” kata Muhamad Faizal sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di sini semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Siti Harmoni didakwa mencuri barangan berupa dua pasang kasut jenama Pebbles, dua helai baju kemeja lengan panjang, sehelai kardigan dan sehelai baju panas yang bernilai keseluruhan RM267 di sebuah kedai pakaian yang terletak di tingkat satu, Midvalley Megamall di sini pada pukul 7 malam, 18 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh yang memasukkan kesemua barangan tersebut ke dalam sebuah beg plastik sebelum menyerahkannya kepada seorang wanita tidak dikenali di kaunter juruwang premis ber­kenaan tanpa membuat bayaran dikesan menerusi televisyen litar tertutup oleh penyelia kedai pakaian tersebut.

Selepas disoal siasat, Siti Harmoni yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam di sini di­serahkan kepada anggota polis yang bertugas di pondok polis Midvalley Megamall pada 19 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Siti Harmoni yang telah dibuang kerja berikutan kejadian itu membayar denda tersebut.

Wednesday, February 24, 2016

Pengarah syarikat permainan atas talian diperintah bela diri

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat permainan atas talian diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk membela diri atas pertuduhan pecah amanah pada empat tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan demikian terhadap Lim Tack Hui, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Tack Hui didakwa secara tidak jujur telah mendeposit cek bernilai RM307,650 yang sepatutnya digunakan untuk bayaran kepada syarikat pembekal ke akaun bank miliknya sendiri.

Dia yang merupakan Pengarah T-Century Sdn. Bhd. didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat tersebut di Taman Oversea Union di sini antara 21 Mei hingga 19 September 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun dan 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda. - K! ONLINE

Tuesday, February 23, 2016

Wujudkan Tribunal Khas putuskan hak jaga anak

MAHKAMAH Persekutuan pada 10 Februari lalu telah memuktamadkan pertikaian berhubung isu hak penjagaan dua kanak-kanak selepas bapa mereka bercerai dengan isterinya yang berlainan agama.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md. Raus Sharif telah sebulat suara memutuskan anak perempuan berumur 11 tahun itu dipelihara oleh ibu beragama Hindu manakala anak lelaki berusia lapan tahun pula dijaga oleh bapa yang merupakan seorang mualaf.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti kehendak kedua-dua beradik itu yang dipanggil secara berasingan dalam kamar hakim.

Walaupun keputusan itu jelas tidak menye­belahi mana-mana pihak dan selaras de­ngan Seksyen 88(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, ia tetap mencetuskan polemik kurang menyenangkan terhadap institusi kehakiman negara.

Pelbagai komen yang dibangkitkan itu dikhuatiri boleh menjejaskan imej institusi kehakiman baik sivil mahupun syariah.

Sekiranya terus dibiarkan, ia juga boleh mencetuskan salah faham me­ngenai agama Islam yang didakwa tidak bersifat adil.

Sebagai langkah untuk mengurangkan pertikaian tersebut, satu mekanisme yang lebih holistik perlu diambil bagi mengendalikan kes-kes pertikaian penjagaan anak berlainan agama pada masa depan.
Sebuah Tribunal Khas yang berperanan mencari penyelesaian secara baik bagi kes perebutan anak mungkin boleh ditubuhkan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keanggotaan tribunal itu dicadangkan terdiri daripada kalangan hakim-hakim mahkamah sivil dan syariah.

“Ia boleh menjadi platform terbaik bagi panel hakim dari mahkamah syariah dan sivil untuk bersama-sama menyelesaikan kes penjagaan anak oleh ibu bapa berlainan agama demi kebajikan kanak-kanak terlibat.

“Pandangan dari segi perundangan sivil dan syariah boleh diambil kira dalam memuktamadkan setiap kes pertikaian berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Jelasnya, penubuhan tribunal itu diyakini dapat menyelesaikan masalah yang biasa timbul membabitkan pasangan berlainan agama itu.

Menurut beliau, prasangka dari kedua-dua pihak yang menuntut anak dan masyarakat juga boleh dikendurkan menerusi tribunal berkenaan.

“Demi keselesaan kedua-dua pihak, prosiding tribunal khas itu tidak harus terlalu formal dan terikat dengan pelbagai prosedur seperti institusi kehakiman sedia ada,” ujarnya.

Bagi mencapai matlamat penubuhan tribunal tersebut, peruntukan undang-undang mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 perlu dipinda.

Antara isu yang perlu diberi perhatian dalam pindaan akta berkenaan ialah keperluan untuk memberi kebenaran kepada individu mualaf untuk membuat petisyen bagi membubarkan perkahwinan di mahkamah sivil.

Ini adalah kerana kes pertikaian hak penjagaan anak bagi pasangan berlainan agama perlu didengar di mahkamah sivil memandangkan sejarah perkahwinan mereka didaftarkan di institusi tersebut.

Natijahnya, tuntutan untuk mendapatkan hak penjagaan anak tersebut hanya boleh difailkan oleh se­belah pihak sahaja iaitu pasangan yang tidak beragama Islam.

Begitu juga jika tuntutan hak penjagaan anak itu difailkan di mahkamah syariah. Mahkamah itu hanya boleh mendengar keterangan daripada pasangan bukan Islam tetapi tidak menganggap individu berkenaan sebagai satu pihak dalam pendengaran tersebut.

Kontraktor dan pemandu peribadi didakwa menculik

KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor dan pemandu peribadinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bersama-sama melarikan seorang lelaki dengan niat untuk menculiknya pada awal bulan ini.
Mizanur Rahim Mohamed Ali, 34, dan pemandu peribadinya, Mohd. Razif Malip, 33, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Mizanur Rahim dan Mohd. Razif serta bersama-sama beberapa orang yang masih bebas melarikan mangsa berusia 55 tahun dengan niat untuk mengurungnya di belakang bangunan Risda, Jalan Ampang di sini pada pukul 9 malam, 6 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Monday, February 22, 2016

Juruwang kedai pakaian mencuri dipenjara sehari

KUALA LUMPUR - Seorang juruwang sebuah kedai pakaian dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri produk jualan premis tersebut di pusat beli-belah, Midvalley Megamall di sini pada Khamis lalu.
Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan demikian selepas Siti Harmoni Mohamed Noor, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Harmoni didakwa mencuri barangan berupa dua pasang kasut dan empat helai baju yang bernilai keseluruhan RM264 di sebuah kedai pakaian, tingkat satu, Midvalley Megamall pada pukul 7 malam, 18 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Saturday, February 20, 2016

Ahli perniagaan didakwa menipu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


PETALING JAYA – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam atas empat pertuduhan menipu, memalsukan dokumen dan memperdaya pelbagai pihak dengan memiliki cop dan surat kuning kerabat diraja Selangor pada awal bulan ini.
Tertuduh, Chia Wen Jin, 27, yang diwakili peguam bela, Ravin Jay bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan.
Di hadapan Majistret Ahmad Solihin, Wen Jin didakwa menipu Chua Weng Ho dengan mene­rima wang tunai RM10,000 bagi urus niaga keahlian Kelab Diraja Selangor yang tidak wujud di kedai makan Thar Cheong, Taman Equine, Seri Kembangan, Serdang pada sekitar bulan April 2015.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manaf, We Jin didakwa memiliki satu cop atas nama Raja Luthfi Raja Berempat de­ngan niat untuk melakukan pemalsuan.
Dia dituduh mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manaf, We Jin didakwa memiliki satu cop atas nama Raja Luthfi Raja Berempat de­ngan niat untuk melakukan pemalsuan.
Dia dituduh mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

We Jin turut didakwa memperdaya Pengurus Bahagian Khidmat Pelanggan Hotel Palace of The Golden Horses, Nor Syakira Md. Yusof dengan menyamar sebagai wakil Istana Selangor bagi pihak Raja Luthfi Tengku Badli Shah hingga mendorong wanita itu menyediakan tempat letak kereta bagi golongan orang kenamaan (VIP) di hotel ber­kenaan.

Dia yang dihadapkan di hadapan Majistret Salamiah Salleh dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

We Jin juga menghadapi pertuduhan keempat iaitu memalsukan lima dokumen surat kuning bertulisan Istana Raja Selangor yang dikeluarkan Raja Luthfi bertarikh 1 Jun 2013, 1 November 2014, 1 Januari lalu, 1 Februari lalu dan 4 Februari lalu kepada pihak penguasa, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Tanah dan Galian dan Polis Diraja Malaysia.

Bagi dokumen pertama dan kedua, tertuduh mendakwa sebagai ahli kerabat diraja dan menjadi wakil kepada Raja Luthfi untuk segala urus niaga di Pahang serta merupakan pembantu peribadi kanan kepada kerabat diraja Selangor yang kononnya bergelar Raja Berempat Selangor.

Bagi dokumen ketiga dan keempat pula, We Jin mendakwa sebagai ahli kerabat diraja yang dibenarkan untuk memandu dengan kelajuan yang boleh mencapai 160 kilometer sejam (km/j).
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, ketiga dan keempat didakwa dilakukan We Jin di tempat letak kereta VIP, Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Serdang pada pukul 9 pagi. 5 Februari lalu.

Kosmo! pada 14 Februari lalu melaporkan, polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket menjual keahlian ‘Istana Diraja Selangor’ kepada orang awam apabila menahan dua individu di dua lokasi berasingan pada 5 dan 6 Februari lalu.

Penahanan suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dilakukan pada 5 Februari lalu di tempat letak kereta sebuah hotel di Seri Kembangan, Serdang kira-kira pukul 9.30 malam selepas pihak polis menerima aduan terdapat sebuah kereta yang sama dengan kenderaan milik pengiring Istana Selangor.

Friday, February 19, 2016

Ahli perniagaan didakwa menipu dengan surat kuning Kerabat Diraja Selangor palsu

PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu dan memperdaya pelbagai pihak menerusi surat kuning dan cop palsu atas nama kerabat diraja Selangor pada awal bulan ini.
Chia Wen Jin, 27, membuat pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.
Berdasarkan fakta kes, Wen Jin didakwa menerima wang tunai RM10,000 daripada Chua Weng Hua untuk keahlian Kelab Diraja Selangor yang tidak wujud.
Dia juga didakwa memiliki satu cop atas nama Raja Luthfi Raja Berempat Selangor dengan niat membuat pemalsuan.
Wen Jin didakwa menipu pengurus bahagian khidmat pelanggan Hotel Palace of The Golden Horses, Nor Syakira Md. Yusof hingga mendorong wanita itu menyediakan tempat letak kereta golongan kenamaan secara percuma.
Dia juga dituduh memalsukan surat kuning yang mendakwa kononnya Ahli Kerabat Diraja dan wakil kepada Raja Luthfi Tengku Badli Shah untuk makluman pelbagai agensi kerajaan.
Semua pertuduhan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Serdang, Selangor pada pukul 9 malam, 5 Februari 2016. - K! ONLINE

MBJB mohon kes saman vape dipindah ke Mahkamah Tinggi JB

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini semalam untuk memindahkan kes tuntutan saman berhubung rampasan rokok elektronik atau vape milik anggota Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang difailkan pada hujung tahun lalu ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru (JB), Johor.

Peguam, Fadhil Ihsan yang mewakili MBJB berkata, permohonan itu dibuat dengan alasan serbuan terbabit berlaku di Johor Bahru selain kebanyakan saksi-saksi penting kes ini turut menetap di bandar raya itu.

“Oleh itu, kami berpandangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru merupakan institusi yang paling sesuai untuk mendengar kes berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri prosiding pengurusan kes saman itu yang dijalankan secara tertutup di dalam kamar Hakim John O’Hara di sini semalam.

Sementara itu, Ikhlas selaku plaintif diwakili peguam, Zulhasmi Zakaria manakala Pendakwa Persekutuan, Norhashmanita Abdul Manap pula mewakili empat defendan lain iaitu Kementerian Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Ketua Polis Negara.

O’Hara menetapkan pendengaran hujahan permohonan yang dikemukakan MBJB itu pada 28 Mac depan.

Kosmo! pada 29 Disember 2015 melaporkan, saman itu dibuat susulan operasi bersepadu MBJB pada 15 Disember tahun lalu yang menyerbu dan merampas vape milik beberapa ahli Ikhlas hingga menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM400,000.

Anggota polis antara didakwa rompak syarikat pengurup wang

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor antara dua individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas sebuah syarikat pengurup wang pada ming­gu lalu.

M. Ruben, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan N. Pugunaswary, 40, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas sebuah beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM620,000 milik syarikat pengurup wang, Spectrum Forex di Jalan Maarof, Bangsar di sini pada pukul 12.20 tengah hari, 10 Februari lalu.

Ruben dan Pugunaswary yang merupakan pekerja Spectrum Forex didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam bela, Datuk Geetham Ram Vincent dan S.S. Ruban,

Shamsuddin membenarkan ke­dua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari depan.
Beliau juga memerintahkan Ruben dan Pugunaswary melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Klang Utara pada setiap bulan.

Ruben yang menetap di Klang, Se­langor dan Pugunaswary yang tinggal di Jalan Mushi Abdullah di sini membayar wang jaminan tersebut.

Thursday, February 18, 2016

Tukang rumah cedera isteri dipenjara dua hari

KUALA LUMPUR - Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM3,500 atas kesalahan mencederakan isterinya pada Ahad lalu.
Majistret Husna Dzulkifly memerintahkan demikian selepas Nasrulrohim Nasiman, 39, membuat pengakuan bersalah  setelah pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Nasrulrohim didakwa mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Bibi Marhaida Hanas, 34, di rumah mereka di Desa Tun Hussein Onn, Wangsa Maju di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 14 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE


Peniaga pasar malam dipenjara sehari curi Milo, Nescafe

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga pasar malam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri bungkusan minuman Milo dan Nescafe berharga RM346 pada Selasa lalu.
Majistret Husna Dzulkifly memutuskan demikian selepas Mazlan Mohd. Salleh, 42, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pendakwaan, Mazlan didakwa mencuri empat paket Milo dua kilogram dan lapan paket Nescafe 300 gram di pasar raya Uda Ocean, Maju Juction, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 10.18 malam, 16 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Syamsul, Yusof tidak plagiat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Pe­ngarah dan pelakon prolifik, Syamsul Yusof dan bapanya, Datuk Yusof Haslam boleh menghela nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang ditayangkan pada tahun 2009 tidak memplagiat novel Aku Bohsia.
Hakim Datin Azizah Nawawi mengetepikan tuntutan saman yang difailkan penulis novel tersebut, Elias Idris, 64, pada 24 November 2014 selepas mendapati isu bohsia dan mat rempit yang menjadi tema kedua-dua filem dan novel berkenaan merupakan isu umum dalam masyarakat negara ini.
“Bohsia dan mat rempit merupakan isu umum dalam masyarakat kita dan ia tidak boleh dijadikan hak eksklusif kepada novel plaintif (Elias) semata-mata. Saya juga bersetuju dengan hujah pihak defendan yang mengatakan, idea kehidupan golongan terbabit tidak di­lindungi oleh Akta Hakcipta 1987.
“Saya mendapati, Elias gagal membuktikan defendan telah melanggar hak cipta novel berkenaan dalam penerbitan filem tersebut. Oleh itu, tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya ketika membacakan penghakiman bertulisnya di sini semalam.
Azizah juga membenarkan tuntutan balas ketiga-tiga defendan iaitu Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Md. Yusof. 32; bapanya, Md. Yusof Md. Aslam, 62; dan syarikat penerbitan filem milik mereka, Skop Production Sdn. Bhd. yang mendakwa, Elias telah menulis kata-kata fitnah di laman blog milik penulis itu menerusi dua artikel bertarikh 7 November dan 16 November 2014.
Menurut beliau, dakwaan plaintif dalam artikel itu yang mendakwa 80 peratus daripada jalan cerita filem Bohsia: Jalan Pilih Jalan Hitam telah meniru novel Aku Bohsia telah memberi reputasi buruk Syamsul, bapa dan syarikat penerbitan filem mereka kepada masyarakat.

“Plaintif diperintah membayar ganti rugi RM100,000 de­ngan faedah lima peratus dan kos RM40,000 kepada defendan sebagai pampasan,” katanya.

Plaintif diwakili peguam, K. Periasamy manakala peguam, Aizul Rohan pula mewakili ketiga-tiga defendan.

Sementara, Yusof Haslam yang ditemui di luar mahkamah menyatakan rasa bersyukur kerana mahkamah telah membuktikan segala tohmah yang mendakwa dia dan anaknya menciplak idea dalam penerbitan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam terbukti tidak benar.

“Keputusan ini juga telah membersihkan nama dan reputasi Syamsul (sebagai penulis skrip Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Skop Production (pengedar filem). Saya sendiri mempunyai 31 tahun pengalaman sebagai pengarah filem dan drama dan anak saya (Syamsul) pula 12 tahun, semua drama dan filem kami merupakan idea sendiri,” katanya.

Sebelum ini, dalam per­nyataan tuntutan saman yang difailkan Elias mendakwa terdapat banyak persamaan dari segi tema plot, watak dan mesej dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dengan novel Aku Bohsia tulisannya yang diterbitkan pada tahun 1995.

Elias yang menggunakan nama pena Anne Natasha Nita mendakwa telah menulis surat kepada kesemua defendan untuk memaklumkan bahawa hak cipta terpelihara beliau telah dilanggar dan menuntut ganti rugi, namun ia tidak diendahkan.

Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dibintangi Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz dan Diana Danielle. Selain berlakon, Shamsul Yusof juga bertindak sebagai pengarah filem ber­kenaan.


Wednesday, February 17, 2016

Peniaga makanan cederakan isteri didenda RM6,500

KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha gerai makanan didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencederakan isteri yang disyaki curang dan merosakkan dua kereta ahli keluarganya pada hujung bulan lalu.
Ho Chei Yue, 40, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Berdasarkan pertuduhan, Chei Yue didakwa menyebabkan kecederaan di mata kanan, dahi kanan dan telinga kiri Cheah Kit Yoke, 27, selepas menampar dan menumbuk isterinya itu di rumah mereka di Taman Petaling, Kepong Baru di sini pada pukul 8 pagi, 30 Januari lalu.
Dia juga menghadapi dua pertuduhan merosakkan kereta Skyline milik adiknya, Ho Chei Hang, 38, dan kereta Nissan Corolla bapanya, Ho Ah Peng, 77, pada masa dan lokasi sama. - K! ONLINE

Dua termasuk anggota polis didakwa merompak

KUALA LUMPUR - Dua termasuk seorang anggota polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan pada minggu lalu.
M. Ruben, 30, dan N. Pugunaswary, 40, yang merupakan pekerja syarikat pengurup wang, Spectrum Forex membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas sebuah beg yang mengandungi wang tunai RM620,000 milik Spectrum Forex di Jalan Maarof, Bangsar di sini pada pukul 12.20 tengah hari, 10 Februari lalu.
Ruben dan Pugunaswary didakwa mengikut Seksyeb 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Jurujual tipu tukar kod bar tanda harga barang didenda RM2,300

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual didenda RM2,300 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menukar kod bar tanda harga tiga barangan bagi menipu harga di pasar raya besar, Aeon Big Wangsa Maju di sini pada minggu lalu.
Nying Mun Kit, 34, membuat pengakuan bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan curang memperdaya dengan cara melakukan penukaran pelekat kod bar tanda harga pada tiga barang iaitu pensteril boto susu elektronik dan dua unit pam susu elektrik jenama Philip Avents.
Tiga barang berkenaan berharga RM963 namun dengan penukaran pelekat kod bar tanda harga itu,Mun Kit hanya membayar RM118.80. - K! ONLINE

Tuesday, February 16, 2016

Bapa curi susu formula dipenjara sehari, denda RM2,000

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu kedai buku dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri pelbagai barangan keperluan termasuk lapan kotak susu formula bayi pada awal bulan ini.
Mohd. Fauzi Samsir, 35, yang juga bapa kepada empat anak membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Fauzi didakwa mencuri sekotak ubat gigi jenama Fresh & White, sebatang berus gigi Oral B Cross, lima kotak susu Frisolac Tahap Dua 600 gram, tiga kotak susu Enfalac A Tahap Satu 650 gram bernilai keseluruhan RM578.95 di pasar raya besar, Aeon Maluri, Cheras di sini pada pukul 3.20 petang, 7 Februari lalu. - K! ONLINE

Filem Bohsia : Jangan Pilih Jalan Hitam bukan karya ciplak

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan tuntutan saman penulis novel Aku Bohsia, Elias Idris, 64, terhadap pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof dan dua lain atas dakwaan memplagiat novel itu dalam filem Bohsia : Jangan Pilih Jalan Hitam yang diterbitkan pada tahun 2009.
Hakim Datin Azizah Nawawi memutuskan idea bohsia dan mat rempit tidak dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987 dan ia merupakan isu umum dan bukan eksklusif kepada novel plaintif semata-mata.
Beliau juga mengarahkan Elias membayar ganti rugi RM100,000 dan kos RM40,000 kepada Syamsul, Datuk Yusof Haslam dan Skop Production Sdn. Bhd. selepas membenarkan tuntutan balas pihak defendan atas dakwaan penulisan artikel berunsur fitnah di dalam blog milik penulis novel itu. - K! ONLINE

Awie didakwa pukul Rozana lagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya pada tahun 2014.
Awie, 48, yang berpakaian sut dan berseluar jean membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Beliau yang merupakan hos dalam slot bual bicara di sebuah rancangan televisyen, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bekas isterinya Rozana Misbun, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.
Ini kali kedua Awie dituduh memukul Rozana. Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada pukul 1.30 petang, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor.
Awie didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Husna membenarkan Awie dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari ini.

Galeri mahkamah majistret tersebut dipenuhi dengan hampir 20 orang ahli keluarga dan rakan-rakan Awie sejak pukul 9.30 pagi bagi memberi sokongan kepada pelakon utama filem Sembilu, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah tersebut.

Begitupun kelibat Rozana dan anak-anak mereka tidak kelihatan.

Awie kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan pada pukul 11 pagi.

Biarpun prosiding berakhir kira-kira 15 minit kemudian, dia terpaksa menunggu di dalam kandang tertuduh sehingga pukul 2 petang sebelum dibenarkan pulang selepas salah seorang ahli keluarganya membayar wang jaminan di kaunter bayaran mahkamah.

 Sebelum ini, Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, Selangor pada 4 Julai 2014 atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah kelamin mereka di No. 9, Jalan UB 5B, Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor.

Beliau turut membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan tersebut dan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar manalakala Awie yang merupakan vokalis kumpulan rock, Wings pula diwakili peguam bela, Hazman Harun.

Monday, February 15, 2016

Awie mengaku tidak bersalah cederakan Rozana

KUALA LUMPUR - Pelakon dan penyanyi, Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isteri, Rozana Misbun, 38, pada dua tahun lalu.
Dia atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, (gambar kecil) membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Mengikut pertuduhan, Awie didakwa mencederakan Rozana di depan kaunter Perbadanan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana pada 4 Julai 2014 dan kes tersebut masih dalam pembicaraan. K! ONLINE


Friday, February 12, 2016

Mahkamah Tinggi sahkan bangunan Vivekananda Ashram warisan negara

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan syarikat yang menguruskan bangunan Vivekananda Ashram untuk membatalkan keputusan Jabatan Warisan Negara untuk mewartakan kawasan bangunan yang berusia 110 tahun sebagai tapak warisan.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan Pejabat Peguam Negara yang mengatakan permohonan dikemukakan pihak perayu tidak matang mengikut Seksyen 96 Akta Warisan Negara 2005 kerana difailkan di mahkamah sebelum Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertimbangkan rayuan syarikat Vivekananda Ashram berkenaan di peringkat kementerian.
Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan notis Jabatan Warisan Negara untuk menggazetkan kawasan bangunan seluas 4, 046.67 meter persegi di Brickfield di sini itu sebagai warisan negara pada 15 Julai tahun lalu. - K! ONLINE

Thursday, February 11, 2016

Keputusan representasi kes khalwat Sharhan pada 16 Mac depan

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan representasi (rayuan) yang dikemukakan pihak pembelaan pengamal perubatan Islam terkenal, Sharhan Shafie, 40, bagi menggugurkan pertuduhan berkhalwat tertuduh bersama dua beradik wanita pada tiga tahun lalu bakal diketahui pada 16 Mac depan.
Hakim Syarie Umamuddin Yunus ketika menetapkan demikian memaklumkan sebutan semula kes itu akan didengar di hadapan Hakim Syarie, Ibrahim Idris di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada tarikh berkenaan.

Terdahulu peguam syarie Mohamad Isa Abd. Ralip yang mewakili Sharhan dan dua tertuduh lain iaitu Umi Masjuri Hassan, 41, dan Masbelinda, 22, memberitahu, beliau telah menyerahkan ke­semua dokumen diperlukan untuk permohonan rayuan tersebut kepada Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Ketua Pendakwa Syarie, Mohamad Abid Husain yang mengendalikan pendakwaan pula berkata, beliau sedia maklum perkara terbabit dan keputusan permohonan yang dikemukakan pihak pembelaan itu dijangka diketahui pada pendengaran akan datang.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah di sini yang telah mendengar kes itu pada 26 November lalu telah dimaklumkan permohonan representasi itu dibuat ekoran status perkahwinan Sharhan dengan Umi Masjuri telah disahkan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada pertengahan tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain telah mengesahkan status perkahwinan tersebut selepas selesai mendengar kes berkenaan pada 26 Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan untuk Masbelinda, dia didakwa berkhalwat bersama Sharhan di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa, Kuala Lumpur pada pukul 2.55 pagi pada 24 Ogos 2013.

Masbelinda didakwa mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya   sekali jika sabit kesalahan.

Sharhan dan Umi Masjuri pula didakwa di bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) akta yang sama.

Penyelia tapak pembinaan curi telefon bimbit kawan didenda RM2,000

KUALA LUMPUR - Seorang penyelia tapak pembinaan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit milik rakannya pada awal bulan ini.
Syaifol Nizam Zainal Abidin, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Berdasarkan pertuduhan, Syaifol Nizam didakwa mencuri telefon bimbit jenama Samsung S3 milik rakannya, Mohd. Shahrin Bakar, 35, di Masjid Negara di sini pada pukul 5.30 pagi, 1 Februari lalu. - K! ONLINE

Wednesday, February 10, 2016

Pembantu kedai runcit didakwa pecah rumah

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah hingga menyebabkan kerugian RM2,500 pada lima tahun lalu.
Muhammad Sahol, 40, didakwa melakukan kesalahan itu dengan mencuri beberapa kelengkapan rumah di sebuah rumah di Taman Desa Cheras di sini antara pukul 7 pagi dan 12 tengah hari pada 12 Februari 2009.
Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Penganggur didakwa miliki pasport Indonesia secara tidak sah

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki satu pasport kepunyaan seorang wanita Indonesia secara tidak sah pada Ahad lalu.
K. Sivan Raman Nair, 28, turut menghadapi pertuduhan menghalang dua anggota polis yang merupakan penjawat awam untuk melakukan tugas.
Dia membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.
Sivan didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia juga boleh dihukum penjara tidak lebih tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Saturday, February 6, 2016

6 remaja didakwa aibkan pelajar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


PETALING JAYA – Enam remaja lelaki termasuk empat juvana yang rakaman perbuatan mereka memaksa dua pelajar sekolah mene­ngah menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar menjadi viral di laman sosial dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan meng­aibkan kehormatan kedua-dua remaja berkenaan.
Tiga tertuduh berusia 17 tahun yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh, Lim Koo Boo Kean, 19, yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta, Tan Jze Keong, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta seorang lagi tertuduh juvana berusia 17 tahun yang juga tidak lagi bersekolah mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Difahamkan, kesemua tertuduh pernah belajar di sekolah yang sama de­ngan kedua-dua mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala Boo Kean dan Jze Keong diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh.

Mengikut pertuduhan, Jze Keong, Boo Kean dan empat lagi tertuduh bawah umur didakwa mengaibkan kehormatan dua remaja berusia 15 tahun dengan menyuruh mereka bersujud sambil menjilat jalan raya di belakang SMK Taman Sea, Peta­ling Jaya di sini pada pukul 1 petang 29 Januari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Fadzlin Suraya kemudian membenarkan empat tertuduh juvana dibebaskan dengan wang jaminan berjumlah RM500 setiap seorang manakala Jze Keong dan Boo Kean masing-masing diikat jamin sebanyak RM1,000.

Mahkamah turut menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh yang mengaku salah selepas me­nerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kosmo! pada Rabu lalu me­laporkan, tindakan sekumpulan enam remaja membuli dua pelajar sekolah menengah de­ngan memaksa mereka menya­lak bagai anjing dan menjilat jalan tar mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis.

Kes buli itu didakwa berpunca da­ripada tindakan kedua-dua mangsa merakam  tanpa kebenaran gambar seorang gadis yang merupakan rakan kepada kesemua suspek.

Klip video berdurasi 34 saat yang memaparkan kejadian buli itu tersebut kemudian menjadi viral di laman sosial sejak Ahad lalu.


Friday, February 5, 2016

Beri latihan ketenteraan IS

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan memberi latihan ketenteraan kepada individu yang bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti militan Islamic States (IS) tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohamad Sharif Abu Samah menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 32, menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan terhadap­nya dibacakan.
Pada 11 Julai 2014, Muamar Gadaffi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Mohamad Sharif dalam penghakimannya berkata, tempoh penjara yang diberikan tersebut mencukupi untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada tertuduh bagi memperbetulkan diri daripada mengulangi perbuatan yang mengancam keselamatan negara berkenaan.
Beliau turut menasihati Muamar Gadaffi yang juga merupakan bapa kepada dua anak agar bermuhasabah diri dan melakukan taubat nasuha bagi menyesali kefahamannya tentang jihad yang telah jauh terpesong daripada ajaran agama Islam.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Robert Pasang Alam dan Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Amirul Ramli.

Mengikut pertuduhan, Muamar Gadaffi didakwa memberi latihan ketenteraan kepada orang yang bersedia untuk melibatkan diri dalam perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan ideologi IS yang boleh dianggap diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria di Bukit Ara Para, Kampung Ketior Dalam, Kuala Kangsar, Perak antara pukul 2 petang dan 4 petang dari 25 Disember hingga 27 Disember 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130F(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Muamar Gadaffi yang ditahan di Sandakan, Sabah pada pukul 6.42 pagi, 13 Jun 2014 didapati  membuka dua akaun Facebook menggunakan nama ‘Iskandar Dzulquranain IS’ dan ‘Ammar Rasuli Al-Jihadi’ untuk menyebar dan menerapkan ideologi militan IS secara aktif.

Dia juga menerapkan ideo­logi militannya seperti perlu me­ngangkat senjata bagi tujuan berjuang dan membantu orang Islam tertindas di Syria, Rohingya, Myanmar; Patani, Thailand; Palestin dan selatan Filipina serta mendakwa individu yang mati dalam perjuangan jihad berkenaan akan menerima ganjaran tersenyum bersama-sama dengan 70 bidadari di syurga kepada beberapa orang rakan di Bukit Ara Para, Kampung Ketior Dalam antara pukul 2 petang dan 4 petang dari 25 Disember hingga 27 Disember 2013. 

Tertuduh turut memberi latihan ketenteraan kepada rakan-rakannya dengan mengajar mereka cara-cara melepaskan tembakan ke arah sasaran menggunakan senapang buatan sendiri.

Enam remaja dituduh buli pelajar

PETALING JAYA - Enam termasuk empat tertuduh juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuli dua pelajar tingkatan dua yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini.
Tan Jze Keong, 18, Lim Koo Boo Kean dan seorang tertuduh juvana berusia 17 tahun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Manakala tiga lagi tertuduh bawah umur membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Jze Keong yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan pelajar kolej, Boo Kean didakwa mengaibkan kehormatan dua remaja berusia 14 tahun dengan menyuruh mangsa-mangsa bersujud sambil menjilat jalan raya di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Kelana Jaya di sini pada pukul 1 petang, 29 Januari 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Thursday, February 4, 2016

Dijel lima hari curi petai, pelbagai barang dapur

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri 60 barangan dapur berjumlah RM1,493.87 dari pasar raya besar Aeon Maluri di sini pada Sabtu lalu.

Majistret Husna Dzulkifly memerintahkan S. Rathiga, 35, yang menetap di Flat Jalan Cheras di sini membayar denda RM400 atau dikenakan hukuman penjara tambahan selama empat bulan sekiranya gagal membayar.

Rathiga yang merupakan seorang pekerja am membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Rathiga didakwa mencuri barang-barang dapur berkenaan yang diisi di dalam dua troli di pasar raya besar Aeon Maluri, Cheras di sini pada pukul 2.30 petang, 30 Januari lalu.

Antaranya ialah asam jawa, susu cair, tomato, bawang merah, sekampit beras basmati, mi segera, lobak merah, air kacang soya, ikan tenggiri, lala, kepala ikan, epal hijau, peluntur jenama Clorox, petai, coklat jenama Kit Kat, pisau cukur dan minyak masak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengawal keselamatan telah bertindak menahan tertuduh yang sedang menolak dua buah troli yang penuh dengan barang dalam keadaan mencurigakan di kawasan tempat letak kereta pasar raya besar berkenaan.

Rathiga yang gagal menunjukkan resit pembayaran telah ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Cheras di sini untuk tindakan lanjut.

Pengusaha ladang beri latihan pengganas IS dipenjara lima tahun

KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan memberi latihan ketenteraan kepada individu yang bersedia melibatkan diri dalam perbuatan pengganas pada tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohamad Sharif Abu Samah memerintahkan demikian selepas Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 32, membuat pengakuan bersalah ke atas pertuduhan mengikut Seksyen 130F(a) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan, Muamar Gadaffi didakwa dengan niat untuk memajukan tujuan ideologi IS dan perbuatan itu boleh boleh dianggap untuk mengugut orang awam di Syria.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bukit Ara Para, Kampung Ketior Dalam, Kuala Kangsar, Perak antara 25 Disember dan 27 Disember 2013. - K! ONLINE

Pengusaha taska jual perniagaan, kereta sokong IS

KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha taska yang sanggup menjual perniagaan serta kereta semata-mata untuk menyertai kumpulan pengganas, Islamic States (IS) di Syria dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahim memutuskan demikian selepas Nazhatulshima Sahak, 44, mengaku salah dalam kea­daan menangis teresak-esak di dalam kandang pesalah atas pertuduhan cuba memberi sokongan kepada IS.

“Menyokong IS merupakan kesalahan serius dan kamu tiada alasan mengatakan tidak mengetahui kegiatan militan yang didalangi kumpulan itu kerana ia telah tersebar secara meluas. Kamu bernasib baik tidak sempat pergi ke Syria kerana hukuman untuk kesalahan itu jauh lebih berat,” katanya dalam penghakimannya di sini semalam.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Farida Mohammad.

Berdasarkan pertuduhan, Nazhatulshima yang menetap Klang, Selangor didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki dalam percubaan untuk memasuki Syria bagi manfaat kumpulan pengganas itu di Restoran Hakim Sdn. Bhd., Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada pukul 10.50 malam, 13 Oktober 2014.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memaklumkan keinginannya untuk berpindah ke Syria kepada suami, Amir Azlan Zainuddin dan dua anak mereka berusia 21 dan 23 tahun kerana terpengaruh dengan perjuangan IS selepas menonton satu video dari laman Youtube pada Ogos 2014.

Pada 29 September 2014, dia telah memberikan wang tunai RM7,500 kepada dua lelaki bagi tujuan untuk membeli tiket penerbangan ke Istanbul, Turki yang dijadualkan pada 16 Oktober 2014 bagi tujuan memasuki Syria.

Tertuduh juga bertindak menjual dua perniagaan miliknya iaitu Tadika Kelip-Kelip Comel dan Taska Kelip-Kelip Comel yang telah diusahakan selama 13 tahun pada nilai RM70,000 selain sebuah kereta Perodua Myvi berharga RM10,000 sebagai persiapan untuk berpindah ke Syria.

Nazhatulshima kemudiannya telah ditahan polis bersama-sama suaminya, dua anaknya serta dua lagi lelaki ketika mengadakan pertemuan dengan dua rakyat negara ini yang pernah menyertai IS di Syria di Restoran Hakim.

Suami tertuduh, Amir Azlan, 48, turut telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan sama pada Selasa lalu.

Penganggur curi sardin kena jel seminggu, denda

KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri enam tin sardin, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Chng Kim Fatt, 44, turut dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh mahkamah sama semalam atas pertuduhan lain iaitu gagal mengemukakan kad pengenalan kepada anggota polis ketika ditahan untuk disoal siasat pada Sabtu lalu.

Majistret Saifulakmal memerintahkan hukuman bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak dan memutuskan hukuman penjara tambahan sebanyak tujuh hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Kim Fatt membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kim Fatt didakwa mencuri enam tin sardin berjenama Ayam Brand yang bernilai keseluruhan RM33.30 di pasar raya 99 Speedmart Jinjang, Kepong di sini pada pukul 8 malam, 30 Januari lalu.

Dia juga didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan sementara kepada seorang anggota polis untuk pemeriksaan pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama.

Sewaktu membuat rayuan, Kim Fatt memberitahu dia mencuri enam tin sardin dengan niat untuk menjamu cucu-cucu bapa saudaranya.

58 didakwa terlibat ajaran sesat

KUALA LUMPUR – Seramai 58 individu termasuk 12 wanita yang dipercayai pengikut ajaran sesat, Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun ditahan dalam serbuan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bilik Sakura, Tingkat Satu, Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada pukul 8.32 malam kelmarin.
Sewaktu diserbu, kesemua tertuduh sedang mengikuti ceramah ajaran sesat berkenaan yang berselindung di sebalik seminar perniagaan jualan langsung yang memasarkan produk penapis air.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam syarie.

Tiga tertuduh iaitu Farzlie Rahmat, 40; Hamatun Mezi Wahab, 49; dan Sehadle Sa’aamah, 35 dipercayai penganjur perhimpunan tersebut.

Mereka menghadapi dua pertuduhan iaitu cuba menjelaskan doktrin ajaran Millah Abraham dan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle didakwa didapati cuba menjelaskan doktrin berhubung agama Islam yang berlawanan dengan hukum syarak dengan mencampur aduk kefahaman ayat al-Quran iaitu ayat ketiga surah al-Maidah dengan Bible yang dirujuk sebagai al-Kitab yang dipercayai sebahagian ajaran Millah Abraham. 

Ketiga-ketiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Bagi pertuduhan kedua pula, Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle didakwa cuba mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan dibawah Seksyen 96 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. 

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau sebat sehingga enam kali atau mana-mana dua kombinasi hukuman berkenaan jika sabit kesalahan. 
Tiga lagi tertuduh iaitu Nor Asri Baharudin, 48; Mohd. Halimin Mohd. Nasir, 40; dan Mohd. Agus Abu Samah, 39, pula didakwa dengan sengaja cuba membantu Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle menjelaskan ajaran sesat Millah Abraham.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(c) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Manakala baki 52 tertuduh didakwa mengambil bahagian bersama dalam satu majlis yang telah dikendalikan tertuduh pertama, kedua dan ketiga. 

Mereka dituduh mengikut Seksyen 43(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Kesemua pertuduhan melibatkan 58 tertuduh itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan atau sebatan sehingga enam kali atau mana-mana dua kombinasi hukuman berkenaan jika sabit kesalahan. 

Mereka dihadapkan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab dan Hakim Syarie Mohd. Saifullah Hamzah dalam prosiding yang berlangsung hampir empat jam bermula dari pukul 3 petang. 

Kedua-dua hakim syarie juga memerintahkan 55 daripada 58 tertuduh terbabit tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan ditahan di lokap Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang. 

Ia berikutan permohonan Zainor Rashid berikutan sebahagian besar pengikut Millah Abraham yang dihadapkan ke mahkamah syariah sebelum ini gagal menghadiri prosiding mahkamah dengan sengaja menghilangkan diri setelah membayar wang jaminan. 

Begitupun, Mohd. Shaifullah membenarkan tiga tertuduh wanita iaitu Norhazlina Ahmad, 39; Rozita Omar, 44; dan Norfadzillah Ahmad Abdullah, 39, dibebaskan masing-masing dengan wang jaminan RM3,000 dan empat penjamin yang terdiri daripada pegawai kerajaan Jusa B yang bermastautin di Wilayah Persekutuan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan.



Wednesday, February 3, 2016

Ibu tunggal curi barang dapur dipenjara lima hari

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri 60 barangan dapur berjumlah RM1,493.87 pada Sabtu lalu.
Majistret Husna Dzulkifly memerintahkan demikian selepas S. Rathiga, 35, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, Rathiga yang merupakan seorang pekerja am didakwa mencuri barang-barang dapur berkenaan seperti asam jawa, beras basmati, teh, milo dan minyak sapi yang di isi dalam dua troli di pasar raya besar Aeon Maluri, Cheras di sini pada pukul 2.30 petang, 30 Januari lalu. - K! ONLINE

Juruwang dituduh guna kad kredit pelanggan

KUALA LUMPUR - Seorang juruwang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kad kredit pelanggan untuk membeli barangan peribadi pada 12 Januari lalu.
Noor Raihan Idris, 20, yang mempunyai masalah kurang pendengaran dan jantung membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Begitupun, Husna menangguhkan hukuman sehingga 4 Mac depan bagi menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda yang berusia bawah 21 tahun.
Berdasarkan pertuduhan, Nor Raihan didakwa menggunakan kad kredit Maybank American Express milik seorang pelanggan untuk membeli barangan peribadi bernilai RM164.90 di Aeon Quill City Mall di sini pada pukul 3 petang, 12 Januari lalu.
Kad kredit itu milik seorang pelanggan yang tertinggal sewaktu tertuduh bertugas sebagai juruwang di pasar raya besar sama sehari sebelum kejadian.
Nor Raihan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

58 didakwa terlibat ajaran sesat

Oleh MOHD.AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seramai 58 individu termasuk 12 wanita yang dipercayai pengikut ajaran sesat, Milah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini petang tadi.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun ditahan dalam serbuan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bilik Sakura, Tingkat Satu, Pusat belia Antarabangsa, Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada pukul 8.32 malam, semalam.
Sewaktu diserbu, kesemua tertuduh sedang mengikuti ceramah ajaran sesat berkenaan yang berselindung di sebalik seminar perniagaan jualan langsung yang memasarkan produk penapis air.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam syarie. K! ONLINE