Translate

Friday, January 29, 2016

Saman vape: Kementerian Kesihatan diarah fail penyataan balas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan Kementerian Kesihatan dan empat defendan lain untuk memfailkan penyataan balas terhadap saman yang telah difailkan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).

Ia berhubung rampasan rokok elektronik atau vape milik anggota pertubuhan itu di Johor pada hujung tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Nur Shafrida Hashim mengarahkan penyataan tersebut dikemukakan dalam tempoh 14 hari sehingga 11 Februari depan.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes yang akan didengar di hadapan Hakim Datuk John Louis O’Hara pada 17 Februari depan.

Selain Kementerian Kesihatan, Ikhlas turut menamakan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Ketua Polis Negara sebagai defendan dalam tuntutan saman yang telah difailkan pada 28 Disember lalu.

Pertubuhan tersebut diwakili peguam, Zulhasmi Zakaria. Turut hadir beberapa ahli Ikhlas termasuk Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah.

Kosmo! 29 Disember lalu melaporkan saman itu dibuat susulan operasi bersepadu pihak berkuasa berkenaan yang menyerbu dan merampas vape milik beberapa ahli Ikhlas di premis perniagaan mereka yang terletak bawah pentadbiran MBJB hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000 pada 15 Disember tahun lalu.

Ikhlas dalam penyataan tuntutannya telah memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan kesemua defendan terbabit yang menyerbu dan merampas vape terdiri daripada peranti, mod dan cecair perisa milik anggota pertubuhan itu adalah tidak sah, salah dan terbatal.

Mereka juga memohon deklarasi mahkamah supaya pengharaman vape melalui penguatkuasaan peringkat negeri terutama melalui pihak berkuasa tempatan adalah ultra vires (aktiviti yang terkeluar daripada skop aktiviti yang dibenarkan oleh perlembagaan organisasi terlibat) dan bertentangan dengan undang-undang.

Plaintif turut membuat permohonan agar mahkamah mengeluarkan deklarasi yang menetapkan defendan-defendan dilarang menyerbu, merampas dan mengkompaun ahli pertubuhan itu berkaitan perniagaan atau kelengkapan vape serta diarahkan memulangkan barang yang dirampas dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah dibuat.

Tuntutan terbabit juga membabitkan pampasan ganti rugi am dan ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta serta faedah dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment