Translate

Thursday, January 21, 2016

Restoran didenda tidak kutip GST


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Pengendali sebuah restoran char kuetiau terkenal di ibu kota, Mali’s Corner Sdn. Bhd. (Mali’s Corner) didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana tidak mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada pelanggan walaupun telah mendaftar de­ngan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Hakim Shamsudin Abdullah memerintahkan demikian selepas Pengarah Mali’s Corner, Jamali Saat (gambar kecil) mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan restoran tersebut di 9-11, Blok C, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 12.54 tengah hari 7 Oktober 2015.
Restoran itu turut diarahkan untuk membayar amaun 95 sen sebagai GST kepada KDRM kerana tidak mengutip cukai tersebut dalam satu resit bernilai RM15.80 daripada seorang pelanggan pada hari berke­naan.
Berdasarkan pertuduhan, Mali’s Corner didakwa tidak mengeluarkan invois bercukai walaupun telah mendaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2004.

Pengendali restoran itu didakwa mengikut Seksyen 33(2)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDRM, Norhaslelly Hai­mid manakala pembelaan diwakili peguam, Zambri Mohd. Isa.

Zambri dalam rayuannya berkata, perbuatan tidak mengutip GST daripada pelanggan itu tidak disengajakan kerana pe­ngendali Mali’s Corners kurang arif dengan pelaksanaan cukai yang diperkenalkan pada 1 April tahun lalu.

Jamali membayar denda tersebut.

No comments:

Post a Comment