Translate

Saturday, January 2, 2016

Jurujual telefon bimbit tipu pelanggan didenda RM6,000

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual memperdaya seorang pelanggan yang bisu dan pekak dalam urusan jual beli telefon bimbit di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada tiga minggu lalu didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan hukuman demikian selepas Liew Wai Chung, 21, mengaku bersalah memperdaya Shamsol Esham Hashim, 41, yang merupakan seorang pekerja hotel pada pukul 3 petang, 10 Disember lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Wai Chung didakwa dengan curang menipu Shamsol Esham dalam urusan jualan sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM400 di kedai Team Spirit Enterprise yang terletak di Kompleks Kota Raya.
Mengikut fakta kes, Shamsol Esham yang mengunjungi premis terbabit telah ditawarkan sebuah telefon bimbit berkenaan pada harga RM399 oleh tertuduh sebelum menyerahkan wang tunai RM400 sebagai pembayaran.
Selepas dia menandatangani resit, tertuduh telah meminta bayaran tambahan RM450 yang menyebabkan mangsa cuba membatalkan pembelian dan meminta semula wang yang telah dibayarnya.
Namun Wai Chung bukan sahaja enggan memulangkan deposit berkenaan malah bertindak menghalau mangsa dari premisnya dan memberi tempoh tiga bulan kepada Shamsol Esham untuk melunaskan baki tambahan pembelian telefon bimbit terbabit.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhamad Faizal mengarahkan hukuman penjara empat bulan dikenakan terhadap Wai Chung sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Wai Chung yang diwakili peguam, Norman Mohd. Nasir membayar denda tersebut.

 Kes tersebut tidak berkaitan dengan kejadian beberapa orang lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit yang menjadi viral di laman sosial pada 20 Disember lalu.

Difahamkan, Shamsol Esham bertindak membuat laporan polis tentang penipuan yang dihadapinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini baru-baru ini berikutan penyebaran klip video berdurasi dua minit dan 30 saat itu.

Kosmo! 28 Disember lalu melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil keputusan menempatkan anggota penguat kuasa di kesemua kompleks jualan gajet popular di ibu negara termasuk Kompleks Kota Raya ekoran beberapa insiden pergaduhan dipercayai akibat penipuan dilakukan peniaga.

No comments:

Post a Comment