Translate

Friday, December 4, 2015

Suami Marissa fail cerai

SHAH ALAM – Suami Marissa Yasmin memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini setelah pelakon berkenaan menghilangkan diri de­ngan meninggalkan rumah kelamin mereka di Subang Jaya dekat sini sejak hampir enam bulan lalu.

Muhzir Mohd. Zainuddin, 49, mendakwa, tindakan artis yang popular menerusi drama rantaian Memori Cinta Suraya yang masih bersiaran di saluran Astro Prima berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

“Saya dapat tahu dia (Marissa Yasmin) ada ‘orang lain’ dan saya mempunyai bukti. Dia hanya pulang ke rumah sekali-sekala semasa ketiadaan saya untuk mengambil barangan peribadi sejak meninggalkan rumah pada 12 Jun lalu iaitu seminggu sebelum bulan puasa (Ramadan).

“Saya tidak dapat berhubung dengannya lagi kerana nombor te­lefon bimbit saya telah disekat oleh dia,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah selepas menghadiri sebutan kes permohonan penceraian yang difail di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Pendengaran kes itu di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria berlangsung tanpa kehadiran Marissa Yasmin atau nama sebenarnya Mariam Yaacob, 37, yang dipercayai kini berada di luar negara.

Muhzir yang merupakan seorang pengurus jualan teknologi maklumat sebuah syarikat swasta memberitahu, dia telah memfailkan permohonan penceraian itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu tuntutan penceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah pada 27 November lalu.

Terdahulu, peguam syarie mewakili Muhzir, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman memberitahu mahkamah, pihaknya gagal menyerahkan notis permohonan penceraian itu secara serahan tangan kepada Marissa kerana defendan gagal dikesan dan lokasi tempat tinggal barunya juga tidak diketahui.

“Alamat terakhir defendan (Marissa) ialah di Wangsa Baiduri, Subang Jaya namun pelakon itu sudah tidak tinggal di situ dan tempat tinggal lainnya tidak diketahui.

“Sekiranya saman (notis) tersebut masih gagal diserahkan secara tangan, saya bercadang untuk mengusulkan agar perintah penyampaian gantian dilaksanakan,” jelas beliau kepada Muhamad Hisyam di sini semalam.

Perintah penyampaian gantian bermaksud notis mahkamah yang gagal disampaikan secara serahan tangan defendan akan dimaklumkan menerusi cara lain seperti pengiklanan di akhbar harian, penampalan di papan notis mahkamah dan penampalan di alamat terakhir defendan.

Muhamad Hisyam menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 14 Ja­nuari depan.
Muhzir dan Marissa Yasmin telah melangsungkan pwerkahwinan selama lima tahun sejak tahun 2010 dan mereka tidak dikurniakan anak.

No comments:

Post a Comment