Translate

Friday, December 4, 2015

Mahkamah Tinggi ketepikan keputusan lepas, bebas Genneva Malaysia

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (GMSB) dan tiga pengurusan ter­tingginya daripada pertuduhan membuat penyataan palsu dalam iklan di laman web syarikat itu berhubung perniagaan emas berlandaskan syariah.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membenarkan rayuan pihak pendakwaan selepas berpuas hati kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap pertuduh­an yang dikemukakan terhadap GMSB, dua pengarah syarikat itu, Datuk Tan Liang Kiat, 43, dan Datuk Phillip Jit Meng, 58, serta pengurusnya, Ahmad Khairuddin Ilias, 57.

“Selepas meneliti hujah pendakwaan dan keterangan saksi, iklan (perniagaan emas berlandaskan syariah) dalam laman web, www.genneva.com.my. yang disahkan milik responden keempat (GMSB) adalah palsu.

“Iklan itu tidak mengikut syariah (seperti didakwa) berdasarkan fatwa yang merupakan hukum yang mengikat (tidak boleh dicabar oleh undang-undang,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Mohd. Azman berkata, laman web itu juga boleh diakses secara bebas mana-mana pihak tanpa penggunaan sebarang kata laluan.

Sehubungan itu, katanya, ke­semua responden iaitu GMSB, Liang Kiat, Jit Meng dan Ahmad Khairuddin wajar dipanggil semula untuk membela diri dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Januari depan.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat responden didakwa membuat penyataan palsu dalam iklan dalam laman web, www.genneva.com.my berhubung perniagaan emas berlandaskan syariah di premis bernombor 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai di sini antara 16 Februari 2012 hingga 1 Oktober 2012.

Sebelum ini, kesemua responden telah dilepas dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Ogos 2014.

Kosmo! 28 September 2013 melaporkan, enam individu termasuk dua pengarah syarikat pelaburan jongkong emas GMSB mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion pada tahun 2011.

No comments:

Post a Comment