Translate

Wednesday, December 16, 2015

Demi suami sanggup dipenjara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Taat setia seorang isteri sehingga membelakangi undang-undang demi melindungi suami seorang pengganas kumpulan Islamic State (IS) menerima padah apabila wanita itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Poziah Harun, 42, yang bekerja dengan kerajaan mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Kamardin Hashim semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Poziah didakwa melindungi suaminya, Zulqarnain Ghaz Ab. Ghani, 31, sedangkan dia mengetahui lelaki itu melakukan perbuatan keganasan.
Kesalahan Poziah didakwa dilakukan di Poliklinik Dr. Azhar & Rakan-Rakan di Jalan Masjid, Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah antara bulan September hingga Disember 2014.
Mengikut fakta kes, Zulqarnain telah menghubungi Poziah berhubung kepulangannya dari Syria bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan sewaktu menyertai aktiviti keganasan bersama kumpulan IS. 

Poziah kemudian berjumpa dengan seorang rakan mereka, Abdul Samad Abdul Hakim di Sungai Petani, Kedah bagi mendapatkan bantuan memeriksa tangan Zulqarnain yang mengalami luka akibat terkena tembakan.

Abdul Samad kemudian telah membawa pasangan suami isteri itu ke Poliklinik Dr. Azhar & Rakan-Rakan bagi membolehkan Zulqarnain menerima rawatan. 

Tertuduh yang tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana pihak berkuasa tentang kepulangan suaminya ke Malaysia walaupun mengetahui lelaki itu telah berjuang di Syria  telah ditahan pada 19 Ogos lalu.

Poziah dituduh mengikut Seksyen 130K (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kamardin ketika membacakan penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh merupakan kesalahan serius walaupun dia hanya menemani suaminya bagi mendapatkan rawatan dengan niat untuk melindungi lelaki itu.

Beliau berkata, faktor kepentingan awam turut diambil perhatian serius kerana ia melibatkan ketenteraman dan keselamatan negara.

“Kesalahan dalam perbuatan keganasan ini bukan sahaja melibatkan pergerakan secara berkumpulan tetapi ia juga bergerak secara individu dalam pelbagai cara yang boleh membawa kemusnahan. 
“Begitupun mahkamah juga mengambil kira faktor pengakuan salah walaupun tertuduh sepatutnya mengaku bersalah pada awal kes bagi menunjukkan keinsafannya,” kata beliau.

Kamardin memerintah Poziah menjalani hukuman penjara dari tarikh dia mula ditangkap polis pada 19 Ogos lalu di Penjara Kajang, Selangor.

Kosmo! 16 September lalu melaporkan Poziah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan melindungi Zulqarnain yang merupakan seorang pengganas IS.


Kamardin pada 9 Oktober lalu turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Zulqarnain yang merupakan seorang penceramah bebas selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan memasuki Syria bagi menyokong aktiviti keganasan membabitkan penggunaan senjata api untuk mengugut orang awam di negara itu antara 27 April 2014 dan 28 Ogos 2014.

No comments:

Post a Comment