Translate

Sunday, November 29, 2015

Sharhan kemuka rayuan gugur tuduhan khalwat

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu pihak pembelaan pengamal perubatan Islam terkenal, Ustaz Sharhan Shafie, 39, bercadang untuk mengemukakan representasi (rayuan) kepada Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi menggugurkan pertuduhan berkhalwat tertuduh  bersama dua beradik wanita pada dua tahun lalu.

Peguam syarie Mohamad Isa Abd. Ralip memaklumkan mahkamah, tertuduh kedua, Umi Masjuri Hassan, 40, telah berkahwin dengan Sharhan dan status perkahwinan mereka telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini baru-baru ini.

“Saya mohon penangguhan kes (khalwat) dan jaminan ketiga-tiga anak guam saya dilanjutkan sehingga tarikh baharu sebutan semula didengar di mahkamah,” katanya kepada Hakim Syarie, Umamuddin Yunus di mahkamah semalam.

Umamuddin menetapkan sebutan semula kes khalwat terbabit yang akan didengar di hadapan Hakim Syarie, Ib­rahim Idris di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 6 Januari depan.

Sebelum ini kes khalwat melibatkan Sharhan bersama Umi Masjuri serta adik perempuan tertuduh kedua, Masbelinda, 21, telah didengar oleh Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain.

Namun, Mohd. Amran telah mengumumkan menarik diri daripada mendengar kes itu berikutan beliau turut mendengar kes pengesahan status perkahwinan antara Sharhan dan Umi Masjuri yang telah selesai pada 26 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan untuk Masbelinda, dia didakwa berkhalwat bersama Sharhan di sebuah apartmen beralamat No. 6-9-8, Menara Sri Cengal, Jalan 27/56, Taman Keramat Wangsa, Kuala Lumpur pada pukul 2.55 pagi, 24 Ogos 2013.

Masbelinda didakwa mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sharhan dan Umi Masjuri pula didakwa bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) akta yang sama.

No comments:

Post a Comment