Translate

Saturday, November 28, 2015

Remaja perempuan tikam bapa didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar dihadap ke Mahkamah Majistret di sini semalam kerana mencederakan bapa kan­dungnya pada Ahad lalu.

Tertuduh, Lum Kar Yee, 18, kelihatan keliru ketika pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor.

Dia didakwa mendatangkan kecederaan dengan menggunakan pisau terhadap bapanya, Lum Su Hai, 45, di sebuah rumah di No. 47, Jalan 10/2B, Taman Desa Bakti, Sentul di sini pada pukul 10.30 pagi 22 November lalu.

Kar Yee dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara, denda, sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Farhan Read memaklumkan kepada mahkamah bahawa Kar Yee telah dimaafkan oleh bapanya yang kini semakin stabil daripada kecederaan pada leher akibat kejadian itu.

Selain itu, beliau juga memohon agar anak guam­nya diperintah untuk menjalani pemeriksaan mental kerana tertuduh dikatakan mengalami gangguan jiwa sehingga mencetuskan insiden ter­babit.

Nur’Aminahtul Mardiah membenarkan permohonan tersebut dengan memerintahkan ujian mental dijalankan terhadap tertuduh di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Januari depan.

Beliau turut membenarkan tertuduh dibebaskan selepas laporan perubatan dikeluarkan hospital ter­babit dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki mengalami kecederaan selepas ditikam dua kali pada leher oleh anak pe­rempuannya dengan menggunakan pisau pemotong sayur ketika sedang memujuk anaknya memutuskan hubungan cinta sejenis.

No comments:

Post a Comment