Translate

Wednesday, November 18, 2015

Penjaga stor promosi perbuatan keganasan dijel lapan tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seorang penjaga stor dipercayai anggota kumpulan militan Islamic State (IS) dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan mempromosi perbuatan keganasan di negara ini pada April lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan demikian selepas Mohd. Hafifi Tarmizi dari Taman Segar di sini mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pakatan jahat melaksanakan rancangan untuk mengebom beberapa lokasi di ibu negara dari 3 April hingga 24 April lalu.

“Saya bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa kesalahan tertuduh amat serius dan boleh menggugat ke­selamatan negara jika perancangan itu berjaya dilaksanakan.

“Namun, mengambil kira pengakuan bersalah awal tertuduh, ini juga kesalahan pertamanya dan dia telah menarik diri daripada menyertai eksperimen bom di Gunung Nuang, Hulu Langat, hukuman penjara lapan tahun dikenakan dari tarikh tangkap (25 April lalu),” kata beliau ketika membacakan penghakiman di sini semalam.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Ridha Abdul Subri dalam hujah pem­belaannya berkata, penglibatan Mohd. Hafifi dalam pakatan jahat terbabit adalah amat minimum dan anak guam­nya yang baru mendapat bayi sulung kira-kira dua bulan lalu juga telah insaf dan menyedari kesilapannya apabila membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk tidak menyertai latihan bom di Gunung Nuang yang dirancang pada 25 April lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pula menyanggah hujah Ridha kerana tertuduh sepatutnya berfikir terlebih dulu sebelum bersetuju  dengan rancangan untuk mengebom tempat-tempat tertentu di Kuala Lumpur.

“Walaupun penglibatan tertuduh minimum tetapi sokongannya terhadap rancangan itu boleh menghuru-harakan negara. Mujur kecekapan Polis Diraja Malaysia dapat mencegah satu lagi kejadian sama yang berlaku di Paris,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Mohd. Hafifi bersetuju dengan cadangan salah seorang daripada ahli kumpulan militan itu untuk memusnahkan beberapa pusat hiburan dan maksiat di ibu negara dalam pertemuan di Restoran Mahee, Serdang pada pukul 9.45 malam, 3 April lalu.

Bagi merealisasikan rancangan itu, salah seorang anggota kumpulan militan itu telah mencadangkan latihan bom di Gunung Nuang pada pertemuan lain di restoran sama pada 10 April lalu.

Begitupun tertuduh yang ditahan di rumahnya di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar pada 25 April lalu tidak mengikuti latihan bom di Gunung Nuang­ terbabit yang dijalankan pada hari sama.

Kosmo! 27 April lalu melaporkan, Bahagian Counter Terrorism, Cawa­ngan Khas Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kumpulan lelaki yang dipercayai ahli kumpulan pengganas IS termasuk melumpuhkan sasaran mereka dalam melakukan serangan di Malaysia.

Dalam serbuan di sekitar Cheras dan Hulu Langat itu, polis turut merampas beberapa peralatan dan bahan untuk menghasilkan bahan letupan yang dipercayai untuk kegunaan kumpulan itu bagi melakukan serangan.

No comments:

Post a Comment