Translate

Friday, November 20, 2015

Khairuddin, Matthias Chang berjaya ketepi perintah tahanan ikut SOSMA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang Wen Chieh untuk mengetepikan perintah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dikenakan terhadap mereka sejak hampir dua bulan lalu.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan cuba melakukan perbuatan sabotaj terhadap institusi perbankan negara yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh itu tidak tergolong dalam kategori pendakwaan mengikut SOSMA.

Beliau berkata, pertuduhan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak patut disertakan bersama dengan SOSMA.

“Klausa E Perkara 149 Perlembagaan Malaysia iaitu perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak diguna pakai untuk dibicarakan di bawah SOSMA.

“Kedua-dua tertuduh berhak mendapat ikat jamin dan kes tersebut perlu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya.

Galeri mahkamah sesak dengan ahli keluarga dan penyokong kedua-dua tertuduh termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali serta isteri Khairuddin, pelakon Umie Aida.

Mohd. Azman membenarkan Khairuddin, 53, dan Matthias Chang, 65, dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin serta dokumen perjalanan mereka perlu diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan pengurusan kes bagi menentukan tarikh sebutan semula pada 12 Januari depan.

Khairuddin ditahan mengikut SOSMA selama sebulan 25 hari sejak 23 September lalu manakala Matthias Chang pula berada di dalam tahanan berdasarkan akta sama bermula 8 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Khairuddin dan Matthias Chang dituduh cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi iaitu Pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Caring Cross London, United Kingdom;  Pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis Wai Chan, Hong Kong dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura dari 28 Jun hingga 26 Ogos lalu.

Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Oktober lalu telah merujuk kes Khairuddin dan Matthias Chang ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan sama ada pertuduhan yang ke atas kedua-dua tertuduh boleh dibicarakan mengikut SOSMA.

No comments:

Post a Comment