Translate

Wednesday, November 18, 2015

Eksekutif jualan didakwa terima rasuah wang, berlian

KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif jualan barangan kemas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lapan pertuduhan menerima rasuah daripada dua buah syarikat pembekal batu permata kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lai Siew Moy, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Siew Moy didakwa menerima wang tunai berjumlah RM53,666 daripada Fine Facets (M) Sdn. Bhd. pada enam tarikh berlainan dari 23 November 2012 hingga 6 Di­sember 2013 di sebuah bank di Stesen KL Sentral di sini.

Kesemua wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB milik suami tertuduh, Peter Wong Chee Seng, 51.

Siew Moy turut didakwa menerima wang tunai RM25,000 daripada Rubash (M) Sdn. Bhd. yang turut dimasukkan di dalam akaun bank suaminya antara pukul 8 pagi hingga 5 petang pada 6 Disember 2012.

Bagi pertuduhan terakhir pula, tertuduh didakwa me­nerima sebutir berlian bernilai RM88,421 daripada Fine Facets di pejabat Elegant Club, Bangsar di sini pada 28 Oktober 2013.

Tertuduh didakwa menerima rasuah itu sebagai dorongan membolehkan dua syarikat tersebut menjadi pembekal batu permata kepada majikannya, Elegance Club (M) Sdn. Bhd. (Elegance Club).
Elegance Club merupakan syarikat menjual barangan kemas premium khusus untuk golongan orang kenamaan termasuk kerabat diraja.

No comments:

Post a Comment