Translate

Thursday, October 1, 2015

Provokasi punca ketegangan kaum


KUALA LUMPUR – Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina, Gerakan dan MCA menyalahkan provokasi melampau peserta Perhimpunan Bersih 4.0 menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu sebagai punca ketegangan keharmonian antara kaum sejak akhir-akhir ini.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, tindakan melampau peserta Bersih 4.0 yang menyentuh sentimen kaum dan agama seperti me­ngadakan upacara pengebumian olok-olok mengikut tradisi Cina terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyapu gambar isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan memijak gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membangkitkan kemarahan majoriti orang Melayu sekali gus mencetuskan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu.

“Perbuatan terhadap Perdana Menteri dan isteri dianggap biadab dan telah menyinggung dan memprovokasi emosi orang Melayu. Datuk Seri Abdul Hadi pula merupakan individu dihormati kerana merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

“Mengapa sebelum ini, Perhimpunan Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 tidak mencetuskan tindak balas serupa? Ini disebabkan sentimen agama dan kaum telah dimainkan secara berleluasa dalam Bersih 4.0 dan ia didalangi oleh DAP,” dakwa beliau pada sidang akhbar di Wisma Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Cheras di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Biro Agama dan Harmoni MCA, Datuk Ti Lian Ker pula mendakwa, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindak balas yang keterlaluan ditunjukkan segelintir peserta Himpunan Rak­yat Bersatu hingga mengeruhkan lagi hubungan kaum di negara ini.

“Saya desak DAP agar ‘bertaubat’ dan sedar diri tentang baha­yanya memainkan provokasi politik berbau perkauman yang melampau seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment