Translate

Monday, October 5, 2015

Anak terpaksa bersekolah jauh



KUALA LANGAT – Lebih 30,000 penduduk Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini menuntut agar projek pembinaan sekolah di taman perumahan yang mula dibuka pada tahun 2003 itu disegerakan.
Ketiadaan kemudahan sekolah rendah mahupun menengah tersebut telah menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain selain menghantar anak mereka bersekolah di lokasi yang jauh.
Seorang penduduk, Mazni Ishak, 39, berkata, kemudahan sekolah di kawasan perumahan itu perlu sejajar dengan pertambahan penduduknya yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan anak-anak kami bersekolah di Shah Alam, Subang Jaya, Puchong, Putrajaya dan Cyberjaya yang terletak sekurang-kurangnya 10 kilometer dari Bandar Saujana Putra.

“Kami harap kemudahan sekolah yang dijanjikan dapat dibina dengan segera,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Abdul Wahid Abdul Manaf, 38, berkata, beliau terpaksa membelanjakan hampir RM400 sebulan sebagai kos pengangkutan empat orang anaknya berusia antara tujuh hingga 14 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2, Seksyen 28, Shah Alam dan Sekolah Kebangsaan USJ 20, Subang Jaya dekat sini.

“Banyak kos yang dapat dijimatkan sekiranya pembinaan sekolah di taman perumahan ini disegerakan. Saya juga lebih yakin dengan keselamatan anak-anak kerana mereka tidak perlu lagi melalui Lebuh Raya Elite yang sentiasa sibuk dengan kenderaan untuk ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu Kosmo! difahamkan, permohonan untuk membina sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Bandar Saujana Putra telah diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kuala Langat pada 5 Ogos lalu.

Ia kini dalam proses tender untuk melantik jururunding dan kontraktor sebelum memulakan kerja-kerja tanah. 

No comments:

Post a Comment