Translate

Friday, September 18, 2015

Waris mangsa dapat RM1.1 juta

MEKAH – Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menitahkan pemberian wang pampasan seba­nyak 1 juta riyal (RM1.1 juta) kepada keluarga setiap mang­sa yang maut dalam tragedi runtuhan kren di Masjidilharam pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA) semalam, selain pampasan kepada mangsa terkorban, wang pampasan itu akan turut diberikan kepada jemaah yang cedera dan mengalami kecacatan kekal akibat tragedi berdarah itu.
Katanya, sebanyak 500,000 riyal (RM550,000) pula akan diberikan kepada mangsa yang mengalami kecederaan ringan.
Dalam tragedi menyayat hati itu, dilaporkan seramai 107 jemaah haji dari pelbagai negara terbunuh, manakala hampir 400 orang lagi cedera.
Dengan jumlah tersebut, ini bermakna Arab Saudi dijangka perlu membayar wang pampasan hampir 307 juta riyal (RM307 juta) kepada semua mangsa.

Setakat semalam, Lembaga Tabung Haji mengesahkan lima jemaah Malaysia terkorban, 10 orang cedera, dua hilang dan seorang lagi selamat selepas tersesat.

Lima jemaah Malaysia yang terkorban ialah Zainun Taha, 69, Rohana Ismail, 54, Munah Jusoh, 74, Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37 dan Rusiah Suar, 56.

Dua lagi jemaah Malaysia yang masih belum ditemui ialah Abdul Habib Lahman, 68 dan Shahidan Saad, 52.

Selain itu, SPA turut melaporkan Raja Salman menawarkan jemputan khas Diraja Arab Saudi untuk menjalani ibadah haji pada tahun depan sekiranya mangsa yang terce­dera tidak dapat meneruskan ibadah Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Malah, katanya, dua waris anggota keluarga yang terkorban juga akan menerima jemputan khas tersebut bagi menunaikan haji bagi tahun 1437H.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Arab Saudi akan mengeluarkan visa khas untuk ahli keluarga yang ingin menjaga mangsa yang ce­dera dan dirawat di sini.

Selain Malaysia, antara mangsa yang terkorban termasuklah rakyat Arab Saudi, Iran, Nigeria, Indonesia dan India.

Dalam pada itu, waris Zainun menganggap wang pampasan RM1.1 juta yang dijanjikan kerajaan Arab Saudi sebagai satu amanah yang ditinggalkan allahyarham dan perlu diuruskan dengan baik.

Anak sulung mangsa, Kamarul Azuan Abu Bakar, 46, berkata, beliau berhajat menggunakan sebahagian daripada wang pampasan itu untuk membawa ke­semua ahli keluarganya beribadah dan menziarahi pusara ibunya di tanah suci Mekah.

“Setakat ini, kami hanya mendengar berita tersebut (pemberian pampasan) menerusi media dan tiada lagi pengumuman rasmi daripada kedutaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

No comments:

Post a Comment