Translate

Thursday, September 17, 2015

Tutup sekolah jika IPU cecah 200


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NURUL NAFISAH MAZLAN

KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah yang terletak di kawasan jerebu teruk di seluruh negara diarah untuk menghentikan sesi pem­belajaran serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Kementerian Pendidikan juga mengarahkan agar aktiviti-aktiviti luar bilik darjah juga perlu dihentikan sebaik sahaja bacaan IPU mencecah 150 selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Kementerian Pendidikan sentiasa memandang serius perkembangan jerebu yang melanda negara ketika ini dan memantau status terkini bacaan IPU di kawasan-kawasan yang bacaannya melebihi 100.

“Pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa murid-murid yang menghadapi masalah kesihatan akibat jerebu selain merujuk mereka dengan segera di pejabat kesihatan daerah atau klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu semalam.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pendidikan turut mengingatkan pengetua dan guru besar sekolah agar sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing melalui aplikasi telefon bimbit MyIPU atau laman web Jabatan Alam Sekitar di www.doe.gov.my.

Sementara itu, pakar perunding kesihatan di Hospital Pakar Senawang di Negeri Sembilan, Dr. Zulkornain Ahmad berkata, keadaan jerebu boleh menyebabkan orang ramai mengalami penyakit berkaitan pernafasan.

Menurut beliau, penyakit itu akan lebih cepat menyerang individu yang mempunyai antibodi lemah atau mereka yang ada sejarah perubatan berkaitan.

“Udara ketika jerebu amat berbahaya kerana ketika bernafas, manusia bukan sahaja menyedut gas oksigen tetapi termasuk bahan-bahan asing yang terkandung dalam udara.

“Organ penapis seperti hidung dan tekak tidak mampu menyekat 100 peratus apa yang disedut dari udara,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

No comments:

Post a Comment