Translate

Monday, September 28, 2015

Karnival India Muslim terbesar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI


SHAH ALAM – Lebih 10,000 keluarga India Muslim di seluruh negara membanjiri Pusat Sukan Nasional Panasonic, Seksyen 21 di sini semalam bagi memeriahkan program Karnival Hari Keluarga India Muslim yang julung-julung kali diadakan.
Penasihat program, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, program itu berjaya mengumpulkan komuniti India Muslim dari seluruh negara termasuk Perlis, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor sehingga melebihi sasaran awal iaitu sekitar 7,000 orang.
Katanya, objektif program tersebut adalah untuk menyatukan semula komuniti India Muslim tempatan yang kebanyakannya jarang bersua muka kerana kesibukan mencari rezeki di seluruh pelusuk negara.
"Komitmen mengusahakan perniagaan di kawasan-kawasan bandar, pekan dan sedikit di kawasan kampung menyebabkan kami sukar bertemu. Oleh itu, program seperti ini membolehkan komuniti India Muslim bertemu dan mengukuhkan kembali hubungan antara kami.
"Daripada sambutan yang ditunjukkan pada hari ini (semalam) yang amat memberangsangkan, kami akan jadikan ia sebagai acara tahunan dan dianjurkan di lokasi yang lebih besar dan gah seperti Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut di sini semalam.
Noorul Hassan yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberitahu, pihaknya turut merancang untuk menubuhkan Dewan Perhimpunan India Muslim pada masa akan datang.
"Dewan Perhimpunan India Muslim akan menjadi wadah untuk komuniti India Muslim di negara ini berkumpul dan merancang agenda untuk kepentingan komuniti ini, agama dan negara," ujarnya.
Sementara itu, penyelaras program, Hakimsa Abdul Karim berkata, pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan karnival yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu.

“Antara program yang telah kita atur ialah sukaneka untuk keluarga dan kanak-kanak, pameran, gerai-gerai jualan serta zoo mini yang mempamerkan sebanyak 20 jenis haiwan seperti burung, ular dan anak buaya.

“Selain itu, keunikan program ini juga ialah mengumpulkan lebih daripada 20 pengusaha restoran makanan India Muslim seperti Restoran Syed, Q Bistro, Ali Corner, Restoran Khalifa, SS Ali Popiah dan mereka menyajikan masakan istimewa daripada restoran masing-masing khusus untuk para tetamu yang hadir,” ujarnya.

Ujar beliau, karnival itu turut dimeriahkan dengan acara ca­butan bertuah yang menyediakan hadiah bernilai lebih RM30,000 seperti barangan kemas, barangan elektrik dan te­lefon bimbit.


No comments:

Post a Comment