Translate

Thursday, September 17, 2015

Jerebu: 2,045 sekolah dibuka semula hari ini

KUALA LUMPUR – Semua 2,045 sekolah di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang ditutup Selasa lalu akibat keadaan jerebu akan dibuka semula pada hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, keputusan untuk membuka semula sekolah-sekolah tersebut dibuat selepas meneliti bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri-negeri terbabit setakat pukul 4 petang semalam yang semakin baik dan telah menurun melebihi bacaan 150.
“Walau bagaimanapun, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah terlibat hendaklah terus memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.
“Semua pihak berkenaan boleh mengambil tindakan sewajarnya di peringkat masing-masing berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan iaitu segala aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 150 dan sekolah-sekolah perlu ditutup sekiranya bacaannya berada di tahap sangat tidak sihat iaitu melebihi 200,” kata kenyataan itu semalam.

Kementerian Pendidikan juga menasihatkan ibu bapa tidak perlu menghantar anak-anak mereka yang menghadapi masalah kesihatan akibat jerebu ke sekolah namun, perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah.

Kosmo! kelmarin melaporkan, kesemua sekolah yang terpaksa ditutup akibat jerebu semakin teruk pada Selasa lalu melibatkan 1.523 juta pelajar akan dibuka semula sekiranya IPU di kawasan terlibat turun di bawah bacaan 150.

No comments:

Post a Comment