Translate

Monday, September 21, 2015

489 jemaah haji kumpulan terakhir berlepas ke Mekah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia yang terdiri daripada 489 orang selamat berlepas ke tanah suci, Mekah dengan menaiki pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dekat sini semalam.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, mereka  merupakan sebahagian daripada jemaah haji muassasah tambahan selepas negara menerima 2,100 lagi kuota daripada kerajaan Arab Saudi untuk musim haji tahun ini.

“Mereka termasuk 60 jemaah menggunakan perkhidmatan syarikat swasta yang hampir terkandas sebelum ini kerana masalah dokumentasi.

“Namun TH telah mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka dan Alhamdulillah kita berjaya menyelesaikan masalah itu berikutan hubungan erat kerajaan Malaysia dengan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya selepas hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah haji tersebut di Kompleks TH Kelana Jaya di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Sementara itu, salah seorang jemaah haji dalam kumpulan KT49 tersebut, Rahim Tamel, 48, berkata, dia dan isterinya, Hajiah Idris, 49, memberitahu, mereka menerima panggilan daripada TH untuk menunaikan ibadah haji ketika berada di rumah adiknya di Subang Jaya di sini Jumaat lalu.

“Saya dan isteri menunggu hampir 10 tahun dan sejak beberapa tahun lalu kami telah mengikuti kursus haji dan membuat rayuan kepada pengurusan TH.

“Alhamdulillah, terpilih menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah merupakan satu rezeki dan kami berterima kasih kepada TH,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kerajaan Arab Saudi menambah 2,100 lagi kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini sebagai ihsan di atas insiden tragedi runtuhan kren di Masjidilharam pada 11 September lalu.

Penambahan itu menyaksikan kuota jemaah haji Malaysia pada musim ini bertambah kepada 24,420 orang berbanding pada asalnya 22,320 orang.

No comments:

Post a Comment