Translate

Friday, August 21, 2015

Tol percuma di Lebuh Raya Damansara-Puchong pada 31 Ogos


PETALING JAYA - Kira-kira 417,000 pengguna Lebuh Raya Damansara-Puchong kendalian Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak)  bakal menikmati pengecualian bayaran tol pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-58.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengguna sebuah lagi lebuh raya kendalian syarikat konsesi sama iaitu Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat Sdn. Bhd. (Sprint) turut bakal menikmati kadar diskaun sebanyak 20 sen sepanjang hari berkenaan.

Menurut beliau, keistimewaan ini dijangka melibatkan 172,000 pengguna.

“Pemberian tol percuma untuk pengguna LDP dan diskaun 20 sen kepada pengguna Sprint itu melibatkan semua kelas kenderaan dengan pemberian subsidi keseluruhan dianggarkan sebanyak RM3.12 juta.

“Saya juga difahamkan sebuah lagi syarikat konsesi iaitu Maju Expressway Sdn. Bhd. juga akan menawarkan tol percuma pada 31 Ogos ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Jalinan Aidilfitri anjuran bersama Litrak, Sprint dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di Kompleks Operasi Litrak, Bandar Sunway di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sazally Saidi.

Fadillah berkata, kementeriannya menyambut baik inisiatif dilakukan Litrak tersebut dan berharap ia dapat diikuti oleh lebih banyak syarikat-syarikat konsesi lebuh raya lain.

No comments:

Post a Comment