Translate

Friday, August 14, 2015

Permohonan pondan tak ikut syarat

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan diberitahu permohonan semakan kehakiman yang dibuat tiga jurumekap pengantin yang mengalami masalah identiti gender (GID) bagi mencabar kesahihan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 di Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini adalah tidak mengikut prosedur.


Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, ketiga-tiga responden berkenaan iaitu Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28 dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, sepatutnya membuat permohonan semakan kehakiman tersebut di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu bagi memperoleh kebenaran sebelum memulakan petisyen untuk mencabar enakmen berkenaan yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.

“Oleh itu, tindakan mereka membuat semakan kehakiman itu adalah pra-matang kerana tidak memperoleh keputusan dari segi pentadbiran (Mahkamah Persekutuan) dan ia bercanggah dengan Artikel 4 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saluran perundangan yang digunakan adalah salah dan ketiga-tiga responden sepatutnya mengemukakan petisyen terus ke Mahkamah Persekutuan,” hujah beliau yang mewakili kerajaan Negeri Sembilan kepada Mahkamah Persekutuan di sini semalam.

Beliau berhujah di hadapan panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Shariff. Empat hakim Mahkamah Persekutuan lain yang turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Muhammad Shafee berkata, Mahkamah Tinggi sepatutnya tidak melayan permohonan semakan kehakiman tersebut dan tiada keperluan untuk Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan berkenaan kerana ia di luar bidang kuasa kedua-dua institusi kehakiman berkenaan.

Sehubungan itu, ujar beliau, keputusan yang dibuat kedua-dua mahkamah berkenaan dianggap sebagai tidak sah berikutan kes tersebut tidak dirujuk ke Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Sementara itu, peguam Aston Paiva yang mewakili Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol ketika membalas hujahan berkata, tindakan pihaknya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi itu adalah mematuhi keperluan undang-undang dan ia tidak menyalahi Artiel 4A Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Aston memberitahu ketiga-tiga responden dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam, tetapi telah membuat pembedahan pertukaran jantina.

Kosmo! 8 November 2014 melaporkan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

No comments:

Post a Comment