Translate

Monday, August 3, 2015

Menteri baharu angkat sumpah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Enam menteri dan sembilan timbalan menteri baharu yang dilantik dalam rombakan Kabinet kelmarin mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara di sini semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin mendahului upacara tersebut diikuti Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Upacara itu diteruskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Seorang lagi menteri baharu yang dilantik ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau. Beliau tidak hadir pada istiadat itu kerana berada di luar negara.


Turut mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia ialah sembilan timbalan menteri baharu iaitu Datuk Mohd. Johari Baharom, Datuk Mas Ermieyanti, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Senator Chong Sin Woon, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Masir Kuyat dan Datuk Johari Abdul Ghani.

Kesemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Tuanku Halim Mu’adzam Shah sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid masih mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Kelmarin, Najib mengumumkan barisan anggota pentadbiran baharunya yang lebih mantap untuk menguruskan negara dengan menggugurkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet.

No comments:

Post a Comment