Translate

Thursday, August 27, 2015

12,000 bakal meriahkan larian marathon anjuran BSN


KUALA LUMPUR - Seramai 12,000 peserta termasuk dari luar negara telah mengesahkan penyertaan dalam Larian Marathon Malam Putrajaya Bank Simpanan Nasional (BSNPNM) yang dijadual berlangsung pada 24 Oktober depan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Korporat), Siew Kin Meng berkata, penyertaan itu melebihi 20 peratus daripada tahun lalu.

Antara peserta yang telah menyerahkan penyertaan termasuk dari Australia, Brunei, Ireland, Amerika Syarikat, Britain, Singapura, New Zealand dan Kenya.

“Sambutan terhadap BSNPNM yang telah memasuki tahun kelima penganjuran amat memberangsangkan dan kita mencapai sasaran penyertaan maksimum iaitu sebanyak 12,0000 hanya dalam tempoh 10 hari pendaftaran dibuka mulai 22 Jun lalu.

“Buat pertama kalinya, kategori baharu iaitu Larian Bersinar akan diperkenalkan bagi memeriahkan lagi satu-satunya kejohanan marathon yang diadakan pada waktu malam di negara ini,” katanya selepas memperkenalkan logo baharu BSNPNM di Wisma BSN di sini semalam,

Turut hadir Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar dan Pengarah Twenty First Century Sports, V. Nithiaseelan.

Kin Meng berkata, setiap 2,500 peserta yang menyertai Larian Bersinar tersebut masing-masing bakal menerima cermin mata bersinar, tali kasut bersinar dan batang plastik bersinar yang akan digunakan sepanjang perlumbaan marathon sejauh lima kilometer tersebut.

Menurut beliau, kategori lain yang turut dianjurkan ialah Marathon Penuh sejauh 42 kilometer (km), Separuh Marathon (21 km) dan Larian Tanggungjawab Sosial Korporat (10 km) yang masing-masing menawarkan ganjaran wang tunai dari RM10,000 hingga RM500.

“Setiap peserta BSNPNM turut dilindungi oleh insurans oleh Gibraltar BSN Life Berhad sepanjang penglibatan mereka dalam kejohanan berkenaan. Kejohanan ini juga mendapat sokongan penajaan daripada General Nutrition Corporation (GNC), minuman isotonik, 100 Plus, Brooks Running Malaysia dan Perbadanan Putrajaya.

“Sementara itu, yuran penyertaan daripada kategori badan korporat bakal disumbangkan kepada empat jabatan pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Selayang,” katanya.

No comments:

Post a Comment