Translate

Tuesday, July 7, 2015

PM ambil tindakan undang-undang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SEMENYIH – Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari ini mengenai bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak yang menuduh kononnya beliau menerima sejumlah wang daripada beberapa entiti yang didakwa mempunyai hubungan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana Menteri berkata, tuduhan berniat jahat itu telah dirujuk kepada barisan peguam beliau bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan susulan.
“Saya merujuk kepada tuduhan liar yang telah dibuat terhadap saya kononnya saya telah ‘songlap’ ataupun curi AS$700 juta (RM2.6 bilion) duit IMDB masuk ke akaun (bank) peribadi saya.
“Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam-peguam saya dan mereka akan memberi nasihat mengenai tindakan-tindakan susulan dalam bentuk undang-undang yang boleh dibuat dalam negara dan luar negara.
“Insya-Allah saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari lagi berhubung tindakan yang akan saya ambil berhubung dakwaan yang cukup jahat ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Jumaat lalu, akhbar The Wall Street Journal menyiarkan laporan dengan mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, pada hari sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.
Berikutan itu, sebuah Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan berhubung isu pe­nyaluran dana syarikat 1MDB.

No comments:

Post a Comment