Translate

Wednesday, July 29, 2015

Enam menteri, sembilan timbalan menteri baharu angkat sumpah


KUALA LUMPUR - Enam menteri dan sembilan timbalan menteri yang baharu dilantik dalam rombakan Kabinet semalam menerima surat cara perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada Datuk Hamzah Zainuddin yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Seri Mahadzir Khalid (Menteri Pendidikan).
Turut menerima surat cara perlantikan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).
Sembilan timbalan menteri baharu yang turut menerima surat cara perlantikan ialah Datuk Mohd. Johari Baharom, Datuk Mas Ermieyanti, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Senator Chong Sin Woon, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Masir Kuyat dan Datuk Johari Abdul Ghani.
Kesemua mereka turut mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Tuanku Abdul Halim.
Majlis mengangkat sumpah itu disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogan Kadazandusun Murut (UPKO), Datuk Wifred Madius Tangau yang sepatutnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagaimanapun tidak hadir dalam majlis berkenaan kerana sedang berada di luar negara. - KOSMO!

Tuesday, July 28, 2015

100 ahli SMA D’Legend berkumpul sambut syawal

MUAFAKAT. Seramai 100 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di SMK Ajil, Hulu Terengganu baru-baru ini.
Penganjur, Saidi Wahab berkata, mereka pernah menimba ilmu di sekolah berkenaan pada tahun 1983 hingga 1987 dan turut menganggotai persatuan bekas pelajar yang dikenali sebagai SMA D’ Legend.
Beliau berkata, turut hadir Pengerusi Jawatankusa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib dan bekas guru SMK Ajil.
“SMA D’Legend berhasrat untuk mengumpulkan bekas pelajar SMK Ajil sehingga pada dekad 1990-an pada tahun hadapan,” katanya.

Monday, July 27, 2015

Aidilfitri temukan semula bekas pelajar MTI di Lenggong

MESRA. Seramai 50 bekas pelajar Maahad Al Tarbiah Al Islamiah (MTI), Changkat Jering, Taiping memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak baru-baru ini.
Penganjur program, Syahrin Abdullah berkata, majlis tersebut bertujuan untuk mengerat kembali persaudaraan di antara bekas pelajar tersebut selepas hampir 23 tahun terpisah setelah tamat persekolahan.
Beliau berkata, pada majlis sama, mereka sepakat untuk menubuhkan Persatuan Alumni MTI melibatkan bekas pelajar pada tahun 1988 hingga 1992.
“Ahli jawatankuasa penganjur juga telah dilantik dan kami merancang untuk mengadakan beberapa program bagi menjaga kebajikan ahli,” katanya.

Mangsa dera semasa kanak-kanak berpotensi jadi pendera

KUALA LUMPUR – Lelaki yang membesar dalam persekitaran keluarga yang berantakan berpotensi untuk melakukan keganasan kepada pasangan masing-masing apabila mereka berumah tangga.
Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan (gambar) berkata, Laporan Keganasan Rumah Tangga 2015 mendapati 49 peratus daripada pelaku keganasan rumah tangga terdiri daripada mereka yang pernah mengalami penderaan fizikal atau mental sewaktu kanak-kanak.

“33 peratus daripada 110 mangsa penderaan terbabit yang dikaji selidik juga turut mempunyai sejarah keganasan rumah tangga sewaktu kecil. Cuma 23 peratus daripada wanita itu tidak mengetahui latar belakang keluarga suami masing-masing.

“Perlakuan keganasan rumah tangga ini berkait rapat dengan tekanan emosi dan mereka boleh dikatakan mempunyai penyakit jiwa,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sumitra berkata, berdasarkan laporan berkenaan juga, 96 peratus keganasan rumah tangga berpunca daripada pe­rasaan cemburu, mencurigai pasangan dan masalah kewangan.

Menurut beliau, 31 peratus suami dikenal pasti telah mengasari isteri masing-masing ketika berada di bawah pengaruh alkohol manakala faktor dadah terutamanya penagihan methamphetamine, syabu dan ubat batuk merupakan punca 13 peratus keganasan rumah tangga berlaku.

“Selain penderaan mental, fizikal dan sosial, 55 peratus daripada mangsa pernah mengalami penderaan kewangan. Suami mereka bukan sahaja memeras wang mereka tanpa rela malah menggunakan nama isteri untuk membuat pinjaman peribadi.

“Hutang itu tidak dijelaskan oleh suami mereka menyebabkan wanita terbabit menjadi mangsa disenarai hitam oleh institusi kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sumitra memberitahu, sebanyak 4,807 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di negara ini sepanjang tahun lalu iaitu pe­ningkatan 57.45 peratus berbanding pada tahun 2013.

Begitupun, beliau percaya masih ramai lagi mangsa enggan tampil melaporkan perbuatan jenayah itu kerana faktor malu dan terlalu menyayangi keluarga dan suami.

Lebuh Raya SKVE gelap, bahayakan pengguna

PUCHONG – Pengguna Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) mengadu sebahagian lebuh raya sepanjang 51.07 kilometer (km) yang menghubungkan lokasi-lokasi strategik seperti Bangi, Serdang, Putrajaya, Puchong, Kuala Langat dan Pelabuhan Klang itu terlalu gelap hingga membahayakan keselamatan dan mengundang perbuatan jenayah.

Dua fasa daripada empat fasa lebuh raya tersebut iaitu laluan SKVE yang bermula dari Plaza Tol Ayer Hitam di sini hingga Bandar Saujana Putra, Kuala Langat dan laluan Telok Panglima Garang ke Pulau Indah, Pelabuhan Klang dekat sini tidak dilengkapi dengan lampu jalan.

Seorang pengguna, Nurul Alis Mohd. Nasir, 29, mendakwa, perjalanannya ke Pulau Indah dari rumahnya di Jenjarom, Kuala Langat dekat sini agak menyeramkan kerana laluan lebuh raya sepanjang 18.18km itu dari Telok Panglima Garang gelap dan sunyi.

“Risiko kenderaan rosak akibat hentakan juga tinggi kerana permukaan lebuh raya yang dibina kawasan tanah gambut itu dalam keadaan beralun.

“Lebih menakutkan sekiranya kenderaan mengalami kerosakan di lebuh raya itu pada waktu malam. Usaha untuk mendapatkan bantuan juga sukar kerana liputan telekomunikasi di kawasan itu juga bermasalah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Seorang penduduk dari Bandar Saujana Putra, Ahmad Syakirin Saifuddin, 26, mendakwa, dia hampir mencari sasaran kumpulan penjenayah yang menggunakan modus operandi ‘langgar dan samun’ ketika memandu di lebuh raya itu tahun lalu.

Dia mendakwa, kereta dipandunya sendirian tiba-tiba dilanggar oleh kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki sewaktu dalam perjalanan ke rumah dari Bangi pada kira-kira pukul 10 malam tidak jauh selepas melepasi Plaza Tol Ayer Hitam di sini.

Sunday, July 26, 2015

Majlis Aidilfitri KPDNKK di Kuala Pilah hari ini

KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput memeriahkan majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diadakan hari ini di tapak Wisma Mini KPDNKK, Jalan Melang, Kuala Pilah, Ne­geri Sembilan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, maj­lis tersebut yang akan turut melibatkan beberapa agensi di bawah kementerian ber­kenaan se­perti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Bank Rakyat dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia bakal berlangsung dari pukul 2 petang hingga 6 petang.

“Saya  mewakili KPDNKK mempersilakan seluruh warga Kuala Pilah, rakan-rakan dan sanak saudara untuk bersama-sama ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDNKK di Tapak Wisma Mini KPDKK esok (hari ini),” katanya.

Fenomena luar biasa pada musim kering

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Fenomena ribut yang melanda beberapa ne­geri pada masa ini disifatkan sebagai luar biasa kerana ia berlaku pada luar musim iaitu Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, pada kebiasaannya, kejadian ribut petir berlaku pada peralihan musim antara Monsun Timur Laut dan Barat Daya yang berlaku antara bulan Mac hingga Mei dan Ogos hingga Oktober.

“Sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang bermula dari pertengahan Mei hingga September, angin yang bertiup secara tetap dari arah barat daya akan membawa cuaca panas dan kering menyebabkan atmosfera lebih stabil, proses percampuran menegak atmosfera lebih lambat dan me­ngurangkan proses perolakan yang kuat.

“Kejadian ribut petir yang berlaku beberapa tempat di utara dan selatan tanah air semalam (kelmarin) dianggap sebagai kes terpencil dan jarang-jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian ribut yang sering berlaku sejak kebelakangan ini termasuk tiga kejadian terbaru di Padang Besar, Perlis; Kulim, Kedah dan Pontian, Johor kelmarin.

Che Gayah berkata, pihak­nya tidak menolak kemungkinan fenomena tersebut akan berlaku lagi di beberapa kawasan terutama di Semenanjung Malaysia pada masa terdekat, namun ia diramal tidak kerap.

Saturday, July 18, 2015

Facebook, Twitter PDRM digodam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, FAHMY AZRIL ROSLI dan AMEEN AZIZUL

KUALA LUMPUR - Laman Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal diakses oleh pengguna media sosial selama dua jam 20 minit semalam selepas kedua-dua medium media sosial itu digodam kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai AnonGhost.

Kedua-dua media sosial rasmi PDRM itu mula digodam oleh kumpulan tersebut pada pukul 2.20 petang sebelum berjaya dipulihkan sepenuhnya pada pukul 4.40 petang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan kedua-dua laman sosial milik PDRM itu telah digodam bermula pada pukul 2.20 petang.

"Ya, laman Facebook dan Twitter telah digodam pada pukul 2.20 petang tadi (semalam).

"Sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi menangani perkara tersebut dan menyiasat lanjut aktiviti penggodaman tersebut," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Plaza Low Yat di sini semalam.

Kumpulan penggodam tersebut telah menyiarkan gambar-gambar kumpulan yang menyokong Islamic State (IS) di laman Facebook dan Twitter.

Gambar yang menunjukkan sekumpulan militan IS sedang berbaris sambil mengangkat senjata dan seorang individu sedang memegang bendera kumpulan berkenaan turut dipaparkan di laman Facebook.

Turut dipaparkan dalam laman tersebut ialah slogan kumpulan militan itu dalam bahasa Inggeris iaitu Viva Islamic State (Hidup Negara Islam) dan Khalifah Has Returned (Khalifah Sudah Kembali).

Selain itu, status #AnonGhost was here (AnonGhost berada di sini) turut telah dimuat naik bagi menunjukkan kejayaan kumpulan itu menggodam kedua-dua media sosial berkenaan.

Anggota-anggota kumpulan itu turut mengumumkan nama-nama samaran antaranya iala Mauritania, Attacker, AnonxoxTn, StingerByte, Mr. Domoz dan Th3Falcon.

Tindakan AnonGhost melakukan penggodaman itu dipercayai untuk membalas denda terhadap kejayaan PDRM memberkas ramai penyokong IS di negara ini baru-baru ini.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun lalu itu dipercayai terdiri daripada 15 penggodam dari Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara.

Kumpulan berkenaan sebelum ini menjadi terkenal kerana kejayaan menggodam beberapa laman web dari Israel dengan memaparkan mesej pro-Palestin pada tahun lalu.

Kumpulan itu juga sebelum ini berjaya menggodam laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan memaparkan gambar kanak-kanak Palestin yang terkorban akibat kekejaman rejim Zionis.

Wednesday, July 15, 2015

Promosi melalui katalog efektif

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Syarikat jualan langsung, Home Direct Shopping Sdn. Bhd. (Home Direct Shopping) menyasar untuk memiliki kira-kira 100,000 pelanggan yang membuat pembelian barangan berjenama Best Products melalui katalog di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Penjualan dan Pelbagai Home Direct Shopping, Fadzli Kamar Zainal berkata,  barangan yang ditawarkan di dalam katalog itu terdiri daripada peralatan dapur, gajet, barangan kesihatan dan komestik

"Kami akan menghantar katalog kepada pelanggan berdaftar secara berkala dan produk-produk tersebut adalah eksklusif dan tidak boleh dibeli di premis lain atau secara dalam talian.

"Orang ramai yang meminat boleh memesan produk tersebut dan penghantaran akan dilakukan secara kiriman pos. Kumpulan sasaran kami ialah pelanggan berusia 40 tahun ke atas terutama yang menetap di luar bandar serta pekan-pekan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan dua penyanyi terkenal era 80-an, Ramlah Ram dan Nasier Wahab sebagai duta syarikat di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Perundangan dan Peraturan Membeli-belah Terus dari Rumah, P. Saravanankumar dan Penasihat syarikat, Caroline Perodou.

Fadzli Kamar menjelaskan, walaupun ramai rakyat Malaysia kini lebih gemar untuk membeli secara dalam talian namun HDS percaya pemasaran secara konvensional menerusi pengedaran katalog masih mempunyai potensi besar di negara ini.

"Buktinya produk Best Products yang turut dipasarkan secara pesanan di dalam katalog masih mendapat permintaan tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Malah sejak HDC beroperasi kira-kira dua bulan lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih 1,000 pelanggan tempatan telah mendaftar untuk menerima katalog kami secara berkala," katanya.

Fadzli Kamar memberitahu, kebanyakan potensi pembeli itu menetap di pantai timur dan utara tanah air selain Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata, produk Best Products keluaran syarikatnya dijual pada harga berpatutan antara RM29 hingga RM139 termasuk cukai barangan dan perkhidmatan dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-2776111 atau melayari laman web www.bestproducts.my.

Monday, July 13, 2015

Insiden Low Yat bukan isu perkauman

KUALA LUMPUR - Penyebaran khabar angin yang mengaitkan insiden pengaduhan antara peniaga telefon bimbit dengan sekumpulan pelanggan di Plaza Low Yat di sini pada Sabtu lalu dengan isu perkauman di media sosial perlu dihentikan segera.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, perkara tersebut sekiranya dibiarkan boleh mengugat keharmonian hidup bermasyarakat di bandar raya ini.
"Insiden tersebut bukan isu perkauman. Jangan cuba jadi hero di media sosial kerana apalah maknanya jika hanya 'menang sorak, kampung tergadai'.
"Inilah masanya pihak berkuasa perlu menunjukkan ketegasan untuk menjernihkan semula keadaan," katanya selepas meninjau Plaza Low Yat di sini hari ini.
Sin Woon berkata, individu yang telah memuat naik status yang mencetuskan keresahan antara kaum terbabit perlu dikenakan tindakan.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia agar mendedahkan siasatan kes itu dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat. - KOSMO!

Insiden Low Yat berpunca daripada kes curi

KUALA LUMPUR - Insiden di Plaza Low Yat di sini pada Sabtu lalu bukan disebabkan penipuan jualan tetapi merupakan kes kecurian telefon bimbit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan siasatan mendapati dua suspek telah ditangkap ketika cuba melarikan diri selepas mencuri sebuah telefon bimbit di tingkat satu plaza itu.
"Salah seorang suspek yang dilepaskan anggota polis selepas keterangan diambil telah mereka cerita kononnya mereka ditipu oleh peniaga telefon bimbit yang menahannya sehingga menyebabkan pergaduhan Sabtu lalu.
"Insiden tersebut bukan berpunca daripada kes penipuan dan tiada unsur perkauman," katanya ketika meninjau Plaza Low Yat di sini hari ini.
Khalid berkata, setakat ini seramai 19 individu berusia dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun termasuk dua suspek mencuri telefon bimbit berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap individu yang telah memuat naik status berunsur perkauman berhubung insiden itu.
"Setakat ini salah seorang daripadanya telah dikenal pasti iaitu blogger, Papagomo," katanya. - KOSMO!

TNB jamin bekalan elektrik mencukupi musim Aidilfitri

PUTRAJAYA - Tenaga Nasional Nasional Berhad (TNB) dalam keadaan bersiap sedia untuk membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi bagi keselesaan pengguna sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula Jumaat ini.
Pengurus Besar Kanan (Operasi Aset) Bahagian Penjanaan TNB, Roslan Abd. Rahman berkata, seramai 1,119 kakitangan operasi dan penyelenggaraan syarikat itu telah diarahkan untuk bertugas pada waktu puncak perayaan terbabit iaitu dari 17 hingga 19 Julai ini.
"Ia termasuk 677 kakitangan yang berada dalam senarai menunggu yang diwajibkan berada dalam lingkungan 25 kilometer dari stesen janakuasa masing-masing dan boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa.
"Kami akan memastikan semua operasi pembekalan tenaga elektrik di 10 stesen janakuasa milik TNB di seluruh negara berjalan lancar pada cuti Hari Raya Aidilfitri ini," katanya ketika menyampaikan taklimat di Stesen Janaelektrik Putrajaya di sini hari ini. - KOSMO!

Wednesday, July 8, 2015

Jelajah Ramadan Biro Profesional Muda Pemuda UMNO

MESRA. Biro Profesional Muda Pemuda UMNO menganjurkan program Jelajah Ramadan di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Pengerusinya, Shahril Hamdan berkata, seramai 40 pelajar SMTKL yang terdiri daripada golongan anak yatim diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, program yang julung kali diadakan oleh biro tersebut bertujuan untuk mendekati pelajar tingkatan empat dan lima terbabit yang bakal berbakti kepada negara dalam kerjaya profesional suatu hari nanti.

"Kami juga menghulurkan sedikit sumbangan bagi mereka menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi," katanya.

Turut hadir Pengerusi Biro Profesional Muda Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Johari Yazid.

Tuesday, July 7, 2015

PM ambil tindakan undang-undang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SEMENYIH – Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari ini mengenai bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak yang menuduh kononnya beliau menerima sejumlah wang daripada beberapa entiti yang didakwa mempunyai hubungan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana Menteri berkata, tuduhan berniat jahat itu telah dirujuk kepada barisan peguam beliau bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan susulan.
“Saya merujuk kepada tuduhan liar yang telah dibuat terhadap saya kononnya saya telah ‘songlap’ ataupun curi AS$700 juta (RM2.6 bilion) duit IMDB masuk ke akaun (bank) peribadi saya.
“Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam-peguam saya dan mereka akan memberi nasihat mengenai tindakan-tindakan susulan dalam bentuk undang-undang yang boleh dibuat dalam negara dan luar negara.
“Insya-Allah saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari lagi berhubung tindakan yang akan saya ambil berhubung dakwaan yang cukup jahat ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Jumaat lalu, akhbar The Wall Street Journal menyiarkan laporan dengan mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, pada hari sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.
Berikutan itu, sebuah Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan berhubung isu pe­nyaluran dana syarikat 1MDB.

Thursday, July 2, 2015

Kementerian Pertahanan, Bavarian Nordic dan Pharmaniaga kerjasama hasil vaksin demam denggi


KUALA LUMPUR - Firma bioteknologi dari Denmark, Bavarian Nordic bekerjasama Kementerian Pertahanan dan Pharmaniaga Berhad dalam penghasilan vaksin demam denggi yang dijangka siap pada tahun 2021.
Naib Presiden Hal Ehwal Komersial Bavarian Nordic, Dr. Lars Wegner berkata, pembangunan vaksin tersebut yang kini dalam peringkat pra klinikal sejak pertengahan tahun lalu itu bercirikan tempatan khusus untuk rakyat negara ini.
"Pra klinikal yang melibatkan kajian di dalam makmal akan memakan masa dua hingga tiga tahun.
"Manakala peringkat kedua iaitu klinikal iaitu ujian kesesuaian vaksin itu ke atas manusia pula dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga lima tahun," katanya selepas menandatangani perjanjian kajian dan pembangunan vaksin denggi terbabit di sini hari ini.
Kementerian Pertahanan diwakili Timbalan Ketua Setiausahanya, Suriani Ahmad manakala Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Fashila Emran mewakili firma farmaseutikal tempatan itu. - KOSMO!