Translate

Tuesday, June 30, 2015

Rakyat terima siaran berkualiti

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Stesen televisyen berbayar tempatan dijangka tidak terjejas walaupun rakyat negara ini bakal mula menikmati saluran televisyen tidak berbayar secara digital tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Toh Swee Hoe berkata, walaupun transformasi itu bakal menyaksikan penambahan sehingga 120 saluran televisyen percuma namun tidak melibatkan saluran premium seperti sukan dan hiburan antarabangsa.

"Sukar untuk stesen televisyen tidak berbayar membeli hak penyiaran saluran-saluran premium seperti liga bola sepak negara-negara Eropah yang mencecah bilion ringgit setahun.

"Mereka yang bergantung semata-mata dengan perolehan iklan tidak mempunyai kemampuan untuk menyiarkan saluran itu secara percuma kepada pengguna," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Swee Hoe berkata, secara dasarnya, Pelan Induk Pendigitalan Nasional yang bermula 28 April lalu tidak bertujuan untuk menyaingi stesen televisyen berbayar sedia ada.

Sebaliknya beliau memberitahu, ia membolehkan semua rakyat negara ini termasuk di luar bandar agar menikmati siaran televisyen yang lebih berkualiti dan interaktif.

"Rakyat juga bakal memperolehi lebih banyak pilihan untuk menonton saluran televisyen kegemaran mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Swee Hoe berkata, setakat ini transformasi Terestial Televisyen Penyiaran Digital sedang dalam peringkat percuma di beberapa lokasi terpilih di Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga September depan dengan  20,000 dekoder telah diberikan secara percuma kepada isi rumah kurang berkemampuan.

No comments:

Post a Comment