Translate

Tuesday, June 30, 2015

Rakyat terima siaran berkualiti

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Stesen televisyen berbayar tempatan dijangka tidak terjejas walaupun rakyat negara ini bakal mula menikmati saluran televisyen tidak berbayar secara digital tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Toh Swee Hoe berkata, walaupun transformasi itu bakal menyaksikan penambahan sehingga 120 saluran televisyen percuma namun tidak melibatkan saluran premium seperti sukan dan hiburan antarabangsa.

"Sukar untuk stesen televisyen tidak berbayar membeli hak penyiaran saluran-saluran premium seperti liga bola sepak negara-negara Eropah yang mencecah bilion ringgit setahun.

"Mereka yang bergantung semata-mata dengan perolehan iklan tidak mempunyai kemampuan untuk menyiarkan saluran itu secara percuma kepada pengguna," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Swee Hoe berkata, secara dasarnya, Pelan Induk Pendigitalan Nasional yang bermula 28 April lalu tidak bertujuan untuk menyaingi stesen televisyen berbayar sedia ada.

Sebaliknya beliau memberitahu, ia membolehkan semua rakyat negara ini termasuk di luar bandar agar menikmati siaran televisyen yang lebih berkualiti dan interaktif.

"Rakyat juga bakal memperolehi lebih banyak pilihan untuk menonton saluran televisyen kegemaran mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Swee Hoe berkata, setakat ini transformasi Terestial Televisyen Penyiaran Digital sedang dalam peringkat percuma di beberapa lokasi terpilih di Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga September depan dengan  20,000 dekoder telah diberikan secara percuma kepada isi rumah kurang berkemampuan.

Monday, June 29, 2015

500 anak yatim dapat baju raya di Jakel Mall

CERIA. Seramai 500 anak yatim dari sekitar ibu negara menerima sumbangan pakaian raya oleh Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, sumbangan itu bertujuan menggembirakan anak yatim sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki menerima baju raya koleksi Upin Ipin, songkok, kain samping dan butang baju Melayu manakala kanak-kanak perempuan pula mendapat baju kurung koleksi sama, kerongsang baju dan tudung dari koleksi sama.
Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan isteri, Datin Seri Anggeraini Sentiyaki serta Pengarah Operasi Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel.

Saturday, June 27, 2015

Tesco edar 400 pek makanan sahur kepada kakitangan Kumpulan Utusan


KUALA LUMPUR - Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) bermurah hati mengagihkan 400 pek makanan bersahur kepada kakitangan Kumpulan Utusan di sini.

Pek makanan yang diagihkan itu mengandungi kek, roti, buah kurma, pek kecil minuman dan buah-buahan.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan Tesco Malaysia, Datuk Azlam Shah Alias berkata, pengagihan pek makanan itu merupakan sebahagian daripada program Bersahur bersama Tesco yang bermula semalam.

“Program komuniti sempena Kempen Kasih Ramadan anjuran kami tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat kami bagi menggalakkan amalan bersahur di kalangan masyarakat.

“Makanan yang kami agihkan tidak terlalu ‘berat’ namun berkhasiat dan memadai untuk kita mengerjakan ibadah berpuasa seharian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pada program tersebut, kesemua pek makanan habis diedarkan kepada kakitangan dalam tempoh sejam

Azlam Shah berkata, program Bersahur bersama Tesco itu akan menjelajahi 17 lokasi terpilih di seluruh negara sehingga 14 Julai depan.

Beliau berkata, trak Tesco bakal singgah di lokasi tumpuan ramai seperti pusat komuniti, masjid dan balai bomba bagi mengagih-agihkannya pek makanan bersahur terbabit kepada masyarakat.

“Trak itu akan berhenti selama sejam bermula pada pukul 9 malam di setiap persinggahan yang terletak berhampiran dengan pasar raya besar Tesco di seluruh negara,” katanya.

Aplikasi eBiz mudahkan pengurusan bil air


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SHAH ALAM - Syarikat Belakan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) melancarkan modul terbaharu aplikasi eBiz yang bertujuan untuk memudahkan lagi pengurusan bil air pengguna korporat, industri dan komersial di Lembah Klang.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred berkata, aplikasi berlandaskan teknologi maklumat dan komunikasi itu disasar kepada pengguna kategori terbabit yang mempunyai lebih 10 akaun bekalan air atau melebihi RM50,000.

“eBiz boleh dilanggan secara percuma untuk pengguna terlibat memantau, menyemak, meneliti dan mendapatkan maklumat terkini secara atas talian terhadap kesemua status bil air dan bayaran yang telah dibuat.

“Ia juga memudahkan mereka untuk mengetahui jumlah penggunaan air, melicinkan proses penjanaan pembayaran bil-bil air secara pukal dan membuat laporan mengenai pengebilan dan pembayaran akaun-akaun itu. Secara tidak langsung ia dapat membantu organisasi berkenaan dalam pengurusan aliran kewangan dan perbelanjaan bulanan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran aplikasi eBiz di Glenmarie di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Syabas, Lee Miang Koi.

Pada majlis sama, taklimat tentang modul terbaharu aplikasi berkenaan telah diberikan kepada 46 pelanggan eBiz yang terdiri daripada ahli Persatuan-Persatuan Pekilang-Pekilang Selangor dan Kuala Lumpur, kumpulan pengurusan kompleks dan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia.

Friday, June 26, 2015

Airbus jalankan latihan selenggara helikopter di UniKL-MIAT


MUNICH, JERMAN - Syarikat pengeluar helikopter terkemuka dunia, Airbus Helicopter bakal menerima tauliah untuk menjalankan latihan penyelenggaraan dan pengendalian helikopter model EC725 di Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (Unikl-MIAT).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, latihan penyelenggara dan pengendalian badan dan enjin helikopter jenis tersebut secara teori dan praktikal itu sejajar dengan pembukaan kampus baru Unikl-MIAT di Subang, Selangor.

“Latihan daripada pakar Airbus Helicipter itu dapat memberi keyakinan kepada tenaga pengajar Unikl-MIAT menghadapi audit sebanyak dua kali setahun oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) sebagai syarat untuk mendapat kelulusan pentauliahan.

“Pada masa sama, kerajaan juga memerlukan penyelenggaran yang intensif bagi memastikan helikopter EC725 milik negara berada dalam keadaan selamat digunakan,” katanya ketika melawat ibu pejabat Airbus Helicopters di Donuoworth dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, Pengerusi Kolej Universiti Agrosains Malaysia, Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohammad dan Dekan Unikl-MIAT, Prof. Madya Dr. Mohd. Khir Harun.

Rombongan itu disambut oleh Ketua Hal Ehwal Eksport Kerajaan dan Awam Airbus Helicopters, Michael Rudolph.

Perdana Menteri lancar projek pembinaan Menara Felcra Khamis ini


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) bakal mempunyai sebuah bangunan korporat baru di Jalan Semarak di sini yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.
Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pelancaran projek pembinaan Menara Felcra yang dibina di atas tanah seluas 1.73 hektar itu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini.

"Pembinaan Menara Felcra yang dianggarkan bernilai RM650 juta tersebut merupakan lambang kejayaan Felcra sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada 49 tahun lalu.

"Perancangan untuk mempunyai sebuah bangunan korporat telah dilakukan sejak sekian lama oleh enam pengerusi (Felcra) terdahulu dan akhirnya berjaya direalisasikan ketika saya menjadi pengerusi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Felcra yang telah dikorporatkan pada tahun 1997 kini beroperasi di Setapak Jaya di sini.
Menurut Bung Moktar, Menara Felcra itu mempunyai dua bahagian iaitu menara satu mengandungi 40 tingkat pejabat pentadbiran dan anak-anak syarikat Felcra dan sebuah dewan banquet yang boleh membuatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

Katanya, menara dua pula mengandungi 450 unit kondominium dan lot premis perniagaan yang akan dibuka pemilikannya kepada umum.

"Penjualan kondominium dan premis perniagaan itu mampu menjana pendapatan lebih kukuh kepada Felcra yang kini tidak bergantung semata-mata kepada peniagaan teras iaitu perladangan kelapa sawit dan getah," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Bung Moktar berkata, serentak dengan pelancaran menara baharu itu, pihaknya turut menganjurkan Karnival Ria Felcra akan diadakan selama empat hari bermula Khamis ini.

Menurut beliau, selain 60 gerai pameran,pelbagai aktiviti keagamaan, sukan, riadah dan hiburan telah diatur seperti Forum Kasih Kepada Kekasih, pertunjukan fesyen muslimah, demonstrasi memasak, zumba dan mini konsert.

Hiasan dinding Belka hiasi Surau Nur Baiduri


PUCHONG - Surau Nur Baiduri, Pangsapuri Baiduri Courts, Bandar Bukit Puchong 2 di sini diceriakan dengan hiasan dinding diperbuat daripada gentian kapas sumbangan syarikat pembekal produk dan perkhidmatan hiasan rumah, Belka Marketing.

Ketua Pegawai Eksekutif Belka Marketing, Calvin Tan berkata, pemasangan hiasan dinding yang 100 peratus diperbuat daripada bahan semula jadi dengan menggunakan teknologi Australia itu meliputi kira-kira 27.87 meter persegi dinding dalaman surau tersebut.

"Penajaan hiasan dinding Belka yang merupakan alternatif kepada cat dan kertas dinding tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat kami kepada penduduk setempat.

"Kami memilih hiasan dinding berwarna biru yang mampu memberikan rasa tenang kepada penduduk beragama Islam demi keselesaan mereka untuk menunaikan ibadah terutama pada bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi," katanya melakukan kerja-kerja memasang hiasan dinding itu sempena program Bersih, Ceria dan Harmoni di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Surau Nur Baiduri, Roslee Isman dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penduduk Pangsapuri Baiduri Courts, Engku Muhammad Adli Engku Azman.

Calvin memberitahu antara ciri-ciri istimewa hiasan dinding keluaran syarikatnya tersebut ialah dapat mengekalkan suhu bilik, antistatik terhadap habuk, antiserangga, tahan sekurang-kurangnya 10 tahun, kedap bunyi dan kalis api.

Thursday, June 25, 2015

INFO Gempa Bumi di Sabah semalam


-  Seramai Sepuluh pendaki Gunung Kinabalu disahkan cedera termasuk seorang pelancong Turki yang mengalami kecederaan di pinggang dan patah kaki kiri.
- 137 pendaki dan malim gunung terperangkap di laluan pendakian Kilometer 7.5 ketika kejadian berlaku.

- Antara bangunan yang mengalami kerosakan ialah Hospital Ranau, Masjid Ranau, perumahan guru dan perumahanpPolis, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau, Tokong Cina, premis kewangan dan pusat perniagaan.

- Orang ramai boleh mendapatkan maklumat tentang gempa bumi dengan menghubungi Pusat Maklumat Gempa di talian 088-413 690 atau 088-413 691.

- Maklumat juga disalurkan menerusi akaun Twitter, @malaysianmet.

Jualan gudang D'Herbs tawar diskaun 70%


PETALING JAYA - Syarikat pengeluar rangkaian produk kosmetik, D’Herbs Holdings (M) Sdn. Bhd. (D’Herbs) akan menganjurkan jualan gudang yang menawarkan diskaun antara 30 peratus hingga 70 peratus selama dua hari bermula hari ini.

Pengasasnya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata, kempen jualan murah itu berlangsung di Wisma D'Herbs di Prestij Kota Damansara, Seksyen 8, Kota Damansara di sini dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

"Jualan cuci gudang yang julung kali diadakan ini sempena pembukaan premis perniagaan baharu D'Herbs di Prestij Kota Damansara.

"Ia melibatkan kesemua produk komestik dan kesihatan keluaran syarikat kami dan orang ramai dijemput untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk memperolehi pelbagai produk keluaran D'Herbs dengan harga yang jauh lebih murah dari biasa," katanya ketika ditemui di Wisma D’Herbs di sini baru-baru ini.

Aliff Syukri berkata, selain itu, seramai 200 pembeli terawal yang membuat pembelian RM150 ke atas pada jualan gudang tersebut turut dihadiahi sekaki payung esklusif D'Herbs.

D’Herbs yang ditubuhkan pada September 2010 kini memiliki lebih 90 produk komestik dan kesihatan.

131 Polis Bantuan Bank Rakyat tamat latihan


TAULIAH. Seramai 131 anggota Polis Bantuan Bank Rakyat berjaya menamatkan latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 1/2015 di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor baru-baru ini.

Eksekutif Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat, Noor Hafizah Mohd. Mazni berkata, kursus tersebut bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan keselamatan di institusi perbankan berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang  tempoh latihan selama dua bulan tersebut, kesemua anggota Polis Bantuan terbabit didedahkan dengan pelbagai aspek latihan melibatkan kawad, aktiviti fizikal, pengetahuan undang-undang dan penggunaan senjata api.

"Mereka turut mempelajari seni mempertahankan diri, asas pertolongan cemas dan mengendalikan ancaman serta teknik mencegah kebakaran," katanya.

Julie's edar 10,000 poskad sempena Aidilfitri


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Perfect Food Manufacturing (M) Sdn. Bhd. melancarkan Kempen ‘Titipkan Luahan Kasih Anda’ dengan pengedaran 10,000 poskad Aidilfitri secara percuma sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengurus Pemasarannya, Benny Chia berkata, pihaknya juga akan menanggung kos pengeposan poskad tersebut dalam kempen yang bertujuan untuk mengembalikan tradisi menulis kad ucapan bagi menghargai dan meluahkan perasaan kepada insan tersayang.

“Poskad yang mempunyai variasi tiga warna itu iaitu kuning, biru dan hijau boleh didapati secara percuma di gerai pameran Julie’s yang akan ditempatkan di pasar raya besar dan pasar raya terpilih di seluruh negara.

“Selepas selesai menulis ucapan bermakna kepada orang tersayang, orang ramai hanya perlu memasukkan poskad yang mempunyai alamat lengkap penerima itu di peti surat disediakan di setiap gerai pameran tersebut,” katanya.

Wednesday, June 24, 2015

Keganasan rumah tangga meningkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Kes keganasan rumah tangga di negara ini didapati semakin meningkat dengan 4,807 kes dilaporkan kepada pihak berkuasa pada tahun lalu berbanding 3,053 kes pada 2013.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, walaupun me­nunjukkan peningkatan, kementerian meman­dangnya dengan positif kerana ia secara tidak langsung me­nunjukkan kepercayaan mangsa terhadap pihak berkuasa.
“Inisiatif berterusan kementerian seperti kempen tahunan antikeganasan wanita yang telah dilanjutkan selama 90 hari dan pembukaan Pusat Khidmat Krisis Sehenti telah berjaya menyedarkan lebih ramai mangsa untuk tampil membuat laporan,” katanya selepas melancarkan Laporan Keganasan Rumah Tangga 2015 dan Kempen Kesedaran Awam anjuran Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengerusi Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan.

Rohani memberitahu, sebelumi ni, pihak berkuasa berhadapan masalah untuk menangani ks keganasan rumah tangga kerana kebanyakan mangsa enggan membuat laporan kerana malu dan terlalu menyanyangi suami serta keluarga.

Katanya, berdasarkan kajian, seramai sembilan peratus daripada wanita berkahwin di negara ini pernah mengalami penderaan fizikal dan mental daripada suami mereka.

"Lelaki yang mengasari isteri mereka merupakan pesakit jiwa. Mereka mengalami tekanan emosi kerana tidak mampu menanggung beban tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.

Tuesday, June 23, 2015

Kapal tiba di Pelabuhan Kuantan pagi ini


KUALA LUMPUR - Kapal tangki minyak, MT Orkim Harmony yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa di Teluk Siam semalam dijangka tiba di Pelabuhan Kuantan, Pahang pada awal pagi ini.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, kapal tangki itu diiringi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Handalan menuju ke Pelabuhan Kuantan yang dijangka tiba pada 2 pagi ini.

Kepulangan kapal tangki yang membawa 5,879 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta itu dikemudi oleh Kapten Kapal, Nor Fazly Sahat.

Turut berada di dalam kapal itu 20 kru lain yang terdiri daripada 15 warga tempatan, empat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Seorang tukang masak warga Indonesia, Mawit Matin telah diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan untuk mendapatkan rawatan kerana cedera ditembak di paha.

Monday, June 22, 2015

6,000 ahli parti hadir untuk beri sokongan kepada Subramaniam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Seramai 6,000 ahli MIC dari seluruh negara termasuk bekas Presiden, Datuk Seri S. Samy Vellu hadir untuk memberi sokongan kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri S. Subramaniam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat mendakwa kumpulan yang diketuainya itu mewakili MIC kerana beliau mendapat sokongan daripada sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera selain 2,758 ketua cawangan dan 95 cawangan parti di seluruh negara.

"Saya juga mendapat sokongan padu daripada dua Timbalan Menteri dari parti iaitu Datuk M. Saravanan dan Datuk P. Kamalanathan, seorang Exco kerajaan negeri, dua Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang Speaker Dewan Undangan Negeri," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Khas MIC di PWTC.

Beliau menyatakan demikian berhubung krisis kepimpinan MIC selepas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mengantung 15 pemimpin termasuk dirinya dan Saravanan selama setahun berkuat kuasa 16 Jun lalu kerana mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Keraja Pusat (CWC) Sementara secara haram.

Namun beberapa jam selepas keputusan itu dibuat, Subramaniam pula mengumumkan beliau sebagai Pemangku Presiden kerana keahlian Palanivel telah digugurkan secara automatik mengikut perlembagaan parti kerana membawa kes MIC ke mahkamah tanpa mendapat persetujuan ahli CWC.

Subramaniam turut akur dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Rzak agar parti itu mematuhi keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar pemilihan semula tiga jawatan Naib Presiden dan 23 anggota CWC diadakan.

Dalam pada itu, Samy Vellu yang ditemui berkata, walaupun tidak berniat untuk campur tangan dalam pemilihan parti namun beliau berpuas hati dengan perjelasan Subramaniam berhubung krisis dalaman MIC itu.

"Tentang kepimpinan parti, saya tak nak komen. Biarlah proses pemilihan berjalan," katanya.

Friday, June 19, 2015

Mara umum dasar pembiayaan pendidikan baharu


KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan skim pembiayaan pendidikan baru melibatkan dana RM500 juta.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, skim pinjaman tersebut merupakan kerjasama strategik Mara dengan institusi kewangan tempatan.
"Ia bertujuan untuk membantu meringankan beban pelajar yang sedang menyambung pengajian peringkat ijazah Sarjana, Doktor Falsafah dan profesional di institusi pengajian tinggi luar negara.
"Pelajar yang menerima tawaran perlu membayar semula pinjaman sepenuhnya namun faedah pembiayaan sepanjang tempoh pengajian sehingga enam bulan tamat belajar akan ditanggung Mara," katanya ketika mengumumkan dasar baharu pembiayaan pendidikan Mara di sini hari ini.
Annuar berkata, tajaan kepada pelajar cemerlang di peringkat ijazah sarjana muda diteruskan seperti biasa namun pemohon perlu mendapat tempat di 50 universiti terbaik dunia.
Beliau memberitahu, permohonan bagi kesemua pembiayaan pendidikan tersebut boleh dilakukan secara dalam talian bermula 1 Julai depan. - KOSMO!

Wednesday, June 17, 2015

Kempen Cuti-Cuti 1Malaysia 'Dekat Je' dilancar

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia melancarkan Kempen Cuti-Cuti 1Malaysia 'Dekat Je' bagi meningkatkan lagi pelancongan domestik di kalangan rakyat negara ini pada hujung minggu.
Pengerusinya, Wee Choo Keong berkata, kempen tersebut menggalakkan penduduk tempatan melakukan percutian singkat dua hari satu malam pada Sabtu dan Ahad bersama keluarga dan rakan di pusat-pusat penganginan di seluruh negara.
"Aktiviti pelancongan yang dilakukan di luar waktu puncak itu bukan sahaja menjimatkan malah dapat merapatkan hubungan sesama mereka.
"Mereka juga digalakkan untuk memuatkan gambar 'selfie' dan 'welfie' percutian domestik mereka di laman sosial bagi berkongsi pengalaman," katanya selepas melancarkan kempen itu di sini hari ini. - KOSMO!

Friday, June 12, 2015

UEM Sunrise raikan 86 pelajar cemerlang peperiksaan


HARGAI. Syarikat pembangunan hartanah, UEM Sunrise Berhad menyampaikan anugerah kepada 86 pelajar cemerlang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Nusajaya, Johor baru-baru ini.
Pengurus Besar Infrastruktur dan Perancang Bandar UEM Sunrise, Rusli Zainal Abidin berkata, penerima anugerah itu merupakan pelajar-pelajar sekolah angkat syarikat itu di sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar.
Beliau berkata, pelajar cemerlang tersebut masing-masing menerima sijil penghargaan dan insentif wang tunai antara RM300 hingga RM600 manakala sebuah komputer riba turut dihadiahkan kepada pelajar terbaik bagi setiap kategori peperiksaan.
“Anugerah tahunan yang telah diperkenal sejak tujuh tahun lalu ini bertujuan memberi motivasi kepada pelajar angkat kami untuk lebih gigih memburu kejayaan dalam bidang akademik,” katanya.

Minuman ringan dikenakan cukai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai khusus ke atas mi­numan ringan yang mengan­dungi gula terlalu tinggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, pendekatan itu merupakan strategi jangka panjang kerajaan bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat negara ini.
“Cadangan itu masih dalam peringkat kementerian dan kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri berhubung pelaksanaan cukai itu.
“Mekanisme terbaik pelaksanaan sedang dicari dan salah satunya ialah cukai tersebut berasaskan kuantiti gula yang terdapat di dalam minuman terbabit,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Pakar Pemakanan (MDA) ke-21 di sini semalam.

Turut hadir Presiden MDA, Prof. Winnie Chee Siew Swee dan Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan, Datuk Tan Yoke Hwa.

Subramaniam berkata, sejurus kata putus dicapai, cadangan mengenakan cukai terhadap minuman bergula tinggi itu akan diserahkan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk dilaksanakan.

Menurut beliau, tumpuan diberikan kepada makanan dan minuman diproses yang mengandungi nutrisi tidak sihat dan mampu memberi implikasi kesihatan kepada pengguna.

“Pengambilan gula dikalangan rakyat Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara menyebabkan ramai yang mengalami obesiti dan penyakit diabetes. 

“Sebelum ini subsidi gula telah ditarik balik. Sebenarnya kita tidak perlukan gula dan boleh hidup tanpanya, karbohidrat boleh didapati daripada sumber kompleks lain seperti nasi, tepung dan oat bukan gula,” katanya.

Beberapa negara seperti Norway, Finland, Perancis dan Hungary serta dua negeri dalam Amerika Syarikat iaitu Maryland dan Virgnia telah mengenakan cukai ke atas minuman ringan dan makanan lain yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Thursday, June 11, 2015

Cukai tambahan minuman dalam tin tinggi kadar gula


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan berhasrat untuk mengenakan cukai tambahan ke atas minuman dan makanan dalam tin yang mengandungi kadar gula yang tinggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, ia merupakan pendekatan jangka panjang kementeriannya bagi mengurangkan pengambilan nutrisi tidak sihat dalam kalangan masyarakat tempatan.
"Cadangan masih di peringkat perbincangan di antara kementerian dan pengilang.
"Kita sedang mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakan cukai tersebut," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Pakar Pemakanan Malaysia kali ke-21 di sini hari ini. - KOSMO!

Anggota Rela ditukar ke unit lain


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Anggota keselamatan yang bertanggungjawab mengarahkan seorang pelanggan wanita untuk memakai kain sarung ketika berurusan di sebuah pejabat cawa­ngan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Isnin lalu telah ditukarkan ke unit lain mulai kelmarin.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, siasatan mendapati tindakan kontroversi terbabit telah dilakukan oleh seorang anggota keselamatan agensi itu dari Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).


"Arahan memakai kain sarung itu tidak dilakukan oleh pegawai JPJ sebaliknya oleh seorang anggota keselamatan dari Rela atas kapasiti peribadi. 

"Dia telah ditukarkan untuk menjaga unit lain selepas kejadian tersebut telah menjadi viral di media sosial semalam (kelmarin)," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ab. Aziz berkata, JPJ tidak pernah melakukan tindakan sedrastik itu terhadap pelanggan agensi tersebut sebelum ini biarpun etika berpakaian di premis kerajaan telah diwujudkan sekian lama.

Menurut beliau, kejadian itu amat dikesali dan berharap ia akan menjadi pengajaran berguna kepada JPJ dalam menangani pelanggan pada masa depan.

"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah JPJM, Datuk Ismail Ahmad untuk mengemaskini garis panduan pemakaian orang awam di pejabat agensi itu.

"Ia harus lebih jelas agar mudah difahami oleh orang awam dan sebarang teguran terhadap cara berpakaian pelanggan selepas ini perlu ditangani secara lebih mesra dan berhemah," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita dikenali sebagai Suzanne G.L. Tan mendakwa di akaun Facebooknya bahawa dia telah diarahkan memakai kain sarung kerana memakai skirt singkat ketika berkunjung di sebuah pejabat cawangan JPJ Wangsa Maju di sini untuk menukar nama pemilik kereta yang telah dijualnya.

JPJ kemudiannya melahirkan rasa kesal atas kejadian yang menimpa wanita itu sambil menegaskan pihaknya tidak mempunyai polisi yang memberikan kain sarung kepada pelanggan yang tidak menetapi garis panduan kod etika berpakaian.

Tuesday, June 2, 2015

Operasi jejak peniaga tamak


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menjejak peniaga menaikkan harga barangan yang sebelum ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di seluruh negara bermula hari ini.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Alias Ahmad berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 557 barang merangkumi makanan, pakaian, barangan elektrik dan perabot yang sepatutnya mengalami penurunan harga berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.
“Mulai esok (hari ini) tumpuan penguatkuasaan lebih fokus terhadap peniaga yang tetap mengenakan enam peratus bayaran GST tanpa melupuskan caj SST sebanyak 10 peratus.
“Kita hendak semak sama ada mereka telah menurun­kan harga barangan tersebut atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar mengenai GST bersama Pengarah Bahagian GST, Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam di sini semalam.


Alias berkata, operasi berkenaan turut melibatkan pemeriksaan 22 produk yang dikelaskan dalam kategori sifar peratus GST berbanding dikenakan lima peratus SST sebelum ini.

Menurut beliau, semua barangan terbabit sepatutnya mengalami penurunan harga antara empat hingga lima peratus setelah ditolak daripada caj SST yang dikenakan sebelum ini.

"Senarai barangan itu telah diedarkan dan kita telah mengarahkan pasukan penguat kuasa di peringkat negeri agar mengadakan pemeriksaan di premis-premis seperti kedai runcit, pasar raya, pasar raya besar mulai esok (hari ini).

"Hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua bagi individu manakala bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.

Monday, June 1, 2015

Pemaju harap statistik perlu lebih telus


KUALA LUMPUR - Syarikat pemaju perumahan menyarankan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengambil kira jumlah sebenar permohonan yang ditolak pada peringkat awal bagi memberi gambaran sebenar statistik penolakan pinjaman perumahan oleh bank di Malaysia.

Pengarah Urusan IJM Land, Edward Chong Sin Kiat berkata, walaupun beliau tidak mempertikaikan statistik ABM bahawa terdapat penurunan jumlah permohonan yang ditolak pada tahun lalu, namun statistik tersebut akan lebih telus jika ABM turut mengambil kira permohonan dari peringkat pertama.

"Kadar permohonan yang bank tolak secara terus mungkin tidak banyak jika telah melalui beberapa peringkat berbanding jika dikira pemohon mula-mula berurusan dengan pihak bank.

"Selain itu, sekiranya pihak bank memotong kelulusan peratusan pinjaman rumah contohnya daripada 90 peratus kepada 70 peratus, ia juga harus dikira sebagai satu penolakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sin Kiat berkata, selain itu, polisi yang menetapkan pengiraan mereka yang layak memohon pinjaman berdasarkan pendapatan bersih ditolak pelbagai komitmen seperti bayaran bulanan kereta dan kad kredit sudah pasti menjadikan pemeriksaan kredit kini jadi lebih ketat.

Bank Negara Malaysia pada tahun 2012 mengetatkan syarat pinjaman yang memerlukan bank komersial menyemak pendapatan bersih dan bukannya pendapatan kasar pemohon sebelum meluluskan pinjaman bagi memastikan hutang isi rumah dapat dikawal dengan baik.

Sementara itu, Pengerusi UDA Holding Berhad, Datuk Johari Abdul Ghani pula berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan tahap pemeriksaan kredit oleh bank ke atas bakal pembeli.

Bagaimanapun, beliau mengakui fakta harga rumah mahal mungkin menyukarkan orang ramai yang mahu membeli rumah tersebut berbanding mereka yang mahu mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membeli rumah mampu milik.

Operasi 557 barangan SST bermula esok - KPDNKK


PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan operasi besar-besaran bermula esok bagi memastikan 557 barangan yang sebelum ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diturunkan harga.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Alias Ahmad berkata, operasi penguatkuasaan itu akan dilakukan secara serentak di seluruh negara.
Beliau berkata, sepatutnya barangan yang dikenakan SST sebanyak 10 peratus dijual pada harga lebih rendah kerana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mengenakan caj lebih rendah iaitu hanya enam peratus.
"Namun kami terima banyak aduan pengguna tentang kenaikan harga sesetengah barangan terbabit.
"Operasi penguatkuasaan bertujuan memastikan punca (kenaikan) sekali gus memastikan pematuhan," katanya pada sidang akhbar GST di Kementerian Kewangan di sini hari ini. - KOSMO!