Translate

Saturday, May 30, 2015

PM lancar Tabung Amanah Felcra

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pelancaran Tabung Amanah Peserta Felcra dengan modal permulaan sebanyak RM10 juta.
Beliau berkata, tabung itu yang diuruskan oleh Permodalan Felcra Sdn. Bhd. diwujudkan bagi membantu peserta Felcra yang mengalami masalah modal pusingan berikutan tanah mereka bersaiz kecil dan kurang berdaya maju.
“Setiap tahun Felcra Berhad akan menyuntik dana (modal tambahan) sekurang-kurangnya RM5 juta. Lebih banyak keuntungan, lebih banyak suntikan (dana),” katanya ketika berucap melancarkan projek pembangunan Menara Felcra di Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.
Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar.
Majlis pelancaran projek pembangunan Menara Felcra di tanah seluas 1.73 hektar itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 5,000 peserta Felcra dari seluruh negara.
Najib berkata, bangunan korporat Felcra yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018 itu bakal menjadi hab untuk syarikat berkaitan kerajaan tersebut memasarkan produk-produk luar bandar ke pasaran global.
Beliau juga menjelaskan hasil keuntungan daripada projek pembinaan Menara Felcra itu akan dipulangkan untuk manfaat pesertanya yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, Bung Moktar memberitahu, Menara Felcra ber­kenaan mengandungi pejabat setinggi 35 tingkat dan kondominium servis setinggi 43 tingkat selain turut menempatkan pusat beli-belah, dewan auditorium dan banquet.
“Pusat komersial itu akan mengandungi empat tingkat yang boleh menampung 80 unit kedai manakala 480 unit kondominium servis bakal dibina dengan keluasan dari 73.39 meter persegi hingga 125.42 meter persegi,” katanya.

No comments:

Post a Comment