Translate

Thursday, May 28, 2015

PM lancar pembinaan Menara Felcra hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan projek pembangunan bangunan korporat baharu Felcra Berhad (Felcra) yang akan dikenali sebagai Menara Felcra di Jalan Semarak di sini hari ini.
Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pembinaan bangunan korporat baharu yang dianggarkan menelan belanja RM650 juta itu adalah lambang kepada kejayaan syarikat milik kerajaan (GLC) itu yang telah berkembang pesat sejak 49 tahun penubuhannya.
“Menara Felcra yang dibina di atas tanah seluas 1.73 hektar tersebut bukan sahaja akan menempatkan pejabat pentadbiran Felcra dan anak syarikatnya malah bakal mempunyai sebuah dewan bankuet yang boleh memuatkan kira-kira 2,000 orang pada satu-satu masa.

"Selain itu di atas tapak tanah sama, 450 unit kondomium dan premis perniagaan juga akan dibina dan pemilikannya bakal dibuka kepada umum bagi menjana laba kepada Felcra," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bung Moktar berkata, sempena pelancaran bangunan korporat berkenaan, pihaknya turut menganjurkan Karnival Ria Felcra yang diadakan di tapak projek tersebut selama empat hari sehingga Ahad ini.

Menurut beliau, selain 60 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan usahawan tempatan, pelbagai acara keagamaan, hiburan, sukan dan riadah telah disusun untuk pengunjung.

Antaranya, Forum Kasih Kepada Kekasih, demonstrasi memasak, zumba, pertunjukan fesyen Muslimah, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kembara harta dan mini konsert.

Beberapa artis tempatan turut terlibat menjayakan karnival tersebut seperti Leez AF, Nas Adilla, Ieda Moin, Khai, Rosma, Syed Ali, Buzen dan Zack Kool.

No comments:

Post a Comment