Translate

Monday, May 18, 2015

Petaling catat kes tertinggi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PETALING JAYA - Jabatan Kesihatan Selangor melahirkan kebimbangan terhadap kes demam denggi yang kekal tinggi di daerah Petaling walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya sejak awal tahun ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. S. Balachandran berkata, lebih 46 peratus daripada 23,376 kes demam denggi yang dilaporkan di negeri itu berlaku di Petaling.

"Sehingga 2 Mei lalu, 10,923 kes demam denggi telah direkodkan di daerah Petaling dan ia merupakan tertinggi di negeri ini. Sepanjang tempoh itu juga, 22 kematian akibat wabak sama turut dicatatkan di daerah itu.

"Ia merupakan statistik yang sangat membimbangkan kerana masih belum menampakkan penurunan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan (untuk mengurangkan kes demam denggi)," katanya selepas merasmikan Kempen Cegah Denggi sempena sambutan Hari Jururawat peringkat negeri di Padang Awam Pangsapuri Desa Mentari di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penyelia Jururawat Selangor, Ng Siew Koon.

Seramai 200 jururawat yang berkhidmat di hospital dan klinik kesihatan seluruh negeri tersebut telah mengambil inisiatif mengunjungi sebahagian besar kediaman penghuni pangsapuri Desa Mentari untuk memberi pendidikan tentang pencegahan tempat pembiakan nyamuk aedes yang merupakan vektor pembawa virus demam denggi.

Balachandran berkata, Pangsapuri Desa Mentari merupakan antara kawasan panas  demam denggi di daerah Petaling dengan 58 kes telah dicatatkan di kawasan itu sejak awal Januari lalu.

No comments:

Post a Comment