Translate

Sunday, May 17, 2015

Percubaan Televisyen Terestial Penyiaran Digital


RAKYAT negara ini dijangka dapat mula menikmati saluran televisyen berbentuk terestial secara digital tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Toh Swee Hoe berkata, Pelan Induk Pendigitalan Nasional kini dalam peringkat percubaan di beberapa lokasi terpilih dari pantai timur tanah air bermula 28 April lalu.

"Sebanyak 20,000 dekoder akan diberikan secara percuma kepada individu kurang berkemampuan yang tersenarai dalam program e-Kasih di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada masa terdekat.

"Ujian Terestial Televisyen Penyiaran Digital di kawasan itu akan berlangsung sehingga September ini dan maklum balas daripada mereka terlibat akan diambil kira," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Swee Hoe memberitahu, transformasi dalam bentuk digital bagi sistem penyiaran negara akan dilaksana secara berperingkat ke seluruh negara sehingga tahun 2020.

Menurut beliau, kerajaan menyasar 97 peratus rakyat negara ini dapat menikmati saluran televisyen berbentuk digital itu pada tahun 2017 sebelum sistem berbentuk analog akan ditutup sepenuhnya pada setahun kemudian.

"Dalam sistem digital, spektrum yang membentuk satu saluran contohnya RTM 1 dalam sistem analog boleh dikembangkan kepada 12 hingga 15 saluran bagi siaran berbentuk definisi standard (SD).

"Bagi definisi tinggi (HD) pula, empat hingga enam saluran boleh dibentuk. Oleh itu, berbanding enam siaran percuma dalam terestial televisyen pada masa sekarang, pengguna boleh menjangka mereka dapat menikmati sehingga 120 saluran percuma pada era digital kelak," katanya.

Begitupun, Swee Hoe berkata, perkembangan bilangan saluran televisyen digital itu bergantung kepada kesediaan dan kemampuan syarikat penyiaran untuk menyediakan kandungan.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan membuka lebih ruang kepada industri kandungan tempatan bagi memenuhi kehendak pasaran tersebut.

"Kabel yang digunakan untuk sistem analog sebelum ini tidak akan dipersia begitu sahaja kerana ia akan digunakan untuk memperkasa kemudahan jalur lebar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment