Translate

Tuesday, May 19, 2015

Laluan pejalan kaki untuk kemudahan murid sekolah


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina laluan pejalan kaki berbumbung untuk manfaat 1,187 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Kampung Datok Keramat di sini.

Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lau Hoi Keong berkata, kemudahan yang dibina dengan kos RM60,000 itu dijangka siap sepenuhnya pada minggu depan.

“Laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 38 meter di hadapan SJKC Chong Hwa tersebut untuk kegunaan murid berteduh sementara menunggu ibu bapa atau bas sekolah selepas waktu persekolahan.

“Pembinaannya atas usaha Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang mengusulkan cadangan berkenaan kepada DBKL,” katanya selepas meninjau projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung SJKC Chong Hwa, Jalan Damai, Kampung Datok Keramat di sini semalam.

Kehadiran beliau bersama Jurutera Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL, Nazatul Shima Shawal@ Abdul Malek dan Pegawai Kesihatan Persekitaran DBKL, Abdul Razak Jalil disambut oleh Guru Besar sekolah itu, Lim Siew Yoke.

SKJC Chong Hwa yang merupakan sekolah bantuan modal Kementerian Pendidikan mempunyai hampir 30 peratus murid berketurunan Melayu dan India selain 44 orang guru.

No comments:

Post a Comment