Translate

Monday, May 18, 2015

Gaya hidup berubah dengan transformasi televisyen digital

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

GAYA hidup sebahagian besar rakyat negara ini dijangka bakal berubah berikutan transformasi penyiaran negara kepada format televisyen digital sepenuh tidak lama lagi.

Menerusi Pelan Induk Pendigitalan Nasional, masyarakat termasuk di luar bandar berpeluang untuk menikmati siaran televisyen dengan kualiti audio dan visual bermutu tinggi secara percuma.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain disajikan dengan lebih saluran, format digital juga membolehkan pengguna memperolehi pengalaman menonton siaran televisyen yang lebih menarik.

Beliau berkata, televisyen dalam format digital dilengkapi dengan pengaturcaraan pelbagai saluran, panduan program elektronik, sistem audio alih bahasa dan mengurangkan risiko gangguan tergendala disebabkan cuaca buruk.

"Semuanya secara percuma tanpa sebarang kos tambahan yang perlu dibayar oleh pengguna. Ia bakal dipancarkan secara terus ke rumah melalui sambungan dekoder khas berharga RM200.

"Malah sebanyak kerajaan akan membekalkan dua juta dekoder itu secara percuma kepada golongan penduduk miskin luar bandar berdasarkan senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program e-Kasih," katanya baru-baru ini,

Menurut beliau, format televisyen digital membolehkan rancangan televisyen kegemaran dapat ditonton di mana-mana sahaja kerana ia boleh diakses menerusi pelbagai gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet selain kaedah konvensional, tontonan di televisyen.

"Transformasi dalam bentuk Terestial Televisyen Penyiaran Digital juga diharap dapat menggalakkan perkembangan industri kandungan tempatan dan membantu  meluaskan ruang perniagaan di televisyen," katanya.

No comments:

Post a Comment