Translate

Sunday, May 3, 2015

Fiesta Bera bermula Khamis ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BERA – Seramai 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan Fiesta Bera 2015 yang bakal diadakan di Laman Kerayong, Bera, Pahang dari 7 Mei hingga 10 Mei ini.
Pengerusi Penganjur Fiesta Bera 2015, Tahzir Husain berkata, fiesta selama empat hari tersebut merupakan edisi keempat sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2012.
Beliau berkata, pelbagai acara menarik telah diatur seperti forum agama, gerai pameran dan jualan, pertandingan futsal dan bola jaring, kursus keusahawanan serta konsert.


“Fiesta Bera 2015 akan membuka tirainya dengan forum agama bertajuk ‘Keluarga Bahagia’ oleh penceramah bebas terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias bermula pukul 9 malam, 7 Mei ini.

“Perasmiannya pula bakal disempurnakan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merangkap Ahli Parlimen Bera pada 9 Mei ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tahzir berkata, sepanjang empat hari fiesta itu berlangsung, pengunjung turut berpeluang membeli pelbagai produk pertanian dan asas tani di 40 gerai pameran dan jualan disediakan.

Menurut beliau, golongan belia juga berpeluang untuk menyertai Kursus Keusahawanan Agropreneur Muda bagi mengetahui peluang-peluang disediakan agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Asas  Tani yang turut menampilkan artis dan usahawan Hot Burger Malaysia, Fizo Omar atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar sebagai salah seorang penceramahnya.

“Tak ketinggalan juga, konsert Menjunjung Damai yang akan menyajikan ramai artis popular tanah air sebagai halwa telinga pengunjung bermula pukul 9 malam, 9 Mei,” katanya.

No comments:

Post a Comment