Translate

Wednesday, April 29, 2015

INFO Setem Penny Black


- Setem pelekat pertama di dunia yang diperkenalkan dalam perkhidmatan pos untuk penghantaran surat dan dokumen.

- Dikeluarkan di Britain dengan menggunakan profil Ratu England, Ratu Victoria pada 1 Mei 1840 dan mula berada di pejabat-pejabat pos pada lima hari kemudian.

- Ia merupakan sebahagian daripada pembaharuan dalam perkhidmatan pos di Britain yang dilakukan oleh Sir Rowland Hill.

- Sebelum itu, kos penghantaran surat dan dokumen berdasarkan helaian kertas yang dihantar dan jarak penghantaran. Kosnya dibayar secara tunai oleh penerima atau secara pra-bayar oleh pengirim.

- Berwarna hitam dengan perkataan Pos berada di bahagian atas setem dan dijual dengan harga satu Penny.

-Berukuran 19 x 22 milimeter.

- hanya digunakan dalam jangkamasa tidak sampai setahun.

- Setem Penny Black telah digantikan oleh Penny Red pada tahun 1841.

DBP angkat karya terbaik Baha Zain


KUALA LUMPUR - Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) mengangkat karya-karya pejuang sastera bahasa Melayu termasuk yang terbaharu melancarkan koleksi Edisi Khas Sasterawan Negara ke-12, Baha Zain atau nama sebenarnya Datuk Baharudin Zainal perlu diberi pujian.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, karya-karya tersebut perlu diketengahkan supaya ia dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarajat.

"Orang ramai terutama generasi muda bukan sahaja di negara ini malah Indonesia dilihat semakin hilang minat terhadap kesusteraan dan kebudayaan Melayu.

"Senario ini amat membimbangkan kerana melibatkan jati diri kita. Oleh itu, saya harap buku-buku sastera bermutu seperti karya Baha Zain ini bukan sahaja dapat dikaji di peringkat universiti malah dapat dibaca oleh segenap masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan tujuh buku yang merupakan koleksi terbaik Baha Zain sempena Pesta Buku Antarabangsa 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah DPB, Datuk Dr. Awang Sariyan, Baha Zain dan isteri Raism Puan Sri Maznah Rais.

Rais berkata, penerbitan buku-buku tersebut bertujuan untuk memartabatkan lagi idea dan pemikiran penyair dan pengkritik sastera terkenal tanah air itu.

Sementara itu, Awang berkata, koleksi karya Baha Zain tersebut adalah Berguru pada Binatang, Siang Tak Pernah Mungkir dan Kau Akan Dewasa, Monolog Kecil, Jalan Desa ke Kota, Memartabatkan Persuratan Melayu, Postponing Truth and Others Poem : Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-Sajak Lain dan Esei dan Puisi Baha Zain : Tentang Penulis dan Persekitarannya.

Beliau berkata, setiap buku terbabit dijual pada harga RM9.30 hingga RM30 dan pembeli di gerai pameran DPB di Pesta Buku Antarabangsa yang bakal berakhir Ahad ini akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus.

Tuesday, April 28, 2015

INFO Liga Remaja Kreatif

Infografik Liga Remaja Kreatif
=======================
1) Liga Remaja Kreatif telah diperkenalkan pada tahun 2010 untuk memupuk minat dan kreativiti para pelajar dalam industri kandungan tempatan.

2) Majlis Pelancaran Liga Remaja Kreatif 2010 telah diadakan pada 12 Mei 2010 di Sibu, Sarawak.

3) Seramai 5,000 peserta menjadi sasaran bakal mengambil bahagian dalam Liga Remaja Kreatif pada tahun ini.

4) Pertandingan bermula pada 1 Februari 2015 dan tarikh tutup penyertaan 30 April ini.

5) Para peserta yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan secara dalam talian melalui laman sesawang
http://lrk.mcmc.gov.my.


Infografik Mekanisme Liga Remaja Kreatif
=================================
- Perlu mempunyai empat orang pelajar dalam satu kumpulan.

- Para peserta perlu mencipta video, aplikasi mudah alih, portal Internet, Raspberry Pi atau
Arduino berdasarkan tema yang diberikan pada tahun ini.

- Isi borang penyertaan dalam talian dan muatnaik penyertaan tersebut.

- Dapatkan pengesahan daripada pengetua atau pihak sekolah melalui e-mel yang dihantar secara
automatik.


Infografik hadiah Liga Remaja Kreatif
============================
Peringkat Negeri
------------------

Hadiah Tempat Pertama :

-  RM5,000 + 4 Telefon bimbit + Sijil Penyertaan

Hadiah Tempat Kedua :

- RM3,000 + 4 Telefon bimbit + Sijil Penyertaan

Hadiah Tempat Ketiga :

- RM2,000 + 4 Telefon bimbit + Sijil Penyertaan

Hadiah Saguhati :

- RM500 x 7 Kumpulan


Peringkat Kebangsaan
 Hadiah tempat pertama :

- RM10,000 + 4 iPhone + Trofi + Sijil Penyertaan

Hadiah Tempat Kedua :

- RM7,500 + 4 iPhone + Trofi + Sijil Penyertaan

Hadiah Tempat Ketiga :

- RM5,000 + 4 iPhone + Trofi + Sijil Penyertaan

Video Paling Popular :

- RM2,500

Aplikasi Mudah Alih Terbaik :

- RM5,000 + 4 iPhone + Trofi + Sijil Penyertaan

Laman Portal Terbaik:

- RM5,000 + 4 iPhone + Trofi + Sijil Penyertaan

Raspberry Pi & Arduino Terbaik:

- RM5,000 + 4 iPhone + Trofi + Sijil Penyertaan

LRK platform cungkil kreativiti pelajar

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

CYBERJAYA - Dunia tanpa sempadan menjadikan kandungan media digital menjadi salah satu medium utama pilihan orang ramai dalam memperoleh pelbagai maklumat di hujung jari mereka.

Bahkan, perkembangan pesat dunia kandungan digital yang dikecapi hari ini membuka luas pelbagai cabang dan peluang pekerjaan kepada orang ramai.      

Menyedari perkembangan dan potensi dunia digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan pertandingan Liga Remaja Kreatif (LRK) sejak tahun 2010 untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam industri kandungan tempatan.  
Pengarah Jabatan Pembangunan Kandungan dan Aplikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Laurel Tan Bee Hiong berkata, tema untuk pertandingan tahun ini ialah Inovasi Jalur Lebar – Gaya Hidup Digital Malaysia.

"Pertandingan yang dibuka khusus kepada para pelajar sekolah menengah di seluruh negara bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar di negara ini berhubung pembangunan kandungan digital tempatan.

"Melalui pertandingan ini, kita dapat mendidik para pelajar berhubung asas kemahiran dan produksi dalam penceritaan serta peralatan yang digunakan industri pembangunan kandungan digital.

"Selain itu, ia dapat memupuk minat dan kreativiti para pelajar dalam bidang pembangunan kandungan digital tempatan sekali gus menjadi platform terbaik mengasah serta mencungkil bakat terpendam mereka," katanya.
Pertandingan pada tahun ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu Video, Aplikasi Mudah Alih, Portal Internet, Raspberry Pi dan Arduino dalam merancakkan pembangunan kandungan tempatan di peringkat negeri serta Kebangsaan.

"Pada tahun 2015 ini, terdapat kategori baharu diperkenalkan iaitu Raspberry Pi dan Arduino untuk merancakkan lagi penyertaan para pelajar yang menunjukkan peningkatan saban tahun.

"Kita menyasarkan seramai 5,000 peserta bakal mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Para peserta boleh mendapatkan borang penyertaan di laman sesawang http://lrk.mcmc.gov.my sebelum tarikh tutup pada 30 April ini," ujarnya.

LRK 2015 dianjurkan oleh MCMC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Telekom Malaysia dan Media Prima Digital.

Nepal terletak dalam kawasan berisiko dilanda gempa

KUALA LUMPUR - Kedudukan Nepal yang terletak dalam kawasan lingkaran api darat menyebabkan negara itu terdedah dengan kejadian gempa bumi seperti yang melanda kelmarin.
Pakar Geologi, Prof. Datuk Ibrahim Komoo berkata, selain Nepal, beberapa negara lain yang berada dalam lingkaran Banjaran Himalaya seperti India, Pakistan, Tibet dan Bhutan turut berisiko untuk mengalami kejadian sama.

Beliau menerangkan lingkaran api darat ialah kawasan yang berisiko dilanda gempa bumi akibat pergerakan kepingan benua atau juga dikenali sebagai lingkaran pergunungan aktif.

Lingkaran api laut pula merupakan kawasan aktif gempa bumi disebabkan pergeseran antara plat-plat laut. Lingkaran laut meliputi kawasan Lautan Pasifik sejauh 40,000 kilometer dari Chile yang terletak di benua Amerika Selatan sehingga New Zealand.

"Banjaran Himalaya yang merupakan banjaran terpanjang dan tertinggi di dunia merupakan kawasan pergunungan aktif dan pergerakan antara benua India dan China sentiasa berlaku.

"Kawasan pergunungan yang aktif dan berlaku pergerakan antara dua kepingan benua itu adalah punca kejadian gempa bumi kuat di Nepal," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, selepas gempa bumi bermagnitud 7.9 yang berpusat 68 kilometer ke timur bandar pelancongan Pokhara pada kedalaman 15 kilometer di bawah itu berlaku sekurang-kurangnya 60 gempa bumi susulan direkodkan.

Gempa bumi pada pukul 2.56 petang (waktu Malaysia) di Nepal itu turut menyebabkan kira-kira 1,000 pendaki Gunung Everet terperangkap.

Gempa kelmarin merupakan yang kedua terburuk di Nepal selepas gegaran bermagnitud 8.2 dan seramai 16,000 nyawa terkorban berlaku pada 15 Januari 1934.

 Negara itu juga pernah dilanda gempa bumi kuat bermagnitud antara 6.5 hingga 6.9 pada tahun 1980, 1988 dan 2011 dengan jumlah kematian bagi setiap kejadian itu antara 16 sehingga 1,000 orang.

Monday, April 27, 2015

Kena pindah lepas 70 tahun huni rumah

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri warga emas yang terpaksa mengosongkan rumah didiami mereka sejak 70 tahun lalu di Kampung Sungai Kerayong, Jalan Kerayong di sini merayu diberi tempoh untuk berpindah.

Lim Ah Choon, 88, dan isterinya, Tan Mooi Koh, 85, diarahkan oleh pemilik tanah berkenaan, Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur untuk berpindah sejak Disember tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks rumah ibadat di Tanah Perkuburan Cina Bukit Petaling di sini.

Anak pasangan terbabit, Lim Ah Chai, 56, mendakwa, selain kedua-dua ibu bapanya, rumah kayu yang terletak di belakang kubur pejuang sistem pendidikan Cina, Lim Lian Geok itu turut didiami adiknya, Lim Ah Ba, 54.

"Ibu bapa saya tidak berhasrat untuk menuntut apa-apa pampasan namun berilah tempoh dua bulan lagi kerana kami masih gagal mendapat rumah lain," dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, wakil Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur yang enggan dikenali bersetuju memberi tempoh dua bulan untuk keluarga tersebut mengosongkan tanah itu.

Batalkan projek pangsapuri mewah


KAJANG – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor didesak agar membatalkan projek pembinaan lot komersial dan pangsapuri servis mewah yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Sungai Ramal Luar di sini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Maahad Hamidiah, Jazlan Ahmad mendakwa, sejak pembinaan premis setinggi 36 tingkat itu bermula awal bulan ini, pembelajaran hampir 1,000 pelajar sekolah terbabit terganggu.
Beliau mendakwa, selain mengeluarkan bunyi bising dan menghasilkan habuk, kehadiran lori dan jentera berat yang sering keluar masuk ke tapak pembinaan itu telah menyebabkan kesesakan teruk di kawasan pekarangan sekolah tersebut terutama pada waktu pagi.
“SMKA Maahad Hamidiah bertaraf Sekolah Kluster Kecemerlangan dan 70 peratus daripada pelajarnya tidak menetap di asrama sekolah.

"Kehadiran lori dan jentera berat yang sering keluar masuk jalan sama dilalui ibu bapa dan pelajar ke sekolah dibimbangi akan memberi ancaman keselamatan. Pintu pagar sekolah hampir tumbang akibat dilanggar kenderaan milik pemaju itu baru-baru ini," dakwanya.

Beliau mendakwa demikian kepada pemberita selepas berdemostrasi secara aman bersama hampir 250 ibu bapa pelajar sekolah itu di hadapan tapak projek terbabit di sini semalam.

Jazlan yang juga seorang jurutera mendakwa, projek pangsapuri servis mewah yang terlalu hampir dengan SMKA Maahad Hamidiah itu tidak sepatutnya dibenarkan kerana tidak mengikut Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor 2010.

"Kami difahamkan kelulusan tanah bagi projek pembinaan pangsapuri servis mewah itu masih belum dimuktamadkan. Oleh itu, kami mempersoal tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membenarkan pemaju memulakan kerja-kerja pembinaan termasuk membina pejabat jualan dan rumah contoh sejak awal bulan ini.

"PIBG SMKA Maahad Hamidiah telah menghantar memorandum bantahan kepada MPKj lapan bulan lalu dan susulan juga dilakukan bagi pemberhentian kerja-kerja pembinaan pada 14 April lalu.

Jazlan juga mendesak Menteri Besar Selangor, Azmin Ali campur tangan bagi membatalkan projek pembinaan pangsapuri servis yang mengandungi 500 unit rumah dan 30 lot kedai itu demi kepentingan SMKA Maahad Hamidiah yang merupakan institusi pengajian yang telah banyak melahirkan golongan profesional, teknokrat dan agamawan sejak 55 tahun lalu.

Thursday, April 23, 2015

200 hadir Mesyuarat Agung Kelab Harmoni Selangor


BERSATU. Seramai 200 ahli Kelab Harmoni Selangor menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-11 di Kelab Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Youth on Unity, Mohd. Nazifuddin Najib.
Presiden Kelab Harmoni Selangor, Dr. V. Sunder berkata, pertubuhan bukan kerajaan terbabit yang dianggotai pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum yang ditubuhkan pada tahun 2004 aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, sukan dan pencegahan jenayah di seluruh Selangor.

Tuesday, April 21, 2015

Elaun Cola untuk sektor swasta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUBANG JAYA - Kogres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan pengenalan elaun sara hidup (Cola) diberikan kepada kira-kira 10 juta pekerja sektor swasta di negara ini bagi mengurangkan beban yang dihadapi mereka sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Krishnam berkata, kos sara hidup di negara ini telah bertambah sekurang-kurangnya 20 peratus sejak awal bulan ini.

"Pemantauan yang dilakukan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia baru-baru ini mendapati, harga kebanyakan barangan harian telah meningkat antara 20 peratus hingga 30 peratus sejak pelaksanaan GST 1 April lalu.

"Inilah masanya untuk kerajaan menilai semula permintaan MTUC sebelum ini bagi melaksanakan elaun Cola sebanyak RM300 sebulan kepada pekerja sektor swasta," katanya pada sidang akhbar di Wisma MTUC di sini semalam.

Menurut Gopal Krishnam, pihaknya yakin kerajaan sudah tentu menyedari pendapatan kebanyakan sektor swasta di negara ini masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa dan pemberian elaun Cola seperti yang dinikmati penjawat awam merupakan jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, kerajaan boleh membantu merealiasikan pelaksanaan cadangan itu dengan menggunakan sebahagian daripada hasil kutipan GST bagi penyaluran elaun berkenaan.

"Kerajaan menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengumumkan kutipan hasil GST dalam tempoh 15 hari pelaksanaan baru-baru ini, namun bagaimana ia akan dibelanjakan.

"Oleh itu, pengenalan elaun Cola untuk pekerja sektor swasta yang merupakan majoriti rakyat negara ini sesuai diperkenalkan selaras matlamat pelaksanaan GST untuk memberi lebih manfaat kepada rakyat," katanya.

Monday, April 20, 2015

Kongsi maklumat dengan Arab Saudi pantau IS

PUTRAJAYA - Malaysia menjalinkan kerjasama erat dengan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat perisikan berhubung kegiatan kumpulan militan Islamic State (IS) di Asia Barat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, sebagai negara yang hampir dengan wilayah dikuasai IS iaitu sebahagian Syria dan Iraq, Arab Saudi diyakini dapat mengikuti perkembangan kumpulan militan itu dengan lebih dekat.

"Sebelum ini kita memperoleh maklumat mengenai IS dari Amerika Syarikat, Eropah dan China.

"Jangan ingat (pengaruh dan serangan IS) tidak boleh melibatkan (negara) kita. Sebagai Pengerusi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN, kita telah membuat pendirian menolak dan tidak menyokong IS malah tidak membenarkan pengaruhnya menular di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kunjungannya ke Arab Saudi selama tiga hari sehingga kelmarin bagi mengucapkan berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana membantu mengeluarkan rakyat Malaysia dari Yemen.

Terdahulu beliau merasmikan Hari Terbuka Transformasi Program Latihan Khidmat Negara di pusat membeli-belah IOI City Mall di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin menasihatkan 215 rakyat Malaysia yang masih berada di Yemen agar meninggalkan negara bergolak itu dengan segera demi keselamatan mereka.

Beliau berkata, kebanyakan mereka memberi alasan untuk tidak pulang ke tanah air kerana menetap di kawasang kurang terlibat dalam pertempuran seperti Hadramaut.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang jaminan kawasan itu akan kekal aman.

MTUC cadang elaun Cola pekerja swasta

SUBANG JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyarankan kerajaan agar memperkenalkan elaun kos sara hidup (Cola) RM300 sebulan kepada pekerja sektor swasta bagi mengurangkan beban mereka berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Setiausaha Agungnya, N. Gopal Kishnan berkata, kajian yang dibuat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) baru-baru ini mendapati kos sara hidup rakyat negara ini telah meningkat sehingga 20 peratus sejak pelaksanaan sistem cukai baharu itu pada awal bulan ini.
"Jika ia berterusan, sudah pasti majoriti rakyat negara ini yang kebanyakannya pekerja sektor swasta semakin terbeban.
"Sudah sampai masanya, kerajaan membantu merealisasikan pelaksanaan elaun Cola kepada golongan tersebut dengan menggunakan hasil kutipan GST," katanya pada sidang akhbar di Wisma MTUC di sini hari ini. -KOSMO!

Terapkan kemahiran, vokasional

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PUTRAJAYA – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) fasa kedua yang bakal bermula pada tahun hadapan bakal menerapkan elemen baharu iaitu latihan kemahiran dan vokasional kepada pelatihnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada 23 inisiatif baharu yang dicadangkan Makmal Transformasi PLKN yang berlangsung lebih sebulan sehingga 27 Mac lalu.
“Elemen baharu tersebut bukan sahaja melibatkan penyertaan agensi kemahiran dan teknikal milik kerajaan malah syarikat swasta bagi memberi latihan kemahiran dan vokasional secara langsung kepada pelatih PLKN.

"Modulnya disusun agar menetapi kehendak pasaran bagi menberikan nilai tambah kepada pelatih PLKN terutamanya mereka yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke universiti," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Transformasi PLKN di pusat membeli-belah IOI City Mall di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof.

Hishamuddin berkata, elemen kemahiran dan vokasional bagi pelatih PLKN itu diserapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas yang telah dibentangkan ke Kabinet minggu lalu.

Sunday, April 19, 2015

PLKN perkenal modul latihan kemahiran dan vokasional


PUTRAJAYA - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memperkenalkan modul latihan kemahiran dan vokasional kepada pelatihnya mulai pengambilan baharu pada awal tahun hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, modul yang akan turut melibatkan sektor swasta itu merupakan antara transformasi yang akan dilaksanakan untuk program terbabit.
"Latihan kemahiran dan vokasional itu akan memberi nilai tambah kepada sijil yang akan diterima setiap lepasan PLKN kelak," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Transformasi PLKN di pusat membeli-belah IOI City di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan portal www.transformasi.khidmatnegara.gov.my bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat berhubung program transformasi PLKN. - KOSMO!

Friday, April 17, 2015

Sultan Selangor berkenan naik LRT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menggunakan dua perkhidmatan pengangkutan awam, transit aliran ringan (LRT) dan monorel semalam.
Baginda menaiki LRT dari Stesen LRT Kelana Jaya, Petaling Jaya sebelum berhenti di Stesen KL Sentral di sini selepas gerabak khas yang membawa baginda melepasi sembilan stesen perhentian.
Sultan Sharafuddin kemudiannya menggunakan perkhidmatan monorel dari stesen berkenaan sehingga ke Stesen Bukit Nanas di sini.

Turut mengiringi baginda ialah Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam dan Pengarah Urusan kumpulan, Azmi Abdul Aziz.

Ismail berkata, selepas merasai pengalaman menggunakan kedua-dua pengangkutan LRT dan Monorel selama kira-kira 40 minit, Sultan Sharafuddin bertitah baginda yakin peningkatan terhadap sistem pengangkutan awam merupakan penyelesaian terbaik kepada masalah kesesakan trafik di Lembah Klang.

"Sebelum ini, Sultan Sharafuddin pernah menyuarakan saranan berkenaan sewaktu merasmikan Dewan Undangan Negeri Selangor (ke-13) baru-baru ini.

"Baginda bertitah tidak mahu melihat Lembah Klang termasuk Selangor menjadi terlalu sesak sehingga menjadi seperti bandar raya Los Angeles dan Beijing," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Tambah Ismail, beliau dan Azmi telah menyampaikan taklimat berhubung pembangunan LRT laluan tiga (LRT3) kepada Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah, Klang baru-baru ini.

Thursday, April 16, 2015

Sultan Selangor berkenan naik LRT, monorel

PETALING JAYA - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, transit aliran ringan (LRT) dan Monorel dari Stesen LRT Kelana Jaya di sini hari ini.
Baginda menaiki LRT dari stesen tersebut sehingga ke Stesen KL Sentral sebelum bertukar kepada perkhidmatan Monorel untuk ke Stesen Bukit Nanas, Kuala Lumpur.
Turut mengiringi baginda, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din. - KOSMO!

Caj jalur lebar diturunkan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


PUTRAJAYA – Hampir 25 juta pengguna jalur lebar di Malaysia bakal menerima penjimatan sehingga 57 peratus apabila syarikat-syarikat telekomunikasi utama negara bersepakat menurunkan caj pakej asas perkhidmatan itu mulai bulan depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, komitmen itu melibatkan syarikat telekomunikasi Celcom, DiGi, U Mobile, Maxis, Telekom Malaysia (TM) dan Time Dotcom.
Menurut beliau, perkhid­matan mudah alih ditawarkan pada harga RM25 bagi langganan bulanan sebanyak 1GB dan dengan kualiti perayauan sekurang-kurangnya 3G-HSPA.
“Pengurangan caj bulanan jalur lebar asas itu merupakan penjimatan antara 11 hingga 20 peratus daripada harga semasa untuk kedua-dua perkhidmatan prabayar dan pascabayar.
“Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif di Asia Tenggara bagi perkhidmatan jalur lebar selepas Si­ngapura dan Brunei,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Halim Shafie dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Bagi perkhidmatan tetap, Ahmad Shabery berkata, TM dan Time Dotcom bersetuju menurunkan pakej jalur lebar asas dengan kelajuan 1Mbps yang menawarkan penggunaan data percuma sehingga 1GB pada kadar RM38 sebulan.

Ujarnya, pakej Streamyx oleh TM itu sebelum ini berharga RM88 sebulan dan ia merupakan penurunan sebanyak 57 peratus.

"TM juga bersetuju untuk menurunkan caj bulanan pakej Unifi yang mempunyai kelajuan 10Mpbs pada kadar RM179 berbanding RM199 sebelum ini.

"Kesemua pakej baharu itu berkuat kuasa selewat-lewatnya Jun depan," katanya.

Ahmad Shabery memberitahu, penurunan caj jalur lebar itu bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menerima akses internet.

Beliau berkata, buat masa ini, pengurangan harga itu tidak melibatkan pakej jalur lebar berkelajuan sederhana dan tinggi kerana ia dibimbangi memberi kesan kepada perbelanjaan modal syarikat telekomunikasi terbabit.

Ahmad Shabery bagaimanapun mengingatkan syarikat telekomunikasi agar menjaga kualiti perkhidmatan yang diberikan seiring dengan penurunan harga jalur lebar itu.

"Kita mahu mereka melihat semula pelaburan yang mereka lakukan untuk meningkatkan keupayaan mereka...apa guna murah kalau perkhidmatan yang diberikan tidak bagus," katanya.

Caj bulanan jalur lebar turun serendah RM25 sebulan

PUTRAJAYA - Pengguna bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan lebih murah apabila syarikat-syarikat telekomunikasi utama negara bersetuju menurunkan caj bulanan bagi pakej asas sehingga 57 peratus mulai bulan depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, syarikat telekomunikasi terbabit iaitu Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile bersetuju menetapkan pakej asas jalur yang mempunyai data bulanan 1GB dan sekurang-kurangnya perayauan 3G-HSPA pada kadar RM25 sebulan.

"Secara purata ia pengurangan 14 peratus daripada harga semasa. Bagi perkhidmatan tetap pula, Telekom Malaysia (TM) dan Time dot Com bersetuju menawarkan pakej jalur lebar asas berkelajuan 1Mbpbs yang menawarkan data 1GB pada harga RM38.

"Bagi pakej Unifi yang mempunyai kelajuan 10Mpbs pula, TM akan menurunkan kadar caj bulanan sebanyak 10 peratus iaitu RM179 berbanding RM199 sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - KOSMO!

Wednesday, April 15, 2015

APMM terbangkan penumpang kapal persiaran sakit jantung

PELABUHAN KLANG - Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan bagi menyelamatkan seorang penumpang bot persiaran MV Costa Serena yang sedang berlayar kira-kira 45 batu nautika dari perairan Sabak Bernam dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Vanden Beuken, 75, dari Belanda merupakan salah seorang penumpang bot persiaran berkenaan yang sedang dalam perjalanan ke Singapura dari India.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Aliyas Hamdan berkata, sebuah helikopter milik APMM telah bergegas ke lokasi bot persiaran itu dari Stesen Maritim Udara Subang dekat sini sebaik sahaja menerima maklumat berkenaan.

Beliau berkata, sebelum itu, kejadian itu dilaporkan kepada Sub Koordinasi Kecemasan Maritim di Johor Bahru, Johor sebelum maklumat itu disalurkan kepada pihaknya.

"Helikopter tersebut tiba kira-kira 25 minit kemudian dan mangsa telah diterbangkan sebelum pesawat tersebut mendarat ke Padang Bola Ventorian, Pelabuhan Klang dekat sini.

"Mangsa kemudianya dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Pantai Pelabuhan Klang dekat sini untuk menerima rawatan lanjut," katanya kepada Kosmo! dekat sini semalam.

Keadaan mangsa yang sedang dirawat dilaporkan stabil.

Tuesday, April 14, 2015

Rita alami derita batin, aib

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Pelakon Rita Rudaini Mokhtar memberitahu, tindakan bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak, 28, menceraikannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan dan menanggung penderitaan batin.
Rita Rudaini, 39, berkata, kisah dirinya diceraikan yang tersebar dengan cepat itu juga menyebabkan dia terpaksa menanggung aib.
Selain itu, perkembangan kisah cerainya yang tersebar secara meluas itu turut menjejaskan kehidupan sehariannya dan kerjaya seninya.
“Saya malu dengan masyarakat sehingga takut untuk keluar rumah. Saya juga mengalami tekanan perasaan kerana ditinggalkan seorang diri bersama dua anak yang masih kecil.
“Namun semangat untuk mempertahankan hak anak-anak saya menguatkan diri dengan mengatasi gangguan emosi tersebut,” kata pelakon itu ketika disoal balas peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain.
Rita Rudaini memberi keterangan sedemikian pada perbicaraan kes tuntutan mutaah RM300,000 pelakon itu di hadapan Hakim Mawardi Che Wan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Perbicaraan itu berjalan tanpa keha­diran Aidil Zafuan yang tidak mendapat kelepasan majikannya iaitu Johor Darul Takzim (JDT) kerana sedang menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi perlawanan Piala AFC dengan Kelab Kitchee SC di Stadium Larkin, Johor Bahru malam ini.
Begitupun, sewaktu disoal balas peguam syarike, Rushdan Sujak Rafie yang mewakili Aidil Zafuan, Rita Rudaini mengakui tidak pernah mendapatkan rawatan berhubung masalah tekanan perasaan itu di hospital mahupun dengan pakar psikiatri.
Pelakon yang popular dengan filem Mami Jarum Junior, Cinta dan Balistik itu juga menafikan publisiti meluas yang diberikan media terhadap masalah rumah tangganya itu  disebabkan oleh sikapnya yang gemar memberi kenyataan media.
"Saya tidak pernah membuat sidang akhbar berhubung masalah rumah tangga saya. Namun ia dilaporkan wartawan yang mengikuti prosiding kes saya di mahkamah syariah," katanya.
Dalam pada itu, Mawardi menegur Adil Zafuan yang sering gagal menghadiri prosiding kes melibatkan tuntutan bekas isterinya itu.
"Saya berharap untuk menyelesaikan kes (tuntutan mutaah) ini dengan segera tetapi sering terganggu dengan ketidakhadiran defendan.
"Saya harap defendan dapat hadir untuk memberi keterangan berhubung perbicaraan kes tuntutan mutaah ini pada 11 Mei depan. Jika tidak, beliau mungkin diarahkan untuk membayar kos mahkamah," katanya.
Sebelum ini, Rita Rudaini telah memfailkan tuntutan tersebut pada 7 Julai tahun lalu tetapi ia dibantah Aidil Zafuan dengan menyifatkan nilai mutaah yang dipohon pelakon terkenal itu sebagai melampaui jumlah sepatutnya.
Pasangan terbabit bernikah di Songkhla, Thailand pada tahun 2008 dan disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada 6 September 2013.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.
Aidil Zafuan kemudian telah berkahwin baru dengan dengan Zarema Zainal pada 14 Mac 2014.

Sunday, April 12, 2015

KDN serbu kedai barang lucah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Sebanyak 230 barangan berunsur lucah dan mempromosi kegiatan penyalahgunaan dadah dirampas penguat kuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan dalam serbuan di tiga premis di Bandar Utama, Petaling Jaya dekat sini kelmarin.

Serbuan selama dua jam bermula pada pukul 11 pagi itu diketuai Ketua Unit Penguatkuasaan negeri, Mohamad Hashim Kamaruddin dengan bantuan sembilan anggota penguat kuasa bahagian berkenaan.

Mohamad Hashim berkata, sebanyak 150 barangan berupa baju, patung, pelapik tetikus komputer, buku dan poster berunsur lucah telah dirampas dalam serbuan itu.

"Tidak ketinggalan sebanyak 80 barangan seperti beg, baju, topi, seluar, stokin dan rantai yang memaparkan logo pakalolo iaitu daun ganja turut dirampas.

"Keseluruhan barangan yang dirampas berkenaan bernilai RM14,234.20," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohamad Hashim berkata, ketiga-tiga premis berkenaan yang menjual barangan berunsur lucah dan memuja dadah berkenaan telah banyak diberi amaran oleh pihaknya.


"Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 7 akta sama.

"Hukuman penjara sehingga tiga tahun atau maksimum RM20,000 atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.

Cederakan pemandu teksi, ayah didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Seorang ketua jabatan sumber manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakaan seorang pemandu teksi pada akhir bulan lalu.
Syed Fareid Yahya, 51, dari Denai Alam di sini bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan atas bangkitan marah yang besar dan mengejut ke atas Azmi Mat Mokthar, 53.

Bapa kepada tujuh anak termasuk tiga gadis yang dikatakan telah bergaduh dengan Azmi dituduh melakukan perbuatan termasuk di hadapan Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 9 di sini pada pukul 4.30 petang, 29 Mac lalu.

Dia disaman mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Norshakinah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 April ini.

Syed Fareid yang diwakili peguam bela, Sarah Mohd. Ali dan Azad Bashir membayar jaminan tersebut.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan Azmi telah dihadapkan ke mahkamah sama atas empat pertuduhan melakukan khianat pada sebuah kereta dan menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik yang juga anak Syed Fareid.

Dia didakwa menyebabkan kerosakan pada kereta Perodua Myvi kepunyaan Sharifah Fara Difla, 28, di kawasan stesen minyak Petron, Persiaran Kayangan, Seksyen 7 di sini pada pukul 3.30 petang, 29 Mac lalu.

Azmi juga menghadapi tiga pertuduhan dengan sengaja menumbuk dan menyebabkan kecederaan kepada Sharifah Fafa Difla dan dua adik perempuannya, Sharifah Fara Afzan, 27 dan Sharifah Fara Ryyana, 24 di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi dua minit 29 saat yang memaparkan empat wanita bergaduh dengan seorang pemandu teksi menjadi viral di laman sosial.

Pemandu teksi jadi viral didakwa

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Seorang pemandu teksi didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam atas empat pertuduhan melakukan khianat pada sebuah kereta dan menumbuk serta menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik pada Mac lalu.

Tertuduh, Azmi Mat Mokhtar, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Ellyana Razali dan Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Di hadapan Ellyana, Azmi didakwa telah melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan kereta jenis Perodoa Myvi kepunyaan Sharifah Fara Difla Syed Fareid di kawasan stesen minyak Petron, Persiaran Kayangan, Seksyen 7 di sini pukul 3.30 petang pada 29 Mac 2015.

Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Mukmin Azmi.

Ellyana menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dan seorang penkamin dan kes disebit semula pda 23 April depan.

Sementara itu, di hadapan Norshakinah, Azmi berhadapan tiga pertuduhan iaitu didakwa dengan sengaja menumbuk dan menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik itu, Sharifah Fara Difla, 28, Sharifah Fara Afzan, 27 dan Sharifah Fara Rayyana, 24, di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahum atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Parimallah manakala tertuduh diwakili Amhad Mukmin.

Norshakinah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 degan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan.

Tertuduh membayar kesemua jaminan tersebut.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi dua minit 29 saat yang memaparkan empat wanita bergaduh dengan seorang pemandu teksi menjadi viral di laman sosial.

Video itu memaparkan rakaman keempat-empat wanita tersebut dalam keadaan terjerit-jerit sambil memaki hamun seorang lelaki yang dipercayai pemandu teksi tersebut.

Sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki wanita tersebut juga jelas dapat dilihat telah berlanggar dengan sebuah teksi dipercayai dipandu seorang lelaki.

Pada akhir rakaman tersebut turut memaparkan imej wanita tersebut dengan kesan calar pada wajah mereka, namun tiada keterangan jelas menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku.

Saturday, April 11, 2015

Proses teknikal lewatkan pembinaan Uptown Shah Alam

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan projek pembangunan bangunan baharu untuk peniaga Kompleks Muhibbah atau lebih popular sebagai Uptown Shah Alam di Seksyen 24 di sini yang terjejas akibat kebakaran 15 Oktober tahun lalu akan siap sepenuhnya 15 Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari memberi alasan kelewatan menyiapkan bangunan yang sepatutnya sudah boleh diduduki 2 Februari lalu itu disebabkan oleh masalah teknikal.

"Kerja-kerja pembinaan sudah bermula pada Januari lalu namun ia terpaksa dihentikan sementara kerana menunggu  beberapa bahan binaan yang masih belum sampai.

"Selain itu, kelewatan juga disebabkan bagi memenuhi permohonan persatuan peniaga (Uptown Shah Alam) yang mahu  beberapa kemudahan tambahan turut dibina  di dalam bangunan baru itu demi keselesaan pengunjung," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini semalam.

Berikutan itu, Amirudin menjelaskan pelan pembinaan baru dipaksa dilakukan oleh syarikat perunding yang dilantik pemaju, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan ia mengambil masa untuk disiapkan.

Beliau berkata, rombakan pelan itu telah dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan ia menetapi spesifikasi keselamatan yang digariskan pihak berkuasa.

Kosmo! semalam melaporkan 189 peniaga Uptown Shah Alam mendesak kerajaan negeri Selangor menyiapkan bangunan baru yang dibina di atas tapak asal Blok B Kompleks Muhibbah yang terbakar setengah tahun lalu seperti dijanjikan sebelum ini.

Setakat ini, premis setingkat yang akan menempatkan 189 lot perniagaan itu cuma 10 peratus siap selain kerja-kerja pembinaan pula sudah dihentikan sejak tiga minggu lalu.

Kawasan niaga baharu ini terletak di dalam tapak kompleks yang terbakar.

Kempen Derma Daerah IPD Shah Alam meriah

AMAL. Seramai 250 individu menjayakan Kempen Derma Darah anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, program berkenaan merupakan sebahagian aktiviti yang dijalankan pihaknya sempena Hari Peringatan Polis ke-208.

Beliau berkata, bekalan darah yang dikumpul sepanjang kempen berkenaan akan disalurkan kepada Pusat Darah Negara.

Kad debit untuk ahli koperasi

SHAH ALAM - Bank Rakyat mengunjurkan pengeluaran sebanyak 150,000 kad Sahabat Ikhtiar Debit-i Mastercard menjelang akhir tahun ini.

Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, melalui kerjasama antara pihaknya dengan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia (Koperasi Sahabat), jumlah sasaran itu mampu dicapai memandangkan anggota koperasi tersebut telah bertambah kepada 200,000 orang di seluruh negara.

"Kerjasama strategik dengan Koperasi Sahabat ini diyakini mampu meluaskan lagi pasaran kad debi Bank Rakyat.

"Sehingga kini, sebanyak 107,870 permohonan bagi kad debit tersebut telah diterima daripada anggota koperasi ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad berkenaan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Koperasi Sahabat, Datuk Dr. A. Manaf Husin.

Selain itu, A. Manaf menjelaskan, kad debit berkenaan bertujuan meningkatkan lagi imej korporat koperasi itu selain menerapkan budaya membuat transaksi tanpa tunai di kalangan anggotanya.

"Kad Sahabat Ikhtiar Debit-i Mastercard turut berfungsi sebagai kad pengenalan diri sebagai anggota koperasi dan sebagai medium pembayaran dividen atas caruman syer modal tahunan.

"Selain boleh digunakan di seluruh dunia, had penggunaan hariannya sehingga RM10,000 manakala had maksimum pengeluaran tunai harian pula sebanyak RM5,000," ujarnya.

Friday, April 10, 2015

WOJ sasar 150,000 pengunjung membanjiri KLIHF

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) anjuran Women of Jannah  Wealth Sdn. Bhd. (WOJ) yang bakal diadakan pada 28 Mei hingga 31 Mei depan menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 150,000 orang.

Pengarah WOJ, Sukinah Zulkifli berkata, sasaran tersebut berdasarkan sambutan hangat yang telah diterima daripada penganjuran sulung KLIHF pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, KLIHF telah menerima kehadiran 120,000 pengunjung dan mencatat jualan sebanyak RM5.3 juta.

Oleh itu, kami menjangka menyasar kenaikan jualan sekurang-kurangnya 30 peratus pada penganjuran edisi penganjuran kali ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir dua Ahli Lembaga Pengarah WOJ, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf dan Abjda Zulkifli.

Sukinah berkata, KLIHF yang bakal berlangsung Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur akan mempunyai 250 gerai pameran yang terdiri daripada pemain industri fesyen Muslimah tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada pengilang, pemborong, pembekal, pereka, tenaga pengajar dan peruncit fabrik tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Australia, China, Brunei dan Indonesia.

"Selain itu, kita juga menyajikan 30 program selingan sempena penganjuran KLIHF seperti pertunjukan fesyen, forum perniagaan, usrah perdana, sessi bersama selebriti iaitu Ustaz Don, Mizz Nina, Altimet dan Rozita Che Wan.

"Lapan wanita berhijab dari seluruh dunia yang telah berdakwah menerusi fesyen kepada masyarakat di negara masing-masing juga akan dinobatkan dengan Anugerah Ikon Ukhwah Antarabangsa," katanya.

Skim Bazar Ramadan diteruskan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SABAK BERNAM - Skim Bazar Ramadan iaitu pembiayaan tanpa faedah kepada penjaja untuk menjalankan perniagaan pada bulan puasa yang diperkenal tahun lalu diteruskan lagi dengan peruntukan RM24 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaa, Datuk Seri Hasan Malek berkata, permohonan bagi pinjaman tanpa faedah, penjamin dan cagaran sebanyak RM3,000 bagi setiap penjaja dan peniaga kecil yang layak itu dibuka sehingga 30 April ini.

"Antara syarat memohon pinjaman mikro ini ialah mesti ahli persatuan penjaja dan peniaga berdaftar dan tidak pernah disenarai hitam oleh Bank Rakyat yang merupakan pengendali skim pembiayaan tersebut.

"Sebagai meringankan beban peminjam, tempoh pembayaran balik dilanjutkan kepada empat bulan berbanding dua bulan sebelum ini," katanya ketika berucap melancarkan Skim Bazar Ramadan peringkat kebangsaan di Dataran Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar di sini semalam.

Turut hadir timbalannya, Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan dan Peniaga Kecil Melayu, Datuk Ramli Norani dan Presiden Bank Rakyat, Datui Mustafha Abd. Razak.

Hasan berkata, permohonan bagi perbiayaan itu boleh dilakukan menerusi persatuan penjaja dan peniaga kecil masing-masing.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 11,589 penjaja dan peniaga kecil telah mendapat manfaat daripada pembiayaan tersebut dengan jumlah pembiayaan kira-kira RM30.8 juta.

Thursday, April 9, 2015

Skim Bazar Ramadan 2015 dilancar

SABAK BERNAM - Skim Bazar Ramadan iaitu pembiayaan tanpa faedah kepada penjaja untuk menjalankan perniagaan pada bulan puasa yang diperkenal tahun lalu diteruskan lagi dengan peruntukan RM24 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, permohonan bagi pinjaman tanpa faedah, penjamin dan cagaran sebanyak RM3,000 bagi setiap penjaja dan peniaga kecil yang layak itu dibuka sehingga 30 April ini.
"Antara syarat memohon pinjaman mikro ini ialah mesti ahli persatuan penjaja dan peniaga berdaftar dan tidak pernah disenarai hitam oleh Bank Rakyat yang merupakan syarikat pembankan yang menguruskannya.
"Sebagai meringankan beban peminjam, tempoh pembayaran balik dilanjutkan kepada empat bulan berbanding dua bulan sebelum ini," katanya ketika melancarkan Skim Bazar Ramadan peringkat kebangsaan di Dataran Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar di sini hari ini. - KOSMO!

Bapa terlepas hukuman mati

SHAH ALAM – Seorang bapa terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia tidak waras ketika membunuh anak bongsu dan cuba membunuh dua anak perempuannya yang lain, awal tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa bagaimanapun memerintahkan tertuduh, Norazman Mohamad, 45, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh diper­kenan Sultan Selangor.
Norazman, bekas jurutera teknologi maklumat, didakwa membunuh anaknya Zulaikha, 7, di dalam rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dekat sini, kira-kira pukul 4 petang pada 30 Januari tahun lepas.
Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa cuba membunuh dua lagi anaknya, Maryam, 11, dan Liyana, 13, di tempat, pada masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Mohd. Yazid berkata, pada asasnya tertuduh dalam pembelaannya berkata dia berada dalam keadaan hilang akal semasa kejadian dan beliau ber­puas hati bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan elemen itu.
“Dengan itu mahkamah putuskan tertuduh adalah orang yang sebabkan kematian Zulaikha dan cuba membunuh dua lagi anaknya hingga menyebabkan kecederaan teruk.

"Bagaimanapun, saya dapati ketika tertuduh melakukan kesalahan, dia berada dalam keadaan hilang akal. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tetapi diletakkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta hingga diperkenankan oleh Sultan Selangor,"katanya.

Berdasarkan laporan Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Datuk Dr. Suarn Singh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, tertuduh disahkan menghidap penyakit mental kemurungan.

Laporan doktor itu juga menyebut semasa kejadian, tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar bahawa perbuatannya salah di segi undang-undang.

Seramai enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan sementera tertuduh diwakili peguam Hasnan Hamzah.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Zulaikha maut selepas dikelar di leher sementara Liyana cedera di belakang leher serta putus ibu jari dan adiknya, Maryam cedera di belakang kepala dan tangan.

Susulan kejadian itu, polis menemui tertuduh dalam keadaan murung, basah dan cedera di tebing sungai di belakang kawasan perumahan mereka.

Wednesday, April 8, 2015

230 barangan lucah dan memuja dadah dirampas

SHAH ALAM - Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran ,Kementerian Dalam Negeri cawangan  Selangor dan Wilayah Persekutuan merampas 230 barangan berunsur lucah dan dadah dalam serbuan di tiga premis di sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama, Petaling Jaya dekat sini pada semalam.
Ketua Unit Penguat kuasa negeri, Mohamad Hashim Kamaruddin berkata, serbuan yang bermula pada pukul 11 pagi itu berjaya merampas baju-T, beg, rantai, pelapik tetikus komputer, komik dan patung berunsur lucah dan memaparkan logo daun ganja bernilai RM14,234.20.
"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 7 akta sama.
"Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau maksimum RM20,000 atau kedua-duanya boleh dikenakan," katanya. - KOSMO!

Bapa bunuh anak dihantar ke Hospital Bahagia

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang jurutera teknologi maklumat dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh, Perak setelah didapati membunuh anak bongsu dan mencederakan dua anaknya yang lain dalam keadaan tidak waras di rumah mereka di Bandar Baru Bangi setahun lalu.
Hakim Datuk Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas pihak pembelaan yang diwakili peguam bela, Hasnan Hamzah berjaya membuktikan Norazman Mohamad, 45, mengalami kemurungan serius hingga hilang akal sewaktu menyebabkan kematian Zulaikha, 7, dan mencederakan Liyana, 13 dan Maryam, 11.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada enam anak itu telah mengelar leher Zulaikha dan menetak tangan Liyana dan Maryam dengan parang di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada pukul 4 petang, 31 Januari 2014. - KOSMO!

Bapa tiga beradik dituduh pukul pemandu teksi

SHAH ALAM - Seorang Ketua Jabatan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakaan seorang pemandu teksi di sini pada bulan lalu.
Syed Fareid Yahya, 51, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Azmi Mat Mokhtar, 53, di hadapan Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 9 di sini pada pukul 4.30 petang, 29 Mac lalu.
Dia tidak mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin memerintahkan Syed Fareid dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 April depan.
Isnin lalu, Azmi telah dihadapkan ke mahkamah sama atas empat pertuduhan mencederakan tiga anak perempuan Syed Fareid dan merosakkan kereta Perodua Myvi tiga beradik itu pada hari kejadian.
Pergaduhan antara Azmi dan anak perempuan Syed Fareid telah menjadi viral dan disebarkan secara meluas di media sosial baru-baru ini. - KOSMO!

Tuesday, April 7, 2015

KPDNKK bakal perkenal pelekat khas caj perkhidmatan

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang untuk memperkenalkan pelekat khas kepada premis terutama hotel dan restoran yang mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pengenalan pelekat khas tersebut yang diwajibkan dipamerkan di setiap premis terbabit bertujuan untuk memudahkan pengguna mendapat maklumat berhubung caj sebanyak 10 peratus yang dikenakan kepada mereka itu.
"Itu antara cadangan penyelesaian jangka sederhana. Buat masa ini, pengurusan hotel dan restoran yang mahu mengenakan caj terbabit diwajibkan mempamerkan perjanjian bersama antara majikan dan pekerja.
"Bagi langkah jangka panjang pula berhubung isu itu, kementerian akan mengkaji beberapa mekanisme lain termasuk mengubal undang-undang yang dapat mengawal selia pelaksanaan caj perkhidmatan," katanya.
Terdahulu, beliau ditemui selepas melancarkan Kad Anggota Koperasi Sahabat di sini hari ini. - KOSMO!

Monday, April 6, 2015

Lantai simen masih panas walaupun suhu turun

SHAH ALAM - Selepas hampir 48 jam, suhu lantai simen ruang tamu seorang penduduk di Kampung Seri Nadi, Jalan Johan Setia, Klang dekat sini yang dikesan menjadi panas sehingga mengeluarkan wap sejak Jumaat lalu sudah semakin menurun.

Pemilik rumah berkenaan, Rosli Sulaiman, 48, berkata, sejak pagi semalam, ruang yang berukuran  kira-kira 264 sentimeter persegi itu dilihat sudah tidak lagi mengeluarkan wap.

"Walaupun suhu sudah berkurangan namun permukaan lantai simen tersebut masih terasa panas. Demi keselamatan, ruang itu masih dikosongkan seperti diarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

"Kami sekeluarga masih binggung dan tidak dapat tidur nyenyak mengenangkan keselamatan rumah yang sudah dihuni sejak 19 tahun ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Rosli memberitahu, kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains negeri dan Balai Bomba dan Penyelamat Seri Andalas, Klang dekat sini akan mengadakan pemeriksaan lanjut terhadap lantai simen itu pada hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap, kajian lanjut itu sedikit sebanyak dapat merungkai misteri yang menghantui mereka sejak tiga hari lalu.

Kosmo! semalam melaporkan keluarga Rosli panik apabila lantai simen di ruang tamu rumah mereka di sini tiba-tiba meningkat suhunya menjadi panas sehingga mengeluarkan wap.

Pemeriksaan oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad mengesahkan ia bukan berpunca daripada litar pintas kerana tiada sebarang kerosakan pada sistem pendawaian elektrik di kesan.

Peniaga tuntut janji MB Selangor

SHAH ALAM – Seramai 189 peniaga Kompleks Muhibbah yang lebih popular dipanggil Uptown Shah Alam di Seksyen 24 di sini yang terjejas akibat kebakaran pada 15 Oktober tahun lalu menggesa kerajaan Selangor segera menyiapkan bangunan baharu seperti yang dijan­jikan.

Seorang peniaga, Hassan Nordin, 47, mendakwa, bangunan setingkat yang dibina di tapak asal Blok B yang musnah dalam kebakaran tersebut sepatutnya telah siap sepenuhnya pada 2 Februari lalu.

"Namun sehingga hari ini, cuma 10 peratus siap malah kerja-kerja pembinaan sudah dihentikan sejak tiga minggu lalu.

"Kami difahamkan, projek pembinaan bangunan baharu itu tertunda ke­rana kekangan dana. Alasan itu tidak logik kerana Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali telah meluluskan peruntukan RM3.5 juta sebelum ini," kata beliau ketika ditemui bersama 40 peniaga lain di pekarangan Uptown Shah Alam di sini semalam.

Abdul Hamid Zainal Abidin, 39, pula mendakwa, bangunan baru yang bakal menempatkan lot perniagaan untuk semua peniaga terlibat amat diperlukan bagi membolehkan mereka menjalankan bisnes dengan selesa.

Peniaga beg itu memberitahu, selepas kebakaran terbabit, mereka terpaksa berniaga di tapak sementara yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kebakaran.

"Kami terpaksa menyewa khemah pada kadar RM350 sebulan selain menanggung kos lain seperti bekalan eletrik, sewa tapak dan upah pegawai keselamatan yang menelan pula kos sehingga RM450 sebulan.

"Sering kali khemah yang kami sewa rosak akibat diterbangkan angin dan hujan lebat," dakwanya yang turut mengeluh kerana perniagaannya dikatakan merosot lebih 50 peratus dalam tempoh enam bulan itu.

Sementara itu, peniaga kasut, Raja Abdul Razak Raja Abdul Halim berkata, mereka akan menghantar memorandum berhubung isu tersebut kepaa Mohamed Azmin di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

"Saya menuntut Mohamed Azmin menunaikan janji-janji untuk menjaga kebajikan mereka sewaktu beliau melawat lokasi kebakaran hampir setengah tahun lalu," rayunya.

Kosmo! 16 Oktober tahun lalu melaporkan Bazar beli-belah larut malam terkenal di Selangor, Uptown Shah Alam hampir musnah dalam kebakaran dinihari yang menyebabkan kerugian lebih RM19 juta.

Kebakaran yang bermula pada pada pukul 3.04 pagi itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Berikutan itu, peniaga-peniaga terbabit terpaksa memindahkan perniagaan mereka di tapak perniagaan sementara di kawasan tersebut.

Sunday, April 5, 2015

Terkejut lantai simen berasap

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


KLANG – Sebuah keluarga panik apabila lantai simen di ruang tamu rumah mereka di Kampung Seri Nadi, Jalan Johan Setia di sini tiba-tiba meningkat suhunya menjadi panas sehingga mengeluarkan wap.
Pemilik rumah berkenaan, Rosli Sulaiman, 48, berkata, dia mula menyedari perubahan kepada lantai ruang tamu yang berukuran 264 sentimeter persegi itu sewaktu memijaknya pada pukul 8 malam kelmarin.
“Saya terkejut apabila sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah melalui pintu utama, saya berasa panas ketika memijak lantai terbabit yang dilapik dengan tikar getah. 

"Suhu panas meningkat dengan mendadak beberapa jam kemudian sehingga dikesan telah mengeluarkan wap pada pukul 5 pagi semalam," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Rosli yang bekerja sendiri berkata, dia merasakan suhu lantai rumahnya itu telah menjangkau sekurang-kurangnya 65 darjah celcius kerana hampir mampu memasak sebiji telur yang dipecahkan di atas permukaan lantai simen terbabit.

Dia berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dimaklumkan tentang kejadian itu namun pemeriksaan kakitangan syarikat utiliti itu mengesahkan ia bukan disebabkan litar pintas kerana tiada sebarang kerosakan pada sistem pendawaian elektrik di kesan.

"Saya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Andalas di sini pada pukul 7 pagi tadi (semalam) setelah suhu lantai itu semakin panas dan mula mengeluarkan wap.

"Kami sekeluarga agak cemas dan tertanya-tanya punca lantai ruang tamu saya memanas. Ini kejadian pertama sejak kami menduduki rumah ini sejak tahun 1996," katanya.

Sementara itu, Pemangku Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Seri Andalas, Muhammad Radhi Ismail berkata, pihaknya dengan bantuan kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains negeri sedang memantau suhu lantai simen tersebut.

"Sekiranya ia masih panas dan mengeluarkan wap, kami bercadang untuk memecahkannya bagi melakukan pemeriksaan rapi secara menyeluruh," katanya.